Pernah jadi mangsa buli ketika sekolah, Iman Troye nasihat jangan pendam perasaan – ‘Beritahu ibu bapa, jangan diam’

No Image Caption
A
A
A

PENGALAMAN dibuli bukan sesuatu yang mudah dilupakan, apatah lagi apabila ia berlaku ketika usia masih muda dan seseorang sedang membina keyakinan diri.

Bagi penyanyi dan personaliti media sosial, Iman Troye, kenangan kurang manis ketika zaman persekolahan itu menjadi antara pengalaman yang mengajarnya untuk lebih memberi perhatian kepada diri sendiri.

Pelantun lagu Teman itu tidak berselindung mengakui dirinya juga pernah menjadi mangsa buli ketika bersekolah. Meskipun tidak mengalami keganasan fizikal, Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin pernah berdepan ejekan dan buli secara lisan daripada rakan sebaya.

Menurutnya, pengalaman tersebut membuatkan dia memahami bahawa perasaan individu yang dibuli tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila mangsa memilih untuk berdiam diri kerana merasakan tiada siapa mampu membantu.

No Image Caption

"Saya rasa untuk sekarang ini, saya banyak juga baca tentang kes buli. Tipulah kalau zaman sekolah dahulu saya tidak pernah kena buli.

"Saya pun pernah kena dan tahu bagaimana rasanya apabila dibuli," katanya kepada SinarPlus ketika ditemui di majlis pembukaan outlet baharu Bayu Sommerset baru-baru ini.

Mengulas isu berkenaan, Iman berpendapat kesedaran mengenai buli perlu terus disebarkan, terutama kepada mereka yang sedang berdepan situasi tersebut.

Ujarnya, mangsa tidak sepatutnya memendam perasaan atau menganggap pengalaman buruk itu sebagai sesuatu yang perlu ditanggung sendirian.

"Saya rasa penting untuk orang di luar sana menyebarkan kesedaran, khususnya kepada mereka yang dibuli. Lebih baik beritahu ibu bapa dan kawan-kawan. Jangan diam.

"Daripada pemerhatian saya, orang yang selalu dibuli ini cenderung untuk mendiamkan diri dan menyimpan apa sahaja yang dirasai. Mungkin mereka fikir orang lain tidak mampu membantu," jelasnya lagi.

Tambah Iman, ibu bapa perlu menjadi individu pertama yang dimaklumkan kerana mereka mungkin tidak menyedari perkara yang berlaku sekiranya anak memilih untuk merahsiakannya.

Baginya, mendapatkan bantuan bukan bermaksud seseorang itu lemah, sebaliknya langkah penting supaya tindakan sewajarnya dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Berkongsi pengalaman sendiri, wanita kecil molek itu memberitahu dirinya pernah melalui zaman persekolahan yang tidak begitu menyeronokkan kerana berdepan ejekan dan kurang mendapat teman rapat.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak membalas perbuatan rakan yang mengganggunya selagi perkara itu tidak menjejaskan kehidupannya secara berlebihan.

Malah, dia mengakui pernah menganggap keadaan tersebut sebagai sesuatu yang biasa kerana tidak mengalami buli secara fizikal.

No Image Caption

"Pada saya, selagi saya tidak dibuli secara fizikal, saya tidak mengganggu kehidupan mereka dan mereka pun tidak mengganggu saya, maka okey sahaja.

"Kalau cikgu tidak buat apa-apa sekalipun, memang kita akan rasa sedih. Saya pun tidak mempunyai banyak kenangan manis ketika di sekolah dahulu," ujar wanita kertubuh kecil molek itu.

Dalam usaha menguruskan emosi, Iman mengambil pendekatan untuk memberikan lebih perhatian kepada dirinya sendiri berbanding terlalu memikirkan penerimaan rakan sebaya.

Dia turut menyertai beberapa aktiviti sukan dan mewakili sekolah, sekali gus memberinya peluang untuk mengisi masa dengan perkara yang lebih positif.

Menurutnya, kesibukan menyertai aktiviti berkenaan menyebabkan dia tidak terlalu banyak menghabiskan masa untuk bergaul dengan pelajar lain.

Mengimbas kembali punca dirinya menjadi sasaran ejekan, wanita berusia 23 tahun itu mengakui sehingga kini dia tidak benar-benar mengetahui sebab sesetengah individu memilih untuk mengganggunya.

Malah, dia tidak menolak kemungkinan sikapnya sendiri ketika itu turut menjadi faktor, namun tidak pernah mengambil keputusan untuk membalas perbuatan berkenaan.

No Image Caption

"Saya pun tidak tahu apa puncanya mereka mahu mengganggu. Mungkin juga sikap saya dahulu tidak begitu baik, saya sendiri tidak tahu.

"Tetapi saya tidaklah sampai mahu bergaduh atau membalas semula. Saya fikir, selagi mereka tidak mengganggu saya, saya okey sahaja," katanya.

Pada masa sama, Iman berpandangan mereka yang berasa terlalu tertekan dengan persekitaran sekolah sehingga menjejaskan kesejahteraan diri boleh berbincang dengan ibu bapa mengenai pilihan untuk berpindah sekolah.

Jelasnya, mangsa tidak seharusnya dipaksa bertahan dalam persekitaran yang memudaratkan emosi, terutama apabila aduan yang dibuat tidak mendapat perhatian sewajarnya.

No Image Caption

Pengalaman Iman menjadi peringatan bahawa buli secara lisan juga meninggalkan kesan, meskipun tidak melibatkan kecederaan fizikal.

Apa yang lebih penting, mangsa perlu diberikan ruang untuk bersuara, didengari dan mendapat sokongan daripada orang sekeliling agar mereka tidak terus berasa keseorangan ketika berdepan situasi sukar itu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang