Hannah Delisha simpan kenangan burung kesayangan dalam pasu melur, syukur suami terima minat terhadap haiwan peliharaan – ‘Dia pun pening kepala’

No Image Caption
A
A
A

BUKAN sekadar kucing, hati pelakon Hannah Delisha turut terpaut pada burung dan haiwan kecil lain. Di sebalik kesibukan menguruskan kerjaya seni, pemilik enam haiwan peliharaan itu mempunyai sisi penyayang yang cukup dekat dengan dunia haiwan.

Antara kenangan paling terkesan buat Hannah ialah pengalaman menjaga seekor anak burung sun conure yang pada awalnya dibeli untuk ibunya. Namun, tugas memberi makan menggunakan tangan (hand-feed) setiap hari membuatkan pelakon itu semakin terikat dengan haiwan berkenaan.

Keakraban yang terjalin menjadikan burung kecil itu begitu istimewa dalam hidupnya, apatah lagi sifatnya yang manja dan suka berada dekat dengan tuannya.

"Burung itu sebenarnya dibeli untuk ibu, tetapi kita pula yang sayang sebab dia masih bayi. Masa itu, kena beri makan menggunakan tangan setiap hari.

"Apabila kita sendiri yang beri makan, dia jadi sangat manja dan rapat. Itulah burung paling manis pernah saya kenal. Walaupun tak lama bersama, memang sayang sangat," katanya ketika ditemui SinarPlus.

Malah, pemilik nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch berkongsi bahawa burung kesayangannya itu telah mati dan ditanam di dalam pasu pokok melur sempena hari lahirnya.

Kenangan tersebut pastinya meninggalkan kesan tersendiri buat Hannah yang kini memelihara enam haiwan terdiri daripada tiga ekor kucing, seekor arnab dan dua ekor burung.

Walaupun jadual kerja tidak menentu, Hannah dan suami bergilir-gilir menguruskan haiwan kesayangan mereka. Katanya, tiga ekor kucing yang dipelihara sudah biasa hidup bersama dan agak berdikari, manakala arnab pula sudah dapat menyesuaikan diri dengan kehadiran kucing-kucing berkenaan.

Berkongsi penerimaan suami terhadap minatnya itu, Hannah bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang tidak menghalang kecintaannya terhadap haiwan, meskipun kehadiran beberapa haiwan peliharaan di rumah adakalanya boleh membuatkan suaminya pening kepala.

"Suami okey. Alhamdulillah dapat jodoh yang boleh terima haiwan. Dia pun pening kepala," katanya sambil berseloroh.

Bagi Hannah, sokongan dan penerimaan pasangan terhadap perkara yang disayangi turut menjadi satu kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga.

Dalam masa sama, Hannah turut meluahkan rasa kesal apabila diminta mengulas mengenai kes penderaan kucing yang tular baru-baru ini.

No Image Caption

Baginya, perbuatan kejam terhadap haiwan tidak sepatutnya dipandang ringan kerana setiap makhluk berhak dilayan dengan penuh belas kasihan.

"Pada saya, perbuatan begitu memang tidak berperikemanusiaan. Kalau seseorang sanggup melakukan kekejaman terhadap kucing, mereka juga boleh berbuat perkara sama kepada sesiapa sahaja.

"Perbuatan seperti itu memang perlu dikenakan hukuman. Ia bukan sesuatu yang betul," tegasnya.

SUAMI FAHAM TUNTUTAN KERJAYA SENI

Beralih kepada kehidupan berumah tangga, Hannah bersyukur dikurniakan suami, Imam Shah yang memahami tuntutan kerjayanya sebagai anak seni.

Menurutnya, pengalaman suami yang turut bergiat dalam bidang lakonan membuatkan lelaki itu lebih memahami rutin kerja yang adakalanya memerlukan pelakon berada di lokasi penggambaran sejak awal pagi sehingga keesokan harinya.

Justeru, jadual kerja yang padat bukan sesuatu yang sukar untuk difahami suaminya kerana kedua-duanya mengetahui cabaran dan komitmen dalam industri seni.

"Alhamdulillah, suami sangat memahami dan menyokong. Dia pun seorang pelakon, jadi dia tahu bagaimana kerjaya ini, termasuk penat dan jadual penggambaran yang kadangkala dari pagi sampai pagi," katanya.

Dalam perkembangan kerjaya seni, bekas ahli kumpulan duo Delisha itu sering diberi kepercayaan membawakan watak utama menganggap setiap peluang sebagai rezeki yang perlu disyukuri dan disertai usaha bersungguh-sungguh.

Baginya, kejayaan yang dikecapi bukan sesuatu yang boleh ditentukan sendiri kerana setiap tawaran dan peluang hadir dengan ketentuan masing-masing.

No Image Caption

"Alhamdulillah. Saya sebenarnya berusaha. Kalau ALLAH bagi rezeki itu dan sesuai dengan Hannah, saya akan usahakan sebaik mungkin.

"Rezeki masing-masing. Saya tak boleh nak cakap apa-apa selain bersyukur," jelas pelakon drama bersiri Andai Itu Takdirnya.

Bercerita mengenai keserasian bekerja dengan pelakon lelaki, Hannah menyifatkan setiap gandingan yang pernah dijayakan memberikan pengalaman tersendiri.

Menurutnya, sikap profesional, komunikasi dan perbincangan di lokasi penggambaran menjadi antara perkara penting untuk memastikan kelancaran sesebuah produksi.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai pelakon lelaki yang paling kerap bergandingan dengannya, nama Shukri Yahaya antara yang disebut.

No Image Caption

GANDINGAN SERASI

Dalam masa sama, Hannah turut terkejut apabila namanya tersenarai dalam pencalonan kategori Gandingan Serasi bagi Anugerah Bintang Popular.

Ujar pelakon itu, dia sendiri tidak mengetahui mengenai pencalonan berkenaan pada awalnya dan menganggap pengiktirafan tersebut sebagai satu lagi rezeki dalam perjalanan seninya.

Mengulas peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya, Hannah tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya menyerahkan keputusan kepada penonton dan peminat.

Malah, dia juga tidak mahu peminat berasa terbeban untuk mengundi sehingga menganggap perkara itu sebagai satu kewajipan.

"Saya beri kebebasan kepada peminat. Saya tak nak menyeksa mereka. Kalau mereka suka gandingan dan kerja kami, mereka bolehlah mengundi," katanya.

Selain perkembangan kerjaya di Malaysia, Hannah turut teruja melihat sambutan penonton Indonesia terhadap karya lakonannya.

Mengakui tidak menyangka jumlah pengikut dari negara jiran itu menunjukkan peratusan yang tinggi, dia menyifatkan sokongan tersebut sebagai sesuatu yang cukup menggembirakan.

"Terharu sangat. Sebenarnya, kalau tengok algoritma, peratusan pengikut dari Indonesia lebih tinggi berbanding Singapura.

"Tetapi kita tak boleh nak bandingkan sangat sebab Indonesia negara yang besar, manakala Singapura pula kecil. Apa-apa pun, saya bersyukur dan tak sangka mendapat sokongan sebegitu," ujarnya.

MENCUBA PERKARA BAHARU

Tidak menolak kemungkinan mengembangkan kerjaya di negara itu, Hannah mengakui dirinya seorang yang gemar mencabar kemampuan sendiri dan mencuba perkara baharu.

"Kalau diberikan peluang, why not? Satu benda tentang Hannah, Hannah suka mencabar diri sendiri. Jadi, saya suka mencuba perkara baharu.

"Kalau masa sesuai dan wataknya pun menarik, kenapa tidak?" katanya.

Menurut Hannah, dia juga pernah bertanyakan kepada pihak pengurusan mengenai cara kerja dalam industri hiburan Indonesia sebagai persediaan awal sekiranya berpeluang menerima tawaran di sana.

No Image Caption

Malah, pelakon itu memahami bahawa komitmen penggambaran bergantung pada jenis projek, terutama sinetron yang lazimnya memerlukan pelakon berada di Indonesia untuk tempoh lebih panjang.

Bagi projek filem pula, tempoh penggambaran mungkin lebih singkat dan tidak semestinya memerlukan komitmen selama itu.

Bukan sahaja tertarik dengan peluang kerjaya, Hannah turut menyimpan rasa senang terhadap negara berkenaan, terutama makanan dan keramahan penduduknya.

"Saya suka Indonesia. Setiap kali pergi ke sana, mesti naik berat badan. Makanannya sangat sedap dan orang-orang di sana juga sangat mesra," katanya berseloroh.

Ketika ini, Hannah sedang menjalani penggambaran drama terbaharu Astro berjudul Dendam Seorang Isteri yang mempunyai 60 episod.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang