NAMA Nurul Syazwani Noh, 35, mula menjadi sebutan ramai selepas muncul sebagai calon wanita tunggal untuk Parti Perikatan Nasional pada Pilihanraya Umum Negeri Selangor yang baru sahaja berlalu.

Anak bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mencipta sejarah apabila menang dengan majoriti 1,728 undi.

Kepada yang sudah maklum atau barangkali baru tahu, Nurul Syazwani ialah anak tunggal kepada pasangan berpengaruh, Tan Sri Noh Omar dan Puan Sri Dr Aishah Salleh.

Baru-baru ini, kami menjemputnya untuk menjadi penghias muka depan sisipan SinarPlus. Pelawaan itu disambut tanpa sebarang kekangan.

Maka, pada Jumaat baru-baru ini, beliau hadir dengan aura seorang pemimpin berwibawa bersama setiausahanya, Siti Zunaidah Yaacob ke Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

nurul syazwani

Bicara kami pada pagi itu sangat santai dan penuh mesra. Penuh dengan hilai tawa.

Berawal, Nurul Syazwani mengajak kami menyelami dunia politiknya yang sudah diselusurinya sejak berusia empat tahun lagi.

“Setiap kali abah turun padang dan jumpa orang kampung pada hujung minggu, saya akan ikut kerana itulah masanya untuk kami meluangkan waktu bersama.

nurul syazwani

“Bila melihat sendiri kesusahan orang kampung, saya secara automatik turut terkesan.

Pada masa sama, timbul keinsafan dan kesedaran dalam diri bahawa rezeki yang ada wajar dikongsi bersama. Jadi, minat itu dalam arena politik menyusup masuk secara sendiri, tanpa paksaan“ katanya.

Pun demikian, setiap kali menyuarakan hasrat untuk bertanding dalam mana-mana jawatan di peringkat sayap parti (ketika itu UMNO), kehendak tersebut dibantah oleh ayah tersayang.

 

“Abah pernah cakap, janganlah kita nak saling berlawan. Tak kan abah pegang jawatan Ketua Bahagian, anak nak jadi Ketua Puteri? Nanti orang kata ini parti anak-beranak.

“Saya akurlah dengan pesanan abah. Meskipun tak pegang apa-apa jawatan, tetapi saya tetap aktif turun padang sehinggalah pada tahun 2018, saya diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai AJK (Ahli Jawatankuasa),“ imbaunya.

Putaran masa menyaksikan tsunami politik telah merombak segalanya. Apa yang terjadi kepada bapanya membuatkan Nurul Syazwani bertekad melakukan sesuatu dengan berhijrah ke parti baharu.

nurul syazwani

Keinginan beliau hanyalah satu iaitu mahu mencipta formula politik sihat di Selangor.

“Abah kata kalau betul-betul nekad nak jadi ahli politik, kena berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuannya.

“Namun, saya terharu dan lebih bersemangat bila abah sendiri menjadi tulang belakang sepanjang saya berkempen tempoh hari,“ kata wanita itu yang juga seorang peguam hebat.

#restartpermatang

Fasa penting itu berjaya direntas, kini apa yang dilaungkan kepada masyarakat wajib dilunaskan.

Sebagai wakil rakyat merangkap Ketua Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang, Nurul Syazwani mula mengatur langkah.

nurul syazwani

Siang malam dirinya bekerja dan demi rakyat, pelbagai jemputan program dihadirinya tanpa keluhan.

Setiap kali turun padang, beliau yang selesa berbaju kurung untuk bertemu dengan orang kampung sentiasa menjadikan nasihat ayah sebagai pegangan hidup.

Baca juga Pernah menghuni rumah anak yatim jadikan Nurul Fadzilah lebih cekal, tahu isi hati dan kesusahan rakyat 

“Abah selalu pesan, persepsi orang kampung bergantung kepada penampilan seorang wakil rakyat. Kalau boleh jangan pakai gincu merah menyala, menunjuk-nunjuk gelang emas atau barangan berjenama. Dengar macam lucu tapi itulah hakikatnya,“ katanya.

nurul syazwani

Penulis kemudian terus bertanya. Apakah keperluan signifikan yang dilihat beliau paling diperlukan penduduk ‘di bawah jagaannya‘?

Personaliti ramah-tamah itu berkata, peluang pekerjaan menjadi hal yang perlu diberi perhatian.

“DUN Permatang ini bertuah kerana terletak di tepi laut, sungai dan sawah. Jadi, potensi menjadi destinasi agropelancongan sangat besar, selain pusat perusahaan industri kecil dan sederhana.

nurul syazwani

“Kesedaran pendidikan buat anak penduduk juga penting supaya mereka bersemangat untuk belajar. Jadi, saya sedang usahakan sesuatu buat mereka. Saya berharap semua berikan sokongan supaya misi #restartpermatang berjaya. Insya-ALLAH,“ katanya.

Bagaimana pula dengan tugas hakiki dirinya sebagai seorang peguam dan juga rakan kongsi di sebuah firma guaman?

nurul syazwani

Jawab Nurul Syazwani, beliau lebih mengutamakan urusan rakyat buat ketika ini dan syarikat tersebut diuruskan suami, Hisyam Hedzril Norhashim.

Bagaimanapun, tuan punya badan bersyukur belahan hatinya sangat positif dan sentiasa memberikan sokongan moral untuk terus kuat membela nasib rakyat.

Obligasi seorang ibu

Sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata yang semakin membesar, sesungguhnya, masa amat mencemburuinya.

Pemimpin berkarisma itu berkata, bagi beliau 24 jam yang dimiliki oleh setiap orang adalah tidak cukup untuknya.

Kesibukan yang dititi sehari-hari membuatkan anak sulung yang berusia 13 tahun mudah terasa hati dan sering merungut setiap kali kelibat ibu hilang pada hujung minggu.

nurul syazwani

“Selalunya si kakak sulunglah yang selalu memerli mamanya asyik tak melekat di rumah. Namun, saya bersyukur mempunyai ibu bapa yang sangat memahami untuk anak tumpang kasih sayang.

“Cuma saya sebagai ibu agak sedih bila anak bongsu saya berusia dua tahun lebih sayangkan atuk dan neneknya berbanding saya.

Iklan

Baca juga ‘Bukan riak nak tunjuk kekayaan, kami mahu memberi inspirasi kepada orang lain.’ Wawa Zainal beri jawapan padu

“Nak tidur, makan atau sebagainya mesti dengan mereka. Itulah pengorbanan yang perlu saya telan,“ ujarnya.

nurul syazwani

Demi menjaga hati insan tersayang, Nurul Syazwani memberitahu, beliau sedaya upaya menyusun jadual sebaik mungkin sekurang-kurangnya dapat berkumpul untuk makan malam.

“Sudah menjadi tradisi kami sejak kecil lagi untuk makan bersama. Wajib duduk satu meja sebelah malam untuk bonding time. Jadi, saya akan pastikan jam 9 malam sudah ada di rumah jika tiada hal yang mendesak.

“Lagi satu, mudah saja nak pujuk hati anak-anak. Sabtu atau Ahad saya akan bawa mereka makan angin. Sekarang ini bila tahu mamanya sibuk, anak-anak dah pandai menghargai masa yang ada,“ ceritanya sambil tertawa.

Kejar ilmu

Meneliti latar belakang wanita hebat berusia 35 tahun itu, portfolio yang dimiliki bukan calang-calang. Ternyata, beliau seorang yang sangat mencintai ilmu.

Bermula sebagai seorang graduan jurusan undang-undang di Universiti Teknologi MARA Malaysia, Shah Alam, Selangor, beliau kemudian terbang jauh ke Universiti Victoria, Australia untuk menelaah jurusan pentadbiran dan perniagaan untuk peringkat Master.

nurul syazwani

Tidak cukup dengan itu, pemegang Sijil Amalan Guaman dari Brickfields Asia College itu meneruskan kembara ilmiah untuk melopori pendidikan di peringkat tertinggi, Doktor Falsafah dalam pentadbiran perniagaan di Universiti MAHSA.

Sikap suka bersaing dan mahu meraih sebanyak mungkin pengetahuan yang menjadi pendiriannya mendorong peminat nuansa merah jambu itu berbuat demikian, selain mencontohi pencapaian ibu bapa tercinta.

nurul syazwani

“Saya sebenarnya sangat mengidolakan mak dan abah. Mak seorang ahli akademik dan abah pula ahli politik. Jadi, saya berusaha untuk bersaing dan mahu menjadi acuan terbaik mereka.

“Di rumah, abah jenis suka bergurau dengan mak dengan panggilnya ‘Prof‘ di rumah. Walau ia hanyalah satu canda, tapi itulah pemangkin semangat pada saya untuk bergelar seorang profesor pada suatu hari nanti,“ katanya melaungkan azam yang bukan sembarangan.

nurul syazwani

Iklan

Kepada penulis, Nurul Syazwani menegaskan, pendidikan adalah kelebihan paling penting yang boleh dijadikan bekalan hidup pada masa akan datang.

“Bila sudah berkecimpung dengan dunia politik, bagi saya seorang pemimpin itu perlu bijak dan berpengetahuan luas demi memberikan servis yang lebih baik.

“Secara logiknya, ilmu perundangan yang saya miliki kini, memang dapat membantu saya menyelesaikan isu berbangkit seperti penempatan dan ladang,“ katanya.

Ah! Memang terlalu banyak untuk dibualkan ketika bersama figura terkemuka itu.

nurul syazwani

Disebabkan ruang yang terhad, kami menanyakan hal yang jarang disoal oleh wartawan politik. Semestinya, tentang gaya hidup beliau.

Baca juga Pengacara WHI, Sugeeta pertahan tradisi raikan Diwali. Kenang kembali memori kuih ros & rindu masakan air tangan nenek

Sebagai individu yang sentiasa aktif, Ketua Biro Wanita, Keluarga, Kebajikan & Perpaduan PN Selangor itu berkata, beliau sangat mementingkan tidur yang berkualiti.

“Saya juga mengamalkan rutin larian sejauh 3 kilometer di treadmill. Berlari menjadi terapi diri buat saya. Walaupun penat macam mana pun, mesti kena buat sebab saya jenis yang cepat naik berat badan. Kalau tak berlari dalam sehari macam rasa tak lengkap hidup.

nurul syazwani

“Aktiviti tersebut adalah masa me time sambil mendengar lagu, membaca buku dan mendekorasi ruang dalaman rumah dengan konsep terkini,“ kongsinya.

Barangkali berbeza dengan orang lain, Nurul Syazwani lebih terbuka dengan amalan ubatan tradisional seperti jamu yang diperbuat daripada sumber dipercayai bagi memperoleh ekstra stamina.

“Jika bercakap tentang suplemen pil tambahan, saya kurang berkenan sebab ada alergi ubat tertentu. Namun, paling penting, air putih kena cukup supaya kita tidak dehidrasi, lebih-lebih lagi sekarang ini cuaca tak menentu,“ ungkapnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang