Kejutan istimewa Norman Hakim dan Memey Suhaiza buat staf, hadiah tunaikan umrah undang sebak – ‘Bila ALLAH izinkan, tiada yang mustahil’

No Image Caption
A
A
A

SUASANA mesyuarat yang pada awalnya berlangsung seperti biasa tiba-tiba bertukar penuh emosi apabila beberapa staf Norman Hakim dan Memey Suhaiza menerima berita yang tidak pernah mereka sangka.

Bukan bonus atau hadiah biasa, sebaliknya pasangan itu memilih untuk menghadiahkan peluang menunaikan ibadah umrah kepada anggota pasukan mereka.

Pengumuman tersebut dibuat ketika mesyuarat bulanan team Normey berlangsung, sekali gus membuatkan bilik berkenaan dipenuhi tangisan dan rasa syukur.

Menerusi perkongsian di Instagram Normey, Norman dan Memey memaklumkan kejutan itu merupakan sebahagian daripada penghargaan mereka buat pasukan yang sentiasa memastikan pelanggan menerima perkhidmatan terbaik.

No Image Caption

“Seperti biasa, setiap bulan kami adakan meeting bersama Team Normey untuk memastikan Normeylovers sentiasa mendapat yang terbaik daripada kami.

“Tapi kali ini, ada satu kejutan istimewa buat Team Normey yang dipilih untuk menunaikan umrah,” kongsi mereka.

Lebih bermakna, ini bukan kali pertama pasangan tersebut membawa staf mereka ke Tanah Suci.

Difahamkan, tahun ini merupakan tahun kedua Norman dan Memey memberikan peluang kepada anggota pasukan mereka untuk menunaikan ibadah umrah.

Momen tersebut ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang berada dalam bilik mesyuarat apabila pengumuman dibuat.

“Satu bilik meeting terus bertukar menjadi tempat penuh air mata.

“Bukan kerana sedih, tetapi kerana terlalu sebak dengan rezeki dan kasih sayang yang ALLAH aturkan,” tulis mereka.

Bagi pasangan itu, apa yang berlaku menjadi peringatan bahawa setiap rezeki hadir pada waktu dan cara yang telah ditentukan.

No Image Caption

“Masya-ALLAH… bila ALLAH izinkan, tak ada yang mustahil,” katanya.

Menariknya, kejutan pada hari tersebut tidak berakhir dengan berita gembira buat kakitangan.

Norman dan Memey sendiri turut menerima kejutan daripada staf sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

Keadaan itu menjadikan mesyuarat bulanan berkenaan lebih istimewa apabila kejutan yang asalnya dirancang untuk pasukan akhirnya berbalas dengan penghargaan daripada kakitangan kepada pasangan berkenaan.

Tidak hairanlah Norman dan Memey menyifatkan hari tersebut sebagai satu kenangan yang akan terus disimpan dalam keluarga besar Normey.

No Image Caption

Mereka turut menzahirkan rasa syukur atas segala rezeki, kasih sayang dan nikmat yang dikurniakan, selain berharap setiap kebaikan yang dikongsi dapat membawa keberkatan buat semua.

“Terima kasih, Ya ALLAH, atas segala rezeki, kasih sayang dan nikmat yang Kau titipkan dalam keluarga Normey ini.

“Semoga setiap kebaikan yang dikongsi menjadi asbab lebih banyak keberkatan, rezeki dan kebahagiaan untuk semua,” tulis mereka.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang