Khairul Aming persoal kebocoran data, maklumat bil telefon didakwa dikongsi tanpa izin – 'Macam mana awak boleh tahu?'
SIAPA yang tidak kenal dengan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang sentiasa menjadi perhatian ramai dengan pelbagai konten menarik dan perniagaannya yang serba menjadi.
Namun semalam kecoh di laman media apabila pempengaruh kesayangan ramai itu meluahkan rasa kesal kerana data peribadinya membabitkan maklumat bil telefon secara tiba-tiba terdedah dan dikongsi secara terbuka oleh seorang pengguna media sosial.
Kejadian yang disifatkan agak 'menakutkan' itu timbul selepas seorang pengguna platform Threads memuat naik hantaran yang katanya mengetahui butiran terperinci bil telefon KA, termasuk tunggakan berjumlah RM498.
"Teringin nak bagitahu KA beliau ada overdue bil RM498. Agaka-agak, beliau perasan ke tak tu banyak sangat akaun kan, nanti line kena barred.
"Amaun RM2K if bayar untuk setahun pun kalau ada add on digital purchase sampai 400+ memang tak cukup ler," dedah pengguna yang hanya dikenali sebagai qiu_le_fleur.
Bagaimana pun akaun tersebut sudah 'diprivatekan' selepas perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi termasuklah Khairul Aming.
Mengulas mengenai isu tersebut di threads miliknya, usahawan kelahiran Kelantan itu menegaskan bahawa soal jumlah bil yang dinyatakan bukanlah isu utama yang mahu dipusingkan kerana ia adalah urusan peribadinya sendiri.
Beliau menjelaskan dirinya selalunya membayar bil lebih awal untuk tempoh beberapa bulan ke depan sehingga tidak perasan bakinya sudah berkurangan.

Pencerobohan data
Bagaimanapun, apa yang menjadi pertikaian utama bagaimana maklumat sulit seperti itu boleh terlepas ke tangan pihak yang tidak sepatutnya sehingga dikongsi kepada umum tanpa sebarang kebenaran.
“Tak perlu beritahu sebab ini hal peribadi saya. Saya memang bayar lebih awal untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan baki dah berkurangan.
"Tapi yang jadi creepy, macam mana awak boleh tahu maklumat bil telefon saya ni sampai buat hantaran kepada umum? Ini data peribadi saya,” luah Khairul Aming sambil meminta penjelasan lanjut daripada pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) berkenaan.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen yang menyifatkan isu pencerobohan data peribadi ini sebagai perkara yang sangat serius dan tidak boleh dipandang remeh.
Rata-rata pengguna media sosial turut mempertanyakan tahap keselamatan serta kerahsiaan maklumat pelanggan yang sepatutnya dilindungi sepenuhnya oleh pihak penyedia perkhidmatan.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan warga maya berhubung isu panas berkenaan. "Tibalah masanya untuk menguji Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA). KA, sila saman kaw-kaw ya, data peribadi tak boleh dibuat main-main," tegas seorang pengguna.
Seorang lagi turut menambah, "KA memanglah sporting, tetapi apabila melibatkan masalah data peribadi, ia bukan lagi perkara main-main. Melampau sangat netizen ni kadang-kadang kan?"
Terdapat juga komen sinis yang menyindir tindakan pengguna tersebut, "Mesti dia ingat KA reply, 'Ya Allah, terima kasih ingatkan'."
Isu perlindungan data ini turut menyedarkan ramai pihak tentang risiko kebocoran maklumat pengguna biasa. "Ini bukan isu jumlah tunggakan KA, ini isu betapa mudahnya orang bocorkan PDPA kita di media sosial. Zaman sekarang ramai yang kerja bagus tapi otak tak reti kendalikan benda-benda sulit. Terpaling nak kongsi maklumat," tulis seorang netizen.
Ada juga yang menganggap tindakan individu tersebut sekadar mahu mencari perhatian, "Kalau tengok gaya tu bukan dia nak aibkan, tapi dia macam bangga dapat tahu sesuatu pasal KA. Nak juga beritahu orang yang dia tahu pasal KA ni walaupun sekadar bil Maxis. Semoga dipermudahkanlah urusan."
Isu ini turut menimbulkan persoalan jika terdapat pembabitan orang dalam yang tidak bertanggungjawab. "Bahaya kalau ada orang dalam yang bocorkan data peribadi macam ni," ulas seorang pengguna.
Malah, ada yang menyedarkan bahawa jika pempengaruh terkenal seperti Khairul Aming juga boleh terkesan, apatah lagi rakyat biasa. "Akaun dia dah tak dapat cari. Ini pelanggaran maklumat yang sangat serius. Macam mana dia boleh dapat maklumat peribadi KA dan berani muat naik di media sosial? Harap Khairul Aming ambil tindakan undang-undang. Kalau maklumat peribadi KA boleh bocor macam ni, bayangkan kita rakyat marhaen pula. Ini memang tak patut dan tak boleh diterima. Maxis sila lihat perkara ini," desak netizen lagi.
Setakat ini, isu berkenaan masih hangat diperkatakan di media sosial dan belum ada sebarang kenyataan rasmi atau penjelasan dikeluarkan oleh pihak penyedia perkhidmatan berkaitan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
