Tunku Azizah kongsi kenangan manis, dengar semula pesanan suara terakhir Tun Dr Hasmah buatnya menangis – ‘Saya memanggil beliau Mummy’
Bukan semua hubungan terjalin kerana pertalian darah. Ada yang tumbuh perlahan-lahan melalui sapaan mesra, genggaman tangan, pesanan suara dan kenangan kecil yang akhirnya menjadi begitu besar nilainya.
Begitulah dekatnya hubungan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Bagi Tunku Azizah, Allahyarham bukan sekadar wanita yang dikenali kerana peranannya di sisi negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya sosok yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.
“ Saya memanggil beliau Mummy. Beliau memanggil saya sayang,” tulis baginda dalam nukilan penuh emosi yang disiarkan menerusi portal Sinar Daily dan dikongsi di laman Facebook Kesultanan Pahang pada Rabu.
Sapaan ringkas itu barangkali kelihatan biasa, namun di sebaliknya tersimpan hubungan yang sudah dibina sejak Tunku Azizah masih kecil dan sering menemani bondanya menghadiri majlis rasmi.
Sepanjang persahabatan tersebut, banyak kenangan kecil yang kekal dalam ingatan baginda, termasuk satu pemberian yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Ia adalah seutas jam tangan Bvlgari yang dihadiahkan oleh ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar kepada Allahyarham ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong dari 1984 hingga 1989.
Menariknya, jam tangan itu bukan sekadar disimpan sebagai kenangan.
Menurut Tunku Azizah, Allahyarham masih memakainya setiap kali mereka bertemu dalam majlis rasmi atau kunjungan ke istana.

“Mungkin beliau tahu betapa besarnya makna jam itu kepada saya. Beliau menghormati ayahanda saya dan pada masa yang sama memberitahu anakandanya bahawa beliau masih mengingatinya,” tulis baginda.
Begitulah cara Allahyarham menyampaikan rasa sayang tanpa perlu banyak kata.
Daripada kek hingga pesanan suara
Kenangan antara mereka juga tidak semuanya berkisar tentang majlis rasmi atau acara kenegaraan.
Ada kisah yang jauh lebih sederhana tetapi justeru itulah meninggalkan kesan mendalam.
Tunku Azizah masih mengingati saat mereka berkongsi kek dalam satu program Pandu Pandu Puteri kerana tarikh lahir baginda pada 5 Ogos kebetulan jatuh pada hari ulang tahun perkahwinan Allahyarham bersama Tun Dr Mahathir.
Baginda turut mengenang keterujaan Allahyarham terhadap busana perkahwinannya selepas majlis perkahwinan diraja di Johor.
Pakaian yang diperbuat daripada songket Brunei dan dihiasi sulaman manik itu menarik perhatian Allahyarham yang ingin mengetahui setiap perinciannya.
Di situlah terserlah sisi Tun Dr Hasmah yang mungkin tidak begitu diketahui ramai.
Di sebalik imejnya sebagai tokoh yang sentiasa berada dalam lingkungan rasmi, Allahyarham sebenarnya gemar berkongsi cerita ringan dan mencuit hati.
Daripada kisah bola golf yang pernah jatuh ke balkoni rumahnya hinggalah cerita monyet mencuri makanan, semuanya menjadi sebahagian daripada memori manis Tunku Azizah.
Allahyarham juga mempunyai kecintaan terhadap muzik dan pernah menghantar rakaman permainan biola kepada baginda.
Lebih istimewa, sempena hari lahir Tunku Azizah, Allahyarham pernah mengirim pesanan suara sambil menyanyikan lagu “Happy birthday”.
Bagi Tunku Azizah, pesanan suara itu tentunya mempunyai nilai tersendiri kerana pada usia lanjut, Allahyarham lebih selesa menghantar rakaman suara berbanding menaip mesej susulan masalah penglihatan.
Tidak hairanlah nombor telefon Allahyarham disimpan dalam telefon baginda sebagai “Mum HP”.

‘Beliau memanggil saya sayang’
Hubungan mereka semakin rapat ketika tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Tunku Azizah, Allahyarham antara individu yang mampu memahami perasaannya tanpa memerlukan penjelasan panjang.
Ketika baginda melalui saat sukar, Allahyarham pernah mengirim pesanan suara ringkas yang cukup untuk membuatkan Tunku Azizah memahami bahawa dirinya sedang memberi sokongan dan kata-kata semangat.
“Beliau memanggil saya sayang, menggenggam tangan saya dan memberi nasihat dengan cara yang paling lembut,” tulis baginda.
Kelembutan itu juga dapat dilihat menerusi satu kenangan yang cukup menggambarkan keperibadian Allahyarham.
Tunku Azizah menceritakan bagaimana Allahyarham pernah datang memohon maaf selepas membaca sebuah buku yang merujuk dirinya sebagai “First Lady”.
“Saya bukan First Lady. Permaisurilah First Lady. Mohon ampun, Tuanku,” kata Allahyarham ketika itu.
Bagi Tunku Azizah, sebenarnya tiada sebab untuk Allahyarham memohon maaf kerana gelaran tersebut ditulis oleh orang lain.
Namun, tindakan itu cukup untuk menggambarkan betapa tinggi rasa hormat, tertib dan rendah hati yang dimiliki Allahyarham.
Pesanan suara terakhir yang disimpan dalam hati
Daripada sekian banyak kenangan, pesanan suara terakhir yang diterima Tunku Azizah menjadi antara yang paling sukar untuk dilupakan.
Ia dihantar pada November 2023 ketika baginda berada di Istanbul bersama Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan.
Dalam pesanan tersebut, Allahyarham menyatakan kerinduan terhadap Tunku Azizah dan meluahkan hasrat untuk memeluk baginda.
Kini, suara itu menjadi kenangan.
“Saya mendengar semula suara beliau selepas pemergiannya dan saya menangis,” tulis Tunku Azizah.
Pemergian Allahyarham akhirnya membawa kembali segala memori yang pernah mereka lalui bersama.
Daripada sepotong kek ketika baginda masih kecil, kunjungan Allahyarham ke hospital, genggaman tangan yang menenangkan hinggalah panggilan “sayang” yang begitu dekat di hati.
Dalam pada mengenang sosok yang disifatkan sebagai contoh terbaik seorang isteri pemimpin, Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

Baginda melihat Allahyarham sebagai wanita yang menjalani kehidupan awam dengan penuh maruah tanpa pernah kehilangan sifat mesra dan kemanusiaannya.
Bahkan, peranan Allahyarham menurut baginda jauh melangkaui kedudukan sebagai isteri kepada Tun Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat di Malaysia.
Allahyarham berdiri dengan kekuatan dan caranya sendiri, selain menjadi contoh kepada golongan isteri pemimpin dalam usaha membantu masyarakat.
Pada akhirnya, sebuah jam tangan menjadi simbol kecil kepada hubungan yang begitu besar.
Almarhum Sultan Iskandar mungkin tidak pernah berbicara panjang mengenai kesetiaan atau kenangan di sebalik pemberian itu.
Namun, Allahyarham terus memakainya.
“Beliau hanya memakai jam tangan itu. Itulah Mummy. Tidak akan ada insan lain sepertinya lagi,” tulis Tunku Azizah.
Dan mungkin begitulah cara paling sederhana untuk memahami kehilangan seseorang yang begitu dekat di hati — bukan melalui gelaran atau kedudukan, tetapi melalui perkara-perkara kecil yang masih membuat kita terasa seolah-olah mereka belum benar-benar pergi.
Tunku Azizah mengakhiri nukilan dengan doa agar ALLAH SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan tempat tertinggi buatnya di syurga.
Sumber: Astro Awani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

