15 Tahun belajar bahasa Melayu, rahsia dua beradik warga China ini raih pelanggan di Beijing. 'Kalau menguntungkan mengapa tidak...'
DALAM kesibukan di sebuah pasar Pearl yang terletak di Beijing, kedengaran suara wanita memanggil pelanggan, “mari adik, mari kakak, barang murah tapi berkualiti”.
Mustahil rakyat Malaysia menjadi penjual di situ. Apabila didekati suara itu, kelihatan dua orang warganegara China sedang bertungkus lumus menarik hati pelanggan.
Difahamkan adik-beradik yang dikenali sebagai Fatimah Liu dan Aisha ini sememangnya berjaya mencuri perhatian pelancong Malaysia yang mana majoritinya datang melangkah terus ke kedai mereka untuk melihat barangan jualan.
Wanita berkenaan yang menjalankan perniagaan menjual barangan rumah seperti cadar dan alas meja mengatakan bahawa keupayaan berbahasa Melayu bukan sahaja boleh memudahkan urusan perniagaan malah dapat membina hubungan yang lebih erat dengan individu dari negara Malaysia.
“Urus niaga menjadi lebih mudah dan menguntungkan kerana pelanggan tertarik apabila mendengar peniaga asing seperti kami berkebolehan berbahasa Melayu.
“Sebab itu saya sentiasa menggalakkan peniaga di sini mempelajari bahasa Melayu dan bukannya menumpukan perhatian kepada bahasa Inggeris semata-mata.
“Jika belajar bahasa Melayu boleh membawa keuntungan dalam perniagaan, mengapa tidak mempelajarinya?” kata Fatima.
Pelanggan Malaysia
Adik-beradik itu mula mempelajari bahasa Melayu secara tidak formal kira-kira 15 tahun lalu apabila kedai mereka sering menerima pelanggan dari Malaysia.
Sedikit demi sedikit mereka mempelajari beberapa perkataan pendek sehingga lama-kelamaan pandai membuat ayat panjang yang lengkap.
Selain daripada itu, kelebihan bertutur dalam bahasa Melayu memberi impak positif apabila dapat membina hubungan yang baik dengan ejen di Malaysia dan Indonesia sekali gus mengembangkan potensi perniagaannya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang