‘Seumur hidup itu lama…’ Puluhan tahun bersama, kisah Tun Dr Hasmah dan Tun M jadi inspirasi, Ustazah Nazirah kongsi makna cinta

No Image Caption
A
A
A

ADA cinta yang semakin lama semakin kurang disebut, namun semakin jelas terlihat pada perkara-perkara kecil.

Pada tangan yang menghulur ubat, langkah yang diperlahankan supaya pasangan tidak tertinggal dan tubuh yang tetap dicari walau usia sudah dimamah waktu.

Begitulah agaknya cinta yang dibina selama puluhan tahun, tidak lagi perlu dibuktikan dengan kata-kata manis kerana kehadiran itu sendiri sudah menjadi bahasa paling jujur.

Pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam kepada ramai, termasuk pendakwah, Ustazah Nazirah Abu Bakar yang melihat sosok itu sebagai gambaran seorang isteri yang setia menjadi kekuatan buat suami.

Menerusi perkongsian video di laman Threads, Ustazah Nazirah, 38, berkata kehidupan rumah tangga Tun Dr Hasmah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad membawa banyak pengajaran tentang erti menjadi pasangan yang sentiasa berada di sisi dalam susah dan senang.

“Seumur hidup itu lama… daripada rambut yang hitam, hingga sama-sama memutih.

No Image Caption

“Daripada langkah yang gagah, hingga tangan perlu saling berpaut untuk berjalan. Daripada rumah yang riuh dengan anak-anak, hingga akhirnya kembali tinggal berdua.

“Selama itu, cinta mungkin sudah tidak banyak disebut dengan kata-kata. Ia berubah menjadi, ‘Dah makan?’, ‘Ubat dah ambil?’, ‘Jalan perlahan-lahan’ dan ‘Biar saya tunggu’,” tulisnya menerusi kapsyen.

Bagi Ustazah Nazirah, itulah bentuk cinta orang lama yang mungkin semakin jarang disedari, namun sarat dengan makna.

Cinta tidak semestinya hadir dalam ayat panjang atau ungkapan romantis. Ada masanya ia hanya berupa kesediaan untuk terus berada di tempat yang sama, menemani insan tersayang melalui setiap perubahan hidup.

Dalam perkongsian tersebut, beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang isteri yang menjadi kekuatan kepada suami bukan hanya melalui kata-kata, sebaliknya melalui perbuatan.

“Dia adalah isteri yang menjadi kekuatan tidak hanya dengan kata-kata tetapi dengan perbuatan. Sentiasa ada bersama-sama.

“Bila Tun berdiri dalam keadaan satu ketika video yang viral, yang sebak kemudian Tun Hasmah hanya berdiri di belakang, memberikan sentuhan yang barangkali itulah kekuatan seorang suami,” katanya.

Menurutnya, kasih sayang yang ditunjukkan pasangan itu juga kelihatan begitu bersahaja dan tidak dibuat-buat.

No Image Caption

Malah, Ustazah Nazirah menyentuh bagaimana Tun Dr Hasmah tidak segan menzahirkan rasa kasih, termasuk dengan ungkapan ‘I love you’.

Katanya, perkara itu memperlihatkan bahawa kasih sayang dalam rumah tangga tidak sepatutnya hanya disimpan di dalam hati, sebaliknya dizahirkan selagi masih mempunyai kesempatan.

“Selagi hayat dikandung badan, tak rugi untuk kita mengikut yang kita sayang kepada pasangan kita,” ujarnya.

Namun, di sebalik perkongsian tentang kekuatan seorang isteri, Ustazah Nazirah turut mengajak masyarakat melihat sisi lain sebuah kehilangan.

Menurutnya, detik seorang suami kehilangan isteri yang selama ini menjadi tempat bersandar boleh menjadi antara pengalaman paling meruntuhkan jiwa.

Lebih-lebih lagi apabila insan yang selama ini ada untuk mendengar, menemani dan memberi sokongan tiba-tiba tiada lagi.

No Image Caption

“Kadang-kadang sampai masa, bila akan berlaku? Sangatlah meruntuhkan jiwa bila kita tengok seorang suami kehilangan isteri yang satu ketika pernah menyebutkan dia suka dan sayang, sentiasa menemani, sentiasa berada di sisi.

“Dan kita pun akan sampai ke titik itu. Titik yang kita kehilangan orang yang kita sayang, titik yang tak ada lagi panggilan-panggilan yang baik, tak ada lagi orang yang akan berdiri bila kita perlukan sokongan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kehidupan manusia akhirnya akan sampai kepada perpisahan.

Jika bukan kita yang meninggalkan, kita pula yang akan ditinggalkan.

“Kerana sifat manusia itu semuanya, kalau tidak meninggalkan, kita akan ditinggalkan. Yang kekal itu apa? Hanyalah ALLAH SWT,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut menulis tentang air mata Tun Dr Mahathir pada hari kehilangan insan yang menemani hidupnya selama puluhan tahun.

Menurutnya, air mata itu mungkin bukan sekadar kerana sebuah kematian, tetapi kerana selepas sekian lama menyebut ‘kita’, beliau perlu belajar menyebut ‘saya’ semula.

“Kerana akhirnya, seerat mana pun kita menggenggam tangan seseorang, akan tiba satu hari ALLAH meminta kita melepaskannya.

"Cinta yang panjang pun tetap akan sampai kepada perpisahan,” tulisnya.

Buat Ustazah Nazirah, kisah pasangan itu bukan sekadar kenangan tentang dua insan yang melalui usia bersama, tetapi sebuah peringatan buat mereka yang masih diberi kesempatan.

No Image Caption

Hargailah pasangan ketika masih ada. Katakan sayang ketika masih boleh didengar. Hulurkan tangan ketika masih boleh digenggam dan hadir ketika kehadiran kita masih diperlukan.

Kerana pada akhirnya, yang paling menyakitkan bukan sekadar kehilangan seseorang, tetapi menyedari ada banyak perkara yang tidak sempat lagi dilakukan ketika mereka masih di sisi.

“Semoga yang terlerai di dunia, ALLAH pertemukan kembali di syurga. Terima kasih Tun!” tulisnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang