Syifa Melvin mohon maaf isu aibkan Shafiq ketika live, akui terlalu ikut emosi – 'Semoga selepas ini yang indah-indah untuk kita semua'
ISU rumah tangga yang sudah berakhir dengan perceraian nampaknya masih mengundang perhatian ramai apabila kemelut antara Syida Melvin dan bekas suaminya, Shafiq Azim, turut membabitkan ahli keluarga The Melvins.
Terbaharu, Syifa Melvin tampil memohon maaf secara terbuka selepas tindakan dia bersama adik-beradiknya membuat siaran langsung baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Menerusi perkongsian di Threads, Syifa mengakui mereka terlalu mengikut emosi sehingga tidak menyedari tindakan tersebut boleh mengaibkan bekas abang ipar mereka.
"Salam, rendah diri dan rendah hati kami mohon maaf atas apa yang jadi. Kami mengaku terlalu emosi sampai buat live sekali gus mengaibkan Shafiq.
"To Shafiq, we were once family. To netizens, kami terima segala kecaman sebab this is the price we have to pay.
"Semoga selepas ini yang indah-indah sahaja untuk kita semua," tulisnya.

Untuk rekod, kemelut berkenaan tercetus apabila Syida dan adik-beradiknya hadir ke kediaman yang pernah didiami Syida bersama Shafiq bagi meminta lelaki itu mengosongkan rumah berkenaan.
Syida sebelum ini mendakwa sudah kira-kira lapan bulan meninggalkan kediaman tersebut bersama tiga anak mereka selepas berdepan masalah rumah tangga. Dia kemudian menyuarakan hasrat untuk kembali menetap di situ demi menyediakan tempat tinggal lebih stabil dan selesa buat anak-anak.
Bagaimanapun, permintaan itu mencetuskan pertikaian apabila Shafiq tidak bersetuju untuk keluar. Situasi tersebut kemudian menjadi perhatian selepas beberapa rakaman siaran langsung memaparkan pertembungan antara bekas pasangan itu tersebar di media sosial.
Untuk rekod, pasangan tersebut sah bercerai talak satu pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkahwinan tersebut.

Dalam perkembangan sama, kehadiran ahli keluarga The Melvins untuk memberikan sokongan kepada Syida turut menjadi perdebatan.
Ada yang memahami tindakan adik-beradik itu, namun tidak kurang juga mempersoalkan keputusan mereka membawa perselisihan berkenaan ke ruang awam menerusi siaran langsung.
Menjengah ke ruangan komen hantaran Syifa, seorang pengguna Threads meluahkan rasa simpati terhadap Pawi dan Sam yang turut menerima tempias kontroversi tersebut.
Katanya, reputasi serta kerjaya yang dibina sekian lama boleh terjejas hanya disebabkan satu siaran langsung.
Komen itu turut mendapat maklum balas Syifa yang bersetuju bahawa tindakan mereka mengikut emosi merupakan satu kesilapan.
"Itulah, kami pun mengaku silap sendiri sebab emosi mengawal diri. Tapi jangan risau, semua baik-baik sahaja. Doakan kami ya," balasnya.
Selain itu, terdapat juga warga maya yang mencadangkan agar semua adik-beradik yang terlibat membuat permohonan maaf menerusi siaran langsung supaya penjelasan tersebut dapat disampaikan kepada lebih ramai pihak.
Antara komen lain yang mencuri perhatian termasuk permintaan supaya Syifa dan adik-beradiknya menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, selain ada yang menantikan reaksi Shafiq selepas permohonan maaf tersebut.

"Nice lah Syifa. Semoga semua jalan lebih baik untuk ampa semua lepaih ni."
"Like dulu kalau nak tengok reaksi Shafiq."
"Ini sebab netizen terlebih. Orang lain punya hal, orang lain yang kena siap beria nak boikot bagai."
Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat isu berkenaan tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga melibatkan individu lain yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kemelut bekas pasangan tersebut.
Apa pun, permohonan maaf Syifa memperlihatkan pengakuan keluarga itu bahawa tindakan mengikut emosi ketika berdepan konflik boleh membawa kesan lebih luas, terutama apabila setiap perkara yang dikongsikan di media sosial mudah menjadi perhatian umum.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
