Awal Ashaari dedah rahsia 14 tahun rumah tangga bersama Scha Alyahya, tak mudah terasa baca hantaran isteri – ‘Bukan untuk saya’
LUMRAH kehidupan selebriti, setiap perkongsian di media sosial sering menjadi perhatian, malah tidak kurang juga yang mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen.
Begitu juga dengan pelakon dan pengacara, Scha Alyahya yang sesekali memuat naik hantaran di platform Threads sehingga mencetuskan tanda tanya sama ada kata-kata yang dilontarkan itu mempunyai kaitan dengan suaminya, Awal Ashaari.
Namun, bagi Awal, tidak semua perkara yang dikongsikan isterinya perlu dipandang terlalu serius, apatah lagi menganggap setiap luahan sebagai petunjuk wujudnya masalah dalam rumah tangga mereka.
Ujar pemilik nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari itu, adakalanya permaisuri hatinya itu sekadar bergurau, menguji reaksi atau mahu melihat pandangan orang ramai terhadap sesuatu perkara.
"Kadang-kadang dia macam, kita tak payah ambil dengan serius. Kadang-kadang kita tak tahu dia bergurau ke, dia tengah menguji kepintaran kita ke, dia tengah menguji netizen ke.
"Kadang-kadang soalan-soalan jadi tanda tanya, tapi untuk siapa? Itulah dia. Tapi pada saya, dia gunakan Threads itu macam nak test, survey, macam itu," katanya kepada SinarPlus.

Rupa-rupanya, di sebalik pelbagai tafsiran terhadap perkongsian Scha, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 itu mempunyai satu kesepakatan tersendiri dalam menguruskan kehidupan peribadi.
Selepas 14 tahun melayari alam perkahwinan, Awal menjelaskan bahawa mereka menetapkan batas yang jelas, terutama dalam menggunakan media sosial sebagai ruang meluahkan masalah suami isteri.
Jangan guna media sosial luah masalah
Menurutnya, Scha bukan seorang wanita yang akan menggunakan platform tersebut untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dirinya.
"Sepanjang perkahwinan saya dan dia 14 tahun, Scha adalah seorang wanita yang tidak akan menggunakan media sosial untuk menyuarakan masalah dia dengan saya.
"Saya tak tahu masalah dengan orang lain mungkin, tetapi sebagai seorang isteri, daripada awal lagi saya selalu pesan, kita berdua kalau ada masalah suami isteri, jangan gunakan media sosial untuk meluahkan.
"Dan benda-benda yang dia tulis dalam media sosial itu, saya tahu tak ada kena-mengena dengan saya. Sebab kita dah memang jelas," dedah bapa kepada dua anak perempuan.

Malah, persefahaman itu turut terpakai kepada dirinya. Awal berkata, kedua-duanya sudah memahami bahawa sebarang perkongsian di media sosial bukanlah saluran untuk menyindir atau membuka aib pasangan.
"Sebab memang peraturan kita dalam perkahwinan, I won't say about you on my social media, dan dia pun takkan tulis pasal saya di media sosial dia.
"Sebab itu kadang-kadang bila saya baca, saya terfikir juga, untuk aku ke? Tapi bila kita kembali kepada perjanjian kita, I know it's not for me," jelasnya lagi.
Bagi Awal, perkara itu sudah menjadi satu bentuk persefahaman yang membantu mereka mengelakkan salah faham, sekali gus memberi ruang kepada masing-masing untuk berkongsi pandangan tanpa perlu bimbang setiap hantaran disalah anggap sebagai sindiran terhadap pasangan.
Justeru, jika ada perkongsian Scha yang kedengaran seperti luahan perasaan, ia tidak semestinya berkaitan dengan kehidupan rumah tangga mereka.
"Scha memang bukan gunakan media sosial untuk masalah dalam kelambu," katanya.

Selain menjaga batas dalam perkongsian peribadi, Awal turut berkongsi bagaimana mereka berinteraksi apabila timbul isu atau kontroversi yang menjadi perbualan hangat di media sosial.
Katanya, mereka tidak terkecuali berbincang mengenai perkara yang tular, malah ada kalanya bertukar pandangan dan berdebat sesama sendiri.
Bagaimanapun, pasangan itu lebih selesa menjadikan perbualan secara bersemuka sebagai ruang untuk memahami sesuatu isu berbanding terburu-buru memberikan reaksi secara terbuka.
"Kami borak, tetapi borak antara kitalah (suami isteri). Macam isu yang viral di media sosial, saya borak juga dengan Scha. Kalau kita macam itu, awak buat apa? Betul tak apa yang mereka buat.
"Sejujurnya, kita dah umur-umur macam ini, kita punya taste dengan orang-orang muda ini lain. Saya dah macam berdamai dengan takdir.
"Tapi bagi orang muda berbeza,mereka tak boleh terima. Sebaliknya, usia kami macam seperti sekarang, tak apalah. Kita banyak husnuzan saja lah," ungkapnya.
Pilih berbincang daripada mengikut kecoh di media sosial
Mengulas lanjut, Awal mengakui ada kalanya mereka sendiri tertanya-tanya tentang sesuatu isu yang hangat diperkatakan, namun tidak semua perkara perlu disertai dengan pandangan atau kenyataan terbuka.

Malah, mereka lebih memilih untuk meletakkan telefon dan meneruskan perbincangan secara peribadi.
"Kami berbual, bercerita. Tapi tak adalah nak bersuara. Sebab siapalah kita. "Macam saya, lebih kepada pendekatan tutup telefon.
"Kita orang ada juga berborak, berdebat. Itu cara kita orang berinteraksi, tetapi banyaknya lebih kepada face to face," dedah hos popular itu lagi.
Pendekatan Awal dan Scha itu memperlihatkan bahawa keharmonian rumah tangga bukan sekadar bergantung pada cara pasangan menyelesaikan perselisihan, tetapi juga bagaimana mereka menetapkan batas antara kehidupan peribadi dengan dunia luar.
Untuk rekod, hasil perkongsian hidup selama 14 tahun, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana dan Lila Amina.

Anak sulung mereka, Lara Alana, dilahirkan pada 22 Julai 2014, manakala anak kedua, Lila Amina, dilahirkan pada 12 Februari 2019.
Biarpun kehidupan sebagai selebriti sering menjadi perhatian, Awal dan Scha dilihat memilih untuk mengekalkan satu prinsip mudah dalam perkahwinan: perkara yang melibatkan suami isteri sebaiknya diselesaikan antara mereka, bukan dijadikan bahan perbincangan di media sosial.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
