Video cari isteri tular, Abiejam jelaskan hantaran RM1 juta simbol kesungguhan bukan kemewahan - ‘Saya mungkin OKU, tetapi...’
PERSONALITI media sosial dan usahawan, Abiejam tidak menyangka video mencari calon isteri dengan tawaran wang hantaran RM1 juta mengundang salah faham sehingga ramai menyangka dia benar-benar serius. Susulan itu, dia tampil menjelaskan tujuan sebenar perkongsian tersebut.
Menurut Abiejam atau nama sebenarnya Mohd Khairul Nizam Wahiddin, video yang tular itu sebenarnya dihasilkan sebagai kandungan santai untuk memperkenalkan perniagaan emas yang diusahakannya. Dia mengakui tidak menyangka gurauan tersebut menjadi bualan ramai sehingga ada yang menganggapnya benar-benar sedang mencari isteri dengan tawaran hantaran luar biasa.
"Sebenarnya video cari isteri dan hantaran RM1 juta itu sekadar gurauan dan hiburan bagi memperkenalkan perniagaan emas saya.
"Kalau ada yang terasa atau salah faham, saya minta maaf dari hati. Tak sangka pula ramai yang ambil serius bila bab berkahwin ini sedangkan itu sekadar gurauan saja," katanya.
Walaupun dihujani pelbagai komen termasuk kecaman dan penghinaan, Abiejam memilih untuk tidak mengambil hati. Baginya, setiap orang bebas memberikan pandangan, namun dia berharap masyarakat tidak terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa mengetahui perkara sebenar.
"Saya tidak terasa hati dengan komen netizen yang berbaur kecaman dan penghinaan apabila saya bergurau mengenai soal perkahwinan ini.
"Cuma saya pelik mengapa ramai suka bertanya soalan yang sensitif dan membuat pelbagai andaian," ujarnya

Orang kurang upaya
Di sebalik gurauan yang mencetuskan perhatian itu, Abiejam sebenarnya mempunyai harapan yang cukup sederhana apabila berbicara tentang jodoh. Sebagai seorang orang kurang upaya (OKU), dia tidak meletakkan kekayaan atau harta sebagai keutamaan, sebaliknya mengimpikan seorang wanita yang ikhlas menerima dirinya seadanya.
"Saya mungkin tak mampu berjalan, tetapi mampu mencintai, menghargai dan membahagiakan wanita yang Allah takdirkan untuk saya.
"Ciri-ciri wanita pilihan saya mudah sahaja, baik hati, penyayang, ikhlas, memahami dan menerima keadaan saya sebagai seorang OKU," katanya.
Mengulas dakwaan kononnya dia sengaja menunjuk kemewahan menerusi tawaran hantaran RM1 juta, Abiejam menafikan perkara itu. Baginya, nilai tersebut bukan untuk mengukur kekayaan, sebaliknya sekadar simbol kesungguhan seorang lelaki dalam memikul tanggungjawab membina rumah tangga.
"Nilai hantaran itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya simbol kesungguhan dan tanggungjawab. Ramai menilai kemampuan seorang lelaki hanya berdasarkan fizikal atau pandangan luaran.
"Soal hantaran hanyalah simbol. Yang lebih penting ialah keikhlasan, kesetiaan dan bagaimana seorang suami menjaga maruah serta kebahagiaan isterinya.
"Jadi, wang hantaran RM1 juta itu bukan soal angka, sebaliknya mesej bahawa saya serius terhadap institusi perkahwinan," katanya.
Di sebalik polemik yang tercetus, perkongsian Abiejam turut mengingatkan bahawa dalam soal membina rumah tangga, nilai sebenar sesebuah hubungan bukan terletak pada angka atau kemewahan. Sebaliknya, keikhlasan, rasa saling menghargai dan kesediaan menerima pasangan seadanya adalah asas yang lebih bermakna untuk membina kehidupan bersama.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

