Dulu cuba cari kekurangan Fazley Yaakob, Cik B kini akui lelaki itu sempurna buat ibunya, Vida – ‘Asalkan mama gembira, saya pun gembira’
MELIHAT ibu kembali menemui kebahagiaan pastinya membawa makna tersendiri buat seorang anak. Namun, menerima kehadiran insan baharu dalam kehidupan insan tersayang bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila melibatkan soal hati dan kepercayaan.
Situasi itu turut dilalui personaliti media sosial, Cik B yang mengakui pernah berasa kurang senang dengan hubungan ibunya, Datuk Seri Vida (DSV) bersama cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.
Malah, anak kepada usahawan sensasi itu tidak menafikan pernah berusaha mencari kekurangan Fazley atau lebih mesra disapa Dida, dengan harapan ibunya tidak meneruskan hubungan cinta berkenaan.
Pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin itu berkata, sikap tersebut sebenarnya berpunca daripada masalah kepercayaan yang dihadapinya sendiri.
“Sejujurnya, saya memang sebelum ini mencari salah silap Dida. Saya mahu buktikan kepada mama supaya jangan bercinta dengan Dida.
“Sebenarnya saya memang ada masalah kepercayaan. Dida memang baik dan semuanya, tetapi saya yang bermasalah. Saya yang menjadi masalah.
“Ya, saya cakap saya berperang dengan diri sendiri tadi. Saya tak tahulah, biasalah darah muda. Tetapi tak boleh salahkan itu juga. Asalkan mama gembira, saya pun gembira,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan Cik B terhadap lelaki berkenaan berubah selepas menyaksikan sendiri bagaimana Fazley melayan dan mengambil berat tentang ibunya.
Apa yang dilihatnya bukan sekadar layanan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintai, sebaliknya usaha dan perhatian yang sukar untuk ditandingi.
Malah, Cik B mengakui ada perkara yang dilakukan Fazley terhadap DSV di luar kemampuannya sendiri.
“Sebelum ini saya tak pandang segala usaha Dida sebab saya rasa saya pun boleh buat. Tetapi usaha Dida malam ini, saya tak boleh buat.
“Dia terlalu sempurna. Maksud saya, susah untuk mencari salah silap dia sebab cara dia menjaga dan melayan mama bukan seperti pasangan biasa.
“Saya lihat Dida ini seorang yang sangat gentleman dan family person. Jadi, saya rasa dia sangat sempurna untuk mama. Dan Dida memilih mama, itu membuatkan saya berbesar hati,” ujarnya.

Pengakuan itu memperlihatkan bagaimana penerimaan Cik B terhadap hubungan ibunya mula berubah apabila dia sendiri menyaksikan kesungguhan Fazley.
Daripada seseorang yang pada awalnya cuba mencari kekurangan, kini Cik B mengakui kehadiran lelaki itu membawa kebahagiaan buat DSV.
Terdahulu, Fazley mencuri perhatian ramai apabila membuat lamaran istimewa kepada DSV menerusi acara 11.11 Mega Stock Live Concert.
Lamaran tersebut sekali gus mencetuskan perhatian terhadap hubungan kedua-duanya yang sebelum ini menjadi tanda tanya.

Lebih istimewa, Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 daripada Habib Jewels yang direka menyerupai tiara, mengambil inspirasi daripada kegemaran DSV memakai mahkota . Sementara itu, cincin berkenaan pula dihasilkan secara eksklusif untuk DSV dan menjadi simbol istimewa dalam momen lamaran tersebut.
Sumber: Video F8BUZZ
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
