Kudrat 1968: High Council bukan galak buli, pengarah jelaskan mesej sebenar filem – ‘Buli bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi...’

No Image Caption
A
A
A

BULI sering dikaitkan dengan kekerasan fizikal, tetapi kesannya boleh melangkaui kecederaan yang terlihat pada mata. Lebih membimbangkan, perbuatan itu boleh mengubah sikap seseorang, terutama apabila kuasa dan kedudukan dijadikan alasan untuk menindas orang lain.

Perspektif itulah yang cuba diketengahkan menerusi filem Kudrat 1968: High Council, yang bukan bertujuan menggalakkan budaya tersebut, sebaliknya memperlihatkan kesan buruk serta pengajaran di sebalik tindakan setiap watak.

Pengarahnya, Zulaikha Zakaria berkata, isu buli sememangnya sering dikaitkan dengan francais Projek: High Council sejak siri berkenaan mula diperkenalkan, antaranya disebabkan paparan visual yang dekat dengan realiti kehidupan di sekolah.

No Image Caption

Bagaimanapun, menurutnya, setiap babak keganasan dalam filem terbaharu itu perlu membawa makna tersendiri, termasuk memperlihatkan akibat yang terpaksa ditanggung oleh watak yang melakukan perbuatan tersebut.

“Bagi saya, dari awal pembikinan High Council sehingga siri ini (Kudrat 1968), isu buli di sekolah masih dikaitkan dengan naskhah High Council.

“Secara visual, ia sangat dekat dengan apa yang terjadi (buli), tetapi bezanya dalam filem ini, walaupun ada babak keganasan, saya akan pastikan watak-watak tersebut ada balasannya (pengajaran).

“Disebabkan siri ini daripada drama ke filem, penonton akan melihat pengajaran yang diperoleh daripada setiap tindakan membuli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana Kudrat 1968: High Council di TGV KLCC, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulaikha menjelaskan bahawa perubahan sikap watak turut menjadi antara cara untuk menggambarkan kesan perbuatan buruk. Individu yang pada awalnya berperwatakan baik boleh berubah menjadi kasar apabila berdepan keadaan tertentu.

Perkembangan karakter itu, katanya, memperlihatkan bagaimana tindakan dan pilihan seseorang boleh membawa kesan besar, sekali gus membuka ruang kepada penonton untuk menilai tingkah laku watak dalam cerita berkenaan.

“Setiap watak yang jahat itu impaknya sangat besar. Penonton boleh lihat apa yang terjadi dengan watak Pa. Malah, daripada karakter baik boleh menjadi kasar.

“Di sini saya mahu menegaskan bahawa walaupun naskhah ini menunjukkan gejala buli, cerita High Council, Kahar dan Kudrat mempunyai tema dan topik yang bukan menggalakkan buli.

No Image Caption

“Buli bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi berkaitan hierarki. Kedudukan orang ternama, berkuasa dan orang bawahan… Banyak topik sebenarnya yang mahu saya ketengahkan,” ujarnya.

Penjelasan itu hadir ketika isu buli kembali menjadi perhatian masyarakat susulan pelbagai kes yang dilaporkan berlaku di sekolah, termasuk insiden yang meragut nyawa.

Justeru, perbincangan mengenai karya yang memaparkan keganasan perlu turut melihat mesej yang cuba disampaikan, termasuk bagaimana tindakan menindas orang lain dan penyalahgunaan kedudukan boleh memberikan kesan kepada individu serta persekitaran mereka.

Dalam pada itu, Zulaikha bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap Kudrat 1968: High Council dan siri Projek: High Council sebelum ini.

No Image Caption

Menurutnya, maklum balas positif yang diterima, termasuk daripada pengguna media sosial di Threads, menjadi dorongan kepada pasukan produksi untuk terus memperbaiki mutu karya mereka.

“Saya sangat bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap Kudrat dan siri High Council ini.

“Alhamdulillah, persepsi yang diterima juga sangat positif. Betul, ramai yang beri maklum balas, terutamanya netizen di Threads.

“Saya rasa ini hanyalah satu permulaan. Mungkin ada kekurangan yang tak tercapai, saya percaya ia hanya membuatkan pasukan kami dan industri filem untuk buat lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Kudrat 1968: High Council merupakan prekuel kepada siri Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024). Filem ini membawa penonton menyelami permulaan pembentukan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.

No Image Caption

Naskhah arahan Zulaikha bersama Khairi Asyraff itu menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf.

Kudrat 1968: High Council dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 29 Oktober ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang