'Sambung salur darah & saraf, 8 jam di meja bedah...' Tangan kanan anggota polis put*s ditetak penjenayah, 2 pakar HKL jayakan pembedahan
DEMI menjalankan tanggungjawab melindungi masyarakat, anggota polis Lans Koperal Theirry Rodger Fendy, 26, yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berdepan detik mencemaskan apabila pergelangan tangan kanannya putus selepas diserang seorang penjenayah bersenjatakan parang.
Namun, di sebalik insiden menyayat hati itu, sinar harapan muncul apabila tangan kanan anggota berkenaan berjaya disambungkan semula menerusi pembedahan kompleks selama kira-kira lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) .
Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL, Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husaindengan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL mencurahkan bakti dalam pembedahan rumit itu.
"Pembedahan bermula pada jam 10 malam dan mengambil masa kira-kira lapan jam untuk diselesaikan.

"Prosedur kompleks ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan bagi membolehkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat," jelas kementerian itu.
Bayangkan, salur darah yang sangat halus perlu disambungkan semula menggunakan teknik mikrosurgeri bagi memastikan aliran darah dapat kembali mengalir ke bahagian tangan yang tercedera.
Pada masa sama, struktur saraf yang bertanggungjawab terhadap deria sentuhan dan pergerakan juga perlu diberikan perhatian bagi membantu mengembalikan fungsi tangan berkenaan.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, kejayaan menyambung semula anggota badan yang terputus bukan bermakna fungsi tangan akan kembali normal serta-merta.
Sebaliknya, pesakit masih perlu melalui proses pemantauan aliran darah, penjagaan luka, rehabilitasi dan fisioterapi yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan, malah lebih lama bergantung pada tahap kecederaan.
Justeru, KKM berharap anggota polis berkenaan menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif sepanjang menjalani proses pemulihan.

"Kami berharap agar pesakit menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik dan seterusnya mencapai tahap pemulihan fungsi tangan yang seoptimum mungkin," katanya.
Terdahulu, insiden menimpa Theirry meruntun hati ramai apabila dilaporkan putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam di sebuah premis kediaman sekitar Desa Aman Puri, Kepong.
KRONOLOGI KEJADIAN
1-Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang Rabu lalu.
2-Ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.
3-Sebaik sahaja pintu premis kediaman itu dibuka, seorang lelaki yang berada di dalam rumah tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota berkenaan yang berada di hadapan pintu.
4-Anggota lain yang berada di lokasi kemudian berundur bagi menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri dengan berlari turun ke bawah.
5-Mangsa yang pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan awal kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan.
Di sebalik pengalaman getir yang dilalui, kejayaan pembedahan selama lapan jam itu pastinya menjadi sinar harapan buat Theirry untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Semoga fungsi tangan kanannya dapat pulih sebaik mungkin.
Sumber: Public Health Malaysia, Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

