'1 dalam 10,000, Aidil insan terpilih' – Keluarga izinkan derma organ sebagai amal jariah berterusan, HPUSM kembali bercahaya hijau selepas 7 tahun

No Image Caption
A
A
A

TIDAK mudah untuk sebuah keluarga menerima hakikat kehilangan insan tersayang, apatah lagi apabila pemergiannya berlaku secara mengejut.

Namun, di sebalik kesedihan kehilangan Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, keluarganya memilih untuk mendermakan organ kepada insan lain bagi meneruskan kehidupan menerusi pendermaan organ dan tisu.

Bagi mereka, keputusan itu bukan sekadar membantu pesakit yang memerlukan, malah diharapkan menjadi amal jariah berterusan buat Muhammad  Aidil.

Menerusi hantaran ahli keluarga, Siti Hawa Najwa Zupardi, beliau tampil memberikan penjelasan mengenai keadaan Aidil selepas berlaku salah faham antara keluarga dan pihak doktor pada hari kejadian.

No Image Caption

"Assalamualaikum semua, di sini saya sebagai ahli keluarga Muhammad Aidil ingin membuat sedikit klarifikasi. Terdapat salah faham di antara pihak keluarga dan doktor pada hari kejadian.

"Jadi hari ini, doktor telah menjelaskan ada dua jenis kematian iaitu kematian jantung dan kematian otak. Aidil mengalami kematian otak walaupun organ beliau yang lain berfungsi dengan baik. 

"Organnya yang lain bergantung hidup pada mesin, jika mesin itu diputuskan, Aidil tidak mampu bernafas sendiri. Jadi, dalam erti biologi Aidil memang dah tak ada.

"Kes Aidil merupakan 1 dalam 10,000. Aidil merupakan insan yang terpilih. Kami sekeluarga membenarkan hospital untuk menderma beberapa organ beliau untuk dijadikan amal jariah berterusan buat beliau di dunia.

"Insya-ALLAH setelah pembedahan kali terakhir, Aidil akan disemadikan pada hari esok jika tiada aral melintang.

"Kami sekeluarga memohon maaf di atas kesalahfahaman yang berlaku dan Aidil masih dalam tahanan hospital. Kami berharap semua dapat menitipkan doa untuk Aidil sentiasa," kongsinya pada Khamis.

No Image Caption

Terdahulu, Muhammad Aidil difahamkan mengalami kecederaan otak serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kisah pemuda itu mengundang sebak selepas video walk of honour oleh warga Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) tular di media sosial.

Menurut kenyataan HPUSM, pengesahan kematian otak dilakukan oleh Pakar Anestesiologi dan Pakar Neurosurgeri mengikut protokol perubatan ditetapkan sebelum persetujuan penuh diperoleh daripada ahli keluarga arwah untuk meneruskan proses pendermaan organ.

Lebih menyentuh hati, pekarangan pintu masuk HPUSM kembali diterangi cahaya hijau pada malam Khamis selepas tujuh tahun tidak melaksanakan inisiatif berkenaan.

Pencahayaan itu menjadi tanda penghormatan buat Muhammad Aidil yang meninggalkan sumbangan cukup besar menerusi pendermaan sembilan jenis organ dan tisu. Antaranya buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, pankreas, kornea, tulang, kulit dan injap jantung.

Proses pembedahan pendermaan organ dimulakan pada tengah malam Khamis dengan kerjasama pasukan pakar perubatan HPUSM, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Pusat Transplan Nasional (NTC).

Pihak pengurusan serta seluruh warga kerja HPUSM turut merakamkan ucapan takziah dan penghargaan kepada keluarga arwah atas keikhlasan serta keberanian memberikan persetujuan untuk pendermaan berkenaan.

Keputusan itu pastinya bukan sesuatu yang mudah buat keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.

Sementara itu, seorang pengguna Threads, @syasylvie turut berkongsi video penghormatan terakhir buat Muhammad Aidil yang mengundang sebak warga maya.

"Walk of honour for Aidil, terima kasih telah selamatkan 10 nyawa lain Dil. Semoga syurga buatmu sahabat," kongsinya.

Hantaran itu menerima pelbagai ucapan takziah dan doa daripada warga maya yang turut tersentuh dengan kisah pengorbanan Aidil.

Walaupun pemergiannya meninggalkan kesedihan buat keluarga, keputusan mereka membenarkan pendermaan organ membuka peluang kehidupan kepada insan lain.

Buat Aidil, semoga setiap kebaikan yang lahir daripada pengorbanan ini menjadi amal jariah yang berpanjangan.

Sumber: Facebook Siti Hawa Najwa, Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang