Simpan rahsia 8 tahun, Bella Astillah dedah pernah dapatkan bantuan pakar psikiatri demi kesihatan mental - ‘Jangan judge orang cari bantuan’
ADA perkara dalam hidup yang memilih untuk disimpan sendiri, bukan kerana mahu berahsia, tetapi kerana masih mencari ruang untuk sembuh tanpa dibayangi pandangan orang lain.
Begitu juga yang pernah dilalui pelakon dan penyanyi Bella Astillah apabila mendedahkan pernah mendapatkan bantuan pakar psikiatri kira-kira lapan tahun lalu ketika berdepan fasa sukar dalam hidupnya.
Bukan mahu menarik perhatian atau mencari simpati, sebaliknya pemilik nama sebenar, Dayang Ara Nabellah binti Awang Astillah memilih langkah itu sebagai satu usaha untuk memahami diri sendiri dan menjaga kesihatan mentalnya.
Namun, ketika itu dia mengambil keputusan untuk tidak berkongsi perkara tersebut kepada umum kerana bimbang berdepan stigma serta tanggapan negatif masyarakat.
Perkongsian itu dibuat menerusi satu hantaran TikTok teambassofficial apabila anak kelahiran Sabah tersebut tampil berkongsi pengalaman peribadinya sambil menyeru orang ramai agar tidak mudah melabel atau menghukum individu yang mendapatkan bantuan profesional.

Orang cepat menghukum
Menurut Bella, masih ramai yang menganggap seseorang yang berjumpa pakar psikiatri sebagai tidak waras, sedangkan hakikatnya tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan sokongan dan menjaga kesejahteraan diri.
"Sebenarnya tak ramai orang tahu Bella pernah melalui hari yang sangat sukar dan Bella memilih untuk jumpa dengan pakar psikiatri.
"Masa itu Bella memang tak kongsikan dengan sesiapa, tak kongsikan dengan media sosial kerana kadang-kadang orang akan cepat menghukum dan menilai.
"Kenapa dia jumpa pakar psikiatri? Dia gila ke? Bella tak nak sebab kalau Bella kongsikan, benda itu akan bertambah spekulasi orang," katanya.
Ibu kepada sepasang cahaya mata menjelaskan, mendapatkan bantuan daripada pakar bukan bermaksud seseorang itu lemah atau gagal menguruskan kehidupan, sebaliknya ia menunjukkan keberanian untuk mencari jalan penyelesaian.
Katanya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menjaga diri dan mendapatkan bantuan adalah salah satu bentuk kasih sayang terhadap diri sendiri.
"Sebenarnya kita tengah sayang diri kita. Apa sahaja idea atau ikhtiar yang kita buat, itulah kebaikan untuk diri kita sendiri. Tak semestinya bila kita jumpa pakar, kita tidak waras," ujarnya.
Mengimbas kembali pengalaman itu, Bella berkata dia menjalani beberapa sesi kaunseling secara bersendirian bersama pakar berkenaan. Setiap sesi mengambil masa sekitar sejam hingga sejam setengah, selain memberi ruang kepadanya untuk berbincang secara peribadi dan terbuka.
Menurutnya, sesi tersebut banyak membantunya melihat sesuatu perkara dengan lebih tersusun apabila pakar membimbingnya mengenal pasti perkara yang memberi kesan positif dan negatif dalam kehidupan.
"Dia akan tulis apa keburukan, apa yang memudaratkan, apa kebaikan. Adakah banyak perkara yang lebih memudaratkan dan apa kesannya.
"Bukan sahaja beri nasihat, tetapi dia sendiri strukturkan Bella bagaimana untuk melihat sesuatu perkara," katanya.

Cabaran emosi
Dalam pada itu, Bella turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memberikan sokongan kepada mereka yang sedang berdepan cabaran emosi.
Katanya, tidak semua tempat sesuai untuk seseorang meluahkan masalah kerana perkara peribadi boleh disebarkan tanpa izin.
"Bella rasa cari tempat yang betul. Kadang-kadang kita cerita dengan orang yang nampak macam kesian, tetapi esok dia dah cerita dekat semua orang.
"Jadi carilah tempat yang betul untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Bella bersyukur kerana pernah dipertemukan dengan pakar yang membantunya melalui fasa tersebut dan mengakui pengalaman itu memberi kesan positif terhadap dirinya sehingga hari ini.
Walaupun sudah lama berlalu, Bella percaya setiap manusia perlu berusaha dalam mencari jalan keluar apabila berdepan ujian hidup.

Baginya, kebergantungan kepada Tuhan tetap menjadi pegangan utama, namun manusia juga perlu memainkan peranan dengan melakukan ikhtiar.
"Kita tetap percaya ALLAH sedang menyediakan perkara yang baik untuk orang yang sabar. Tapi sebagai manusia, kita pun kena usaha dan ikhtiar.
"Rezeki memang daripada ALLAH, tetapi kita tidak boleh hanya duduk dan menunggu. Kita juga perlu bergerak dan berusaha," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
