‘Selalu tanya isteri, betul ke apa saya buat?’ – Radin kongsi pengalaman jadi bapa tiri, 3 anak ajar erti kejujuran dan tanggungjawab
MEMBAWA peranan sebagai ketua keluarga buat tiga cahaya mata yang sedang membesar menuntut satu anjakan minda yang cukup matang.
Bagi personaliti media dan penyampai radio terkenal, Radin, fasa baharu kehidupan ini bukan sekadar melimpahkan kasih sayang, sebaliknya menjadi ruang untuknya memahami cara anak-anak mengekspresikan emosi, menterjemah kejujuran serta menilai keikhlasan setiap janji.
Pemilik nama lengkap Radin Amir Affendy ini menyifatkan penerimaan terbuka tiga anak isterinya yang berusia 12, 11 dan sembilan tahun sebagai antara rahmat terbesar yang pernah hadir dalam hidupnya.
Walaupun menggalas peranan bapa tanpa sebarang pengalaman lampau, lelaki berusia 36 tahun itu memandang hubungan yang kian erat ini sebagai sebuah tanggungjawab besar untuk digalas sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan tiga orang anak yang sangat menakjubkan. Setakat ini, mereka menerima saya seadanya dan itu perkara yang paling saya syukuri.
“Pada awalnya, memang ada terlintas kebimbangan dalam fikiran saya. Kita manusia, mestilah memikirkan bagaimana penerimaan mereka terhadap kehadiran seorang bapa baharu dalam kehidupan mereka,” katanya eksklusif kepada SinarPlus.
Perasaan bimbang yang pernah bertandang itu bagaimanapun makin terhakis apabila melihat kesediaan anak-anak tersebut menerima kehadirannya dengan dada terbuka.
Malah, anak-anak itu tidak teragak-agak menegurnya sekiranya terdapat perkara yang dirasakan kurang wajar. Sikap telus tersebut secara tidak langsung membuka sudut pandang baharu buat anak jati Perak berkenaan.

Belajar fahami dunia anak
Suami kepada Nur Amirah Shamsulbahrin itu berkongsi, corak pemikirannya banyak dibentuk oleh latar belakang keluarga yang sentiasa mengutamakan perasaan orang lain. Justeru, sebarang rasa kurang senang biasanya dipendam terlebih dahulu bagi menjaga hati sekeliling.
Pengalaman mendidik tiga anak tirinya bagaimanapun mengajar satu pendekatan yang cukup berbeza, memandangkan mereka lebih lantang dan jujur menyuarakan pendirian.
“Satu perkara besar yang saya belajar daripada mereka ialah sikap berterus terang. Kalau suka, mereka akan cakap suka. Kalau tak suka, mereka juga akan beritahu apa yang mereka rasa.
“Saya rasa kita sebagai orang dewasa kadangkala terlalu memikirkan perasaan orang lain sampai terlupa untuk menyatakan apa yang sebenarnya kita rasakan. Daripada anak-anak ini, saya belajar bahawa kejujuran itu penting,” ungkap lelaki itu lagi.
Pengajaran berharga itu turut menjadikan Radin lebih berhati-hati sebelum menuturkan sebarang janji. Menurutnya, fikiran kanak-kanak memproses janji secara terus berdasarkan kata-kata dan tindakan orang dewasa.
Seandainya sesuatu perancangan tidak mampu ditunaikan, beliau memilih untuk berterus terang sejak awal daripada membiarkan anak-anak menaruh harapan yang akhirnya memicu rasa kecewa.
“Kalau kita boleh tunaikan sesuatu, kita tunaikan. Kalau tak boleh, kita beritahu dengan baik dan minta maaf. Jangan berjanji kalau kita sendiri tak pasti dapat melakukannya.
“Itu antara perkara yang saya belajar. Kita mungkin fikir perkara itu kecil, tetapi bagi anak-anak, janji yang kita buat tetap sesuatu yang mereka ingat,” kongsi Radin.

Isteri tempat rujukan utama
Tidak pernah meletakkan ego untuk kelihatan serba tahu, penyampai radio ERA itu sebaliknya kerap meminta pandangan Amirah dalam mengemudi soal keibubapaan, terutamanya ketika mendepani situasi luar jangka.
Langkah itu merangkumi semakan semula selepas menegur anak-anak, bagi memastikan pendekatan yang diambil selari dengan kaedah tarbiah yang betul dan bukannya sekadar mengikut emosi atau pertimbangan peribadi.
“Saya selalu tanya isteri selepas sesuatu perkara berlaku. Saya akan tanya, betul ke apa yang saya buat tadi? Anak-anak okey ke?
“Sebab saya tak ada pengalaman sebelum ini. Jadi, kalau ada perkara yang saya tak pasti, saya akan tanya isteri. Kalau dia rasa ada cara yang lebih baik, saya akan belajar dan cuba memperbaikinya,” dedahnya lagi.
Radin amat menghargai sokongan Amirah dalam memupuk keharmonian keluarga. Bagi dirinya, hubungan mesra bersama anak-anak tidak boleh dipaksakan sekelip mata, sebaliknya harus dipupuk secara berfasa menerusi masa, kepercayaan dan sikap saling menghormati.
Fasa penyesuaian ini turut melimpah ke dalam kehidupan bermasyarakat apabila dia menyertai keluarga mentua yang mempunyai lanskap kehidupan unik bersama pelbagai haiwan peliharaan.

Sokongan keluarga mentua
Dibesarkan dalam suasana keluarga kecil, sejujurnya Radin tidak biasa berada di kediaman yang riuh dengan haiwan, ditambah pula dengan sejarah arwah ibunya yang mengalami alahan terhadap bulu haiwan.
Impaknya, kepulangan ke kediaman mentua menjadi satu pengalaman mencabar sekaligus melucukan buat dirinya yang perlu menyesuaikan diri dengan habitat kucing, kambing, monyet, angsa hingga ke ayam.
“Mak mentua saya ada 13 ekor kucing, dua ekor kambing, monyet, angsa dan ayam. Saya sebenarnya tak biasa dengan haiwan peliharaan.
"Jadi, isteri akan beritahu bahagian mana yang boleh saya dekati dan mana yang perlu saya biasakan diri dahulu,” katanya sambil berseloroh.
Di sebalik suasana baharu itu, Radin amat menyyukuri penerimaan baik dan sokongan padu daripada seluruh keluarga mentua.

Perjalanan membina ikatan kekeluargaan ini bukan sahaja mengajarnya makna tanggungjawab sebagai suami dan bapa, malah membuka ufuk pemikirannya dalam menghormati kepelbagaian latar belakang.
Bagi Radin, matlamat utamanya kini bukanlah untuk menjadi figura yang sempurna, sebaliknya menjadi seorang bapa yang sentiasa boleh dipercayai oleh anak-anak.
Keterbukaan seluruh keluarga baharu ini disifatkan sebagai rahmat ternilai yang memberi dorongan buatnya untuk terus mengalas amanah ini dengan sejujurnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
