Terbuka soal jodoh, Khairul Aming masih single, dedah ‘resume’ calon isteri masuk hari-hari – ‘Arwah ayah pun kahwin lambat’
POPULARITI yang semakin memuncak membuatkan kehidupan peribadi seseorang figura terkenal turut menjadi perhatian ramai. Namun, di sebalik sokongan dan kasih sayang peminat, ada batas yang perlu dijaga agar kekaguman tidak bertukar menjadi tindakan yang mengganggu privasi.
Situasi itu turut mendapat perhatian usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming, yang mengakui menyedari perbincangan mengenai peminat yang terlalu fanatik terhadap dirinya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu berharap keadaan kekal terkawal dan semua pihak dapat menghormati ruang peribadi masing-masing.
“Adalah terbaca. Tapi saya tak sempat nak digest habis lagi. Saya pun tak kenal ke apa. Tapi harap-harap semuanya tenang-tenang sahaja. Saya pun tak tahu nak nasihat apa sebenarnya,” katanya.
Mengulas mengenai kehidupan peribadi, pengasas jenama Sambal Nyet itu mengesahkan dirinya masih bujang dan belum mempunyai hubungan istimewa dengan sesiapa.
Malah, dia mengakui sering menerima perhatian daripada peminat yang menyatakan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

“Setakat ini saya masih tiada sebarang hubungan istimewa. Masih bujang, masih single. Masih available. Orang kata, alhamdulillah lah. Penyokong-penyokong pun ramai yang sangat supportive.
“Cuma kadang-kadang kita pun risau, takut orang fikir jauh ke depan sangat. Tapi saya harap kita jaga batas dan privasi orang lain juga,” ujarnya.
Walaupun menghargai sokongan yang diterima, anak jati Kelantan tersebut mengingatkan akan rasa kagum terhadap seseorang tidak seharusnya menjadi alasan untuk melampaui batas, apatah lagi sehingga mengganggu kehidupan peribadi individu terbabit.
Ditanya sama ada dia bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap peminat yang bertindak keterlaluan, usahawan berusia 34 tahun itu berkata, setakat ini perkara tersebut belum menjadi keperluan.
Menurutnya, tindakan sedemikian mungkin dipertimbangkan sekiranya ada pihak yang benar-benar mengganggu privasinya, termasuk datang ke kediaman tanpa kebenaran.
“Setakat ini tiada sebarang tindakan undang-undang dan sebagainya. Takkan sampai ke arah itu lagi.
“Kalau di media sosial, saya tidak mampu nak kawal apa orang nak tulis, cuma saya pohon agar jaga batas. Itu sahaja,” katanya.

Terima resume setiap hari
Dalam perkembangan sama, Khairul Aming turut mencuit hati apabila mendedahkan dirinya menerima pelawaan daripada individu yang berminat untuk menjadi pasangan hidupnya.
Perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan popularitinya menjadikan kehidupan peribadi, khususnya soal jodoh, antara perkara yang sering mengundang rasa ingin tahu peminat.
“Saya hari-hari dapat pelawaan, resume masuk hari-hari. Tapi tengoklah kalau ada jodoh, insya-ALLAH. Saya pun banyak orang yang pelawa.
“Tapi kita sendiri pun tidur tak cukup lagi ni. Insya-ALLAH, ada rezeki tak ke mana. Lagipun arwah ayah saya dahulu pun kahwin lambat juga,” katanya sambil ketawa.
Sementara itu, Khairul Aming turut mengulas pencalonannya sebagai wakil Malaysia bagi kategori TikTok Creator of the Year peringkat Asia Tenggara.
Pengiktirafan itu menjadi satu lagi pencapaian buat pencipta kandungan yang membina namanya menerusi video kreatif, perkongsian resipi dan kandungan berkaitan makanan.

Pada 2023, beliau pernah dinobatkan sebagai TikTok Creator of the Year Malaysia, sekali gus menjadi antara pengiktirafan awal yang diterimanya selepas bertahun-tahun menghasilkan kandungan di media sosial.
Bagi Khairul Aming, kejayaan dalam dunia penciptaan kandungan bukan sesuatu yang hadir dalam sekelip mata. Sebaliknya, ia memerlukan masa, usaha dan komitmen berterusan untuk menghasilkan bahan kreatif yang mampu menarik perhatian khalayak.
Di sebalik populariti dan sokongan yang diterima, mesejnya jelas: peminat boleh terus memberikan sokongan, tetapi rasa hormat terhadap privasi perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
