‘Tidak akan berjaya tanpa kesetiaan isteri di sisi’ – Syed Saddiq hargai Bella Astillah, terharu sokongan rakyat di Muar
KEMERIAHAN Kenduri Rakyat di Muar bukan sekadar meraikan pasangan pengantin baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, malah menjadi momen istimewa buat kedua-duanya menghargai sokongan serta doa orang ramai.
Dalam ucapan di hadapan tetamu yang hadir, Syed Saddiq meluahkan rasa terima kasih kepada isterinya yang disifatkan sentiasa setia berada di sisi, selain menghargai kesanggupan rakyat yang datang dari pelbagai lokasi demi meraikan mereka.
Menurut Syed Saddiq, kebahagiaan yang dikecapi ketika ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa doa orang ramai dan kesetiaan Bella yang terus memberikan sokongan kepadanya.

“Perkara ini tidak akan berlaku tanpa doa kalian. Pada masa yang sama, ia juga tidak akan berjaya tanpa kesetiaan isteri berada di sisi saya,” katanya.
Ahli politik itu turut menyifatkan kehadiran Bella sebagai isteri menjadikan hari istimewa mereka lebih bermakna, apatah lagi selepas sekian lama isterinya berulang-alik ke Muar.
“Dah masuk tahun kedua, saya rasa mungkin dia dah tak ingat berapa kali dia dah turun ke Muar. Tetapi, insya-ALLAH, takkan penatlah turun ke Muar berkali-kali.
“Tapi buat pertama kali ni, sebagai isteri saya, selepas ini insya-ALLAH...” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui tidak menyangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga ada tetamu yang menunggu sejak pukul 6 pagi.
Lebih menyentuh hati, ada yang datang dari Perlis, Kedah dan Terengganu, malah sanggup menaiki penerbangan dari Kuching serta memandu dari Singapura untuk bersama-sama meraikan majlis berkenaan.

“Kami terhutang budi. Terima kasih. Kami menyusun sepuluh jari, memohon maaf kalau ada kekurangan.
“Taklah kita sangka ada yang menunggu sampai pukul 6 pagi, sampai pukul 2 tadi,” katanya.
Menyedari ada tetamu yang terpaksa menunggu lama di bawah panas terik, Syed Saddiq berkata, beliau mahu memendekkan ucapannya supaya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama orang ramai.
“Saya dah minta kebenaran isteri saya untuk ringkaskan dan padatkan ucapan ini kerana saya, kalau boleh, nak lebih luangkan masa dengan rakyat dan mereka yang menunggu di bawah panas terik berjam-jam,” katanya.
Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepanjang majlis berlangsung dan berharap kebahagiaan yang dirasai mereka dapat dikongsi bersama orang ramai.
Sementara itu, Bella turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta memohon maaf atas sebarang kekurangan daripada pihak mereka.

“Terima kasih kerana datang dan minta maaf atas banyak kekurangan daripada pihak kami. Tapi kami cuba yang terbaik,” katanya.
Pelakon dan penyanyi itu turut menegaskan bahawa majlis berkenaan diraikan bersama-sama orang ramai yang hadir memberikan sokongan kepada mereka.
“Percayalah bahawa majlis hari ini, semuanya kita raikan bersama-sama dengan anda semua. Kami hargai kehadiran anda semua dan insya-ALLAH, nanti kita berjumpa,” katanya.
Sambutan yang diterima bukan sekadar memeriahkan hari bahagia mereka, malah menjadi ruang untuk menghargai doa, kesetiaan dan sokongan yang mengiringi perjalanan hidup mereka bersama.
Terdahulu, pasangan yang dikenali dengan akronim BASS itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis diadakan di Menara Merdeka Maybank, di sini, pada 10 Oktober lalu.
Mereka kemudian telah diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang telah dihadiri 3,000 tetamu.
Selain itu, turut dijadualkan majlis di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.
Sumber: Threads Team Bass Official
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
