Wanted by Family bawa wajah Malaysia ke layar antarabangsa, bakal temui penonton di lebih 25 negara
KEINDAHAN Malaysia bukan hanya boleh dinikmati secara langsung, malah turut berpeluang dikenali penonton luar menerusi layar perak.
Itulah antara harapan penerbit dan ahli perniagaan kelahiran Iraq yang membesar di Malaysia, Abdulrahman Suud menerusi filem terbaharunya, Wanted by Family.
Karya terbitan Inifinity Films bersama produksi mega negara Arab, Synergy Plus itu bakal menemui penonton bermula 8 Oktober depan, dengan tayangan di lebih 25 negara dan lebih 450 pawagam.
Filem arahan Mootaz El Tomy berkenaan sebelum itu dikenali dengan judul Mr VIP, sebelum ditukar kepada Wanted by Family atau Matlob A’liliyan dalam bahasa Arab.
Menariknya, lebih 40 peratus penggambaran filem terbabit dilakukan di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada beberapa lokasi ikonik negara ini menjadi sebahagian daripada paparan untuk penonton antarabangsa.
Bagi Abdulrahman, kecintaan terhadap Malaysia menjadi antara sebab utama dia mahu membawa lebih banyak produksi dari negara Arab ke bumi yang dianggapnya cukup dekat dengan hati.
“Macam saya tekankan dalam kenyataan sebelum ini, kecintaan saya terhadap Malaysia tiada kompromi. Sejak usia lapan tahun lagi saya datang ke Malaysia saat ibu bapa menerima tawaran kerja di ibu kota.
“Bersekolah dan mencari rezeki di Malaysia selain pernah menetap di Jepun dan India, bumi Malaysia sudah memahat rasa paling istimewa yang lahir tanpa prejudis.
“Justeru, saya mahu usaha menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama syarikat penerbitan filem dan TV negara Arab akan mencipta kesinambungan,” katanya.
Lokasi Malaysia jadi sebahagian cerita
Filem yang menampilkan bintang sensasi Arab, Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri itu turut mengetengahkan beberapa lokasi menarik di Malaysia.
Antaranya KLCC, Menara KL dan Bangunan Sultan Abdul Samad yang dapat dilihat menerusi rakaman filem tersebut.

Menurut Abdulrahman, paparan lokasi berkenaan secara tidak langsung boleh mencetuskan rasa ingin tahu penonton untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat.
“Kalau tonton treler filem ini, peminat Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri khususnya akan ‘teracun’ untuk menjejaki lokasi dan destinasi menarik Malaysia yang dipaparkan.
“Malah, nama Malaysia sendiri disebut berulang kali dalam filem ini.
“Melihat rakaman treler ini sendiri saya takjub melihat bagaimana tarikan bangunan pencakar langit seperti KLCC, Menara KL dan Bangunan Sultan Abdul Samad contohnya dipromosikan dengan begitu indah,” katanya.
Filem yang turut dibintangi pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater itu mengangkat genre komedi sosial.
Abdulrahman berharap penghasilan karya sedemikian bukan sahaja membuka peluang kepada industri kreatif tempatan, malah dapat membantu memperkenalkan destinasi Malaysia kepada penonton dari luar negara.
Tidak berhenti di situ, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan projek filem baharu berjudul sementara One Way Ticket yang turut akan menjalani penggambaran di Malaysia, membabitkan lokasi lain di negara ini.
Usaha bawa filem ke Malaysia
Dalam pada itu, Abdulrahman berkata pihak produksi turut mengusahakan tayangan Wanted by Family di Malaysia dengan bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Menurutnya, urusan dokumentasi berkaitan kerjasama serta bantuan FINAS sudah dilakukan, malah pihaknya turut bertemu Ketua Pegawai Eksekutif organisasi berkenaan, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
“Untuk tayangan di Malaysia, pihak kami sudah menguruskan dokumen berkaitan dengan kerjasama serta bantuan FINAS. Pihak kami juga sudah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif organisasi berkenaan, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

“Ikut perancangan, tayangan di Malaysia juga berkemungkinan besar dalam bulan sama. Semoga segala yang dirancangkan akan dipermudahkan,” katanya.
Selain Malaysia, filem terbabit bakal ditayangkan di beberapa negara Arab termasuk Mesir, Qatar, Iraq, Oman, Lubnan, Kuwait, Bahrain, Syria, Maghribi, Algeria, Tunisia dan Jordan.
Tayangan turut merangkumi Amerika Syarikat, Kanada, Turki, Australia, United Kingdom, Ireland, Perancis, Sepanyol, Portugal, Itali, Jerman, Switzerland, Sweden, Poland, Belgium, Denmark, Norway, Luxembourg, Finland, Greece, Brazil dan Argentina.
Libatkan kru tempatan
Sebelum ini, penggambaran filem yang mengambil latar Malaysia itu turut mendapat perhatian apabila sebahagian besar proses produksi dilakukan di negara ini.
Produksi berkenaan menggunakan khidmat 220 kru tempatan selain 33 kru dari Mesir, termasuk artis yang terbabit dalam filem tersebut.
Penghasilan karya berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi Abdulrahman, pengalaman membawa produksi dari negara Arab ke Malaysia diharap dapat membuka lebih banyak ruang untuk negara ini diketengahkan dalam karya antarabangsa.
Pada masa sama, Wanted by Family menjadi antara usaha yang menggabungkan dunia hiburan dengan paparan destinasi tempatan, sekali gus memberi peluang kepada penonton luar mengenali Malaysia menerusi sebuah cerita di layar besar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

