Kontroversi demi viral, berbaloi atau makan diri? Adzliana Hasan ulas dunia bisnes dan hiburan – ‘Netizen hari ini sangat berpengaruh’
DALAM dunia perniagaan yang semakin dipengaruhi media sosial, kontroversi boleh menjadi jalan pintas untuk meraih perhatian. Namun, apabila sesuatu jenama terlalu mengejar populariti, sejauh mana reputasinya mampu dipertahankan?
Bagi Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan, kejayaan perniagaan bukan sekadar diukur melalui jumlah tontonan atau seberapa kerap namanya menjadi bualan, sebaliknya kemampuan untuk bertahan dalam jangka panjang.
Beliau berpandangan hanya sebahagian kecil usahawan menggunakan kontroversi sebagai gimik pemasaran, manakala strategi yang bersesuaian lebih penting untuk membina perniagaan yang kukuh.
"Pada pandangan saya, bukan semua usahawan menggunakan kata-kata kontroversi untuk mendapatkan perhatian. Mungkin sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja yang memilih pendekatan sebegitu sebagai gimik.
"Perkara yang perlu difikirkan bukan sekadar bagaimana mahu menjadikan perniagaan terkenal, tetapi bagaimana mahu mengekalkannya dalam jangka panjang," katanya.

Mengulas tanggapan bad marketing is good marketing, mesra disapa Datuk Nana, wanita berjiwa besar itu mengakui setiap pendekatan pemasaran mempunyai kesan tersendiri. Namun, usahawan katanya perlu bijak menilai risiko sebelum memilih kontroversi sebagai strategi menarik pelanggan.
Ini kerana pengguna media sosial hari ini mempunyai pengaruh besar dalam memberikan reaksi terhadap sesuatu tindakan atau kandungan yang dikongsikan sesebuah jenama.
"Kadangkala sesuatu perkara mungkin memberikan kesan dalam tempoh terdekat, tetapi kita perlu ingat bahawa netizen hari ini sangat berpengaruh.
"Sebab itu, sebelum melakukan sesuatu, usahawan perlu mempunyai strategi yang baik. Jangan hanya fikir bagaimana mahu menjadi viral, tetapi fikir juga kesannya terhadap perniagaan," ujarnya.
Bagaimanapun, Adzliana turut mengingatkan bahawa tidak semua kontroversi yang tercetus dalam dunia hiburan atau perniagaan dirancang untuk mendapatkan publisiti.
Ada perkara berlaku di luar jangkaan, termasuk tindakan seseorang pelakon atau artis yang tidak disengajakan sehingga menjadi perhatian ramai.
Justeru, beliau berpendapat setiap isu perlu dilihat berdasarkan konteks dan kaitannya dengan jenama yang dibawa, bukannya terus dijadikan bahan pemasaran.

Kafe semakin dekat dengan gaya hidup
Pandangan beliau mengenai budaya mencipta kandungan turut disentuh menerusi telefilem terbaharu terbitan UTV berjudul Like & Latte yang diterajui Shahz Jaszle dan Diana Danielle. Pelakon lain yang terlibat termasuklah Nadia Brian, Razzuan Rosli, Amanda Tan, Rahim Jailani dan Shania Hendrik. Telefilem berkenaan disiarkan menerusi platform penstriman digital eksklusif (OTT).
Mengisahkan pasangan Adam dan Zara yang mengusahakan sebuah kafe, naskhah itu mengetengahkan bagaimana pertengkaran yang tidak disengajakan menjadi tular sebelum menarik pelanggan ke premis mereka.
Namun, apabila konflik peribadi mula dijadikan kandungan, hubungan pasangan itu turut terkesan. Bagi Adzliana, pemilihan latar kafe juga cukup dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini kerana fungsinya semakin berkembang, bukan sekadar tempat menikmati kopi atau bertemu rakan.

"Budaya kafe sekarang bukan sekadar tentang minum kopi. Ramai suka mencuba tempat baharu kerana setiap kafe menawarkan suasana dan pengalaman berbeza.
"Ada yang datang untuk bekerja, berjumpa rakan atau mengambil gambar. Identiti dan suasana sesebuah kafe juga menjadi tarikan, terutama bagi mereka yang suka berkongsi pengalaman di media sosial," katanya.
Minat terhadap konsep itu turut mendorong wanita bertubuh kecil itu memperkenalkan Eleventea, kafe pertamanya yang beroperasi di Wangsa Maju sejak Jun lalu.

Beliau mahu menjadikan premis berkenaan sebagai ruang pertemuan dan jaringan sosial, selain tempat pengunjung meluangkan masa atau menyiapkan tugasan.
"Saya memang mahu mewujudkan sebuah tempat untuk bertemu orang dan membina jaringan. Saya tidak mahu perlu pergi ke banyak tempat untuk berjumpa orang, jadi saya mahu ruang seperti ini menjadi tempat orang berkumpul," jelasnya.
Menurutnya lagi, kehadiran golongan muda yang mengunjungi premis berkenaan pada waktu petang untuk bekerja atau menyiapkan tugasan turut memperlihatkan perubahan fungsi kafe dalam gaya hidup masyarakat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
