Nunha Meet & Greet Johor batal, PU Riz nafi dakwaan bayaran balik diganti tiket wayang
PEMBATALAN acara Nunha Meet & Greet Johor yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ini bukan sahaja mengecewakan peserta yang sudah membuat persiapan, malah turut mencetuskan persoalan mengenai kaedah penebusan tiket yang ditawarkan pihak penganjur.
Di sebalik keputusan itu, selebriti terkenal, Noor Neelofa tampil memohon maaf kepada peminat, menjelaskan pembatalan terpaksa dilakukan atas faktor cuaca dan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Acara anjuran Neelofa bersama suaminya, pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz itu pada awalnya dirancang sebagai peluang untuk bertemu peminat di Johor. Bagaimanapun, keadaan semasa memaksa pihak penganjur menangguhkan program berkenaan demi mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan.
Menerusi hantaran video di media sosial, Neelofa mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang diinginkan pihaknya, apatah lagi selepas peserta meluangkan masa membuat persiapan untuk menghadiri acara berkenaan.
“First of all, saya nak memohon sejuta kemaafan. I'm really sorry. Mewakili Nunha, saya sangat-sangat ingin mohon maaf sebab kami terpaksa tangguhkan majlis pada hari Sabtu ini atas sebab yang sangat kami tak dapat elakkan.
“Di atas faktor cuaca yang teruk dan juga kesihatan saya yang tak mengizinkan, atas nasihat yang saya perlu ikut,” katanya.
Menurut Neelofa, pihaknya memahami kekecewaan peserta dan pasukan Nunha sedang menghubungi pemegang tiket menerusi e-mel serta WhatsApp bagi memaklumkan tindakan selanjutnya.
Beliau turut meluahkan hasrat untuk membawa program seumpama itu ke lebih banyak lokasi di luar Kuala Lumpur, termasuk kawasan utara, timur, selatan serta Sabah dan Sarawak.
Namun, di sebalik permohonan maaf itu, persoalan mengenai penebusan tiket turut menjadi perhatian apabila peserta dikatakan ditawarkan tiga pilihan susulan pembatalan acara berkenaan.
Mengulas isu tersebut, PU Riz tampil menafikan dakwaan bahawa bayaran balik pelanggan digantikan dengan tiket wayang, sambil menegaskan pihak Nunha komited menyelesaikan setiap aduan secara telus dan bertanggungjawab.

“Pertama sekali, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tiket wayang tidak diganti sebagai bayaran balik.
“Dakwaan sedemikian amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat tanpa mengambil kira fakta serta penjelasan daripada pihak kami,” katanya.
Menurut PU Riz, pihak Nunha sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan proses bayaran balik kepada pembeli yang layak. Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak syarikat tidak akan menghalang atau menyekat permohonan yang dibuat mengikut prosedur ditetapkan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan sebarang persetujuan untuk menukar akad pembelian kepada barangan perlu mendapat persetujuan penuh pembeli dan bukannya dilakukan secara paksaan.
Sekiranya pelanggan tidak bersetuju dengan pilihan berkenaan, proses bayaran balik akan diteruskan.
“Prinsip kami jelas. Sebarang pertukaran akad kepada barangan mestilah mendapat persetujuan pembeli sepenuhnya. Jika pembeli tidak bersetuju, proses bayaran balik akan dilaksanakan.
“Kami mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, telus dan adil kepada semua pihak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Neelofa memaklumkan acara di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 November depan akan diteruskan seperti biasa, sekali gus memberi harapan kepada peminat yang masih menantikan peluang untuk bertemu dengannya.
Acara berkenaan juga dijangka menjadi program terakhir sebelum ibu kepada dua cahaya mata itu berehat untuk menjalani tempoh berpantang selepas kelahiran anak ketiga tidak lama lagi.
“Insya-ALLAH kita berjumpa untuk event terakhir itulah sebelum saya cuti berpantang. Saya ingin mohon maaf sekali lagi dan saya harap sangat semua yang nak hadir dapat memahami dan dapat memaafkan kami.
“Bila ada rezeki pada waktu yang betul, tempat yang betul, kita akan berjumpa,” katanya.
Sehubungan itu, pihak Nunha berharap orang ramai memberikan ruang kepada syarikat untuk menyelesaikan perkara berkenaan menerusi saluran yang sewajarnya, selain menggalakkan semua pihak mendapatkan penjelasan berdasarkan fakta sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

