SIAPA sangka wanita yang disanjung tinggi jiran tetangga dan bergelar ‘profesor’, Jolly Joseph dari Kerala, India merupakan seorang pembunuh bersiri.

Jolly yang kini berusia 47 tahun melakukan perbuatan licik tersebut dalam tempoh 14 tahun dengan meracuni enam anggota keluarga mertua hingga menyebabkan kematian.

Berbekalkan racun sianida sebagai senjata utamanya, suspek membunuh mangsanya melalui sup, makanan ringan dan minuman ayurveda.

Kisah pembunuhan pada tahun 2002 itu didakwa tercetus disebabkan keinginan suspek mewarisi harta daripada keluarga suaminya.

Untuk rekod, Jolly berkahwin dengan suaminya, Roy Thomas pada tahun 1997 selepas pertemuan di rumah bapa saudara wanita terbabit di daerah Kattappana, Idukki.

Roy ialah anak kepada Tom Thomas dan Annamma Joseph yang merupakan guru bersara selain mempunyai dua adik-beradik lain iaitu kakak, Renji Thomas dan abangnya, Rojo Thomas.

Menurut polis, Jolly atau Jolliamma datang daripada keluarga berpendidikan tinggi yang dihormati di Koodathayi namun didakwa menghadapi tekanan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Sehingga satu tahap, dia berpura-pura bekerja sebagai pensyarah di Jabatan Perdagangan di sebuah institut di NIT Calicut di Mukkam selama lebih daripada satu dekad (10 tahun).

“Pun begitu, dalam beberapa tahun selepas itu, Jolly berasa tergugat dengan kedudukan dirinya di dalam rumah dan mahu membolot kekayaan keluarga. Daripada situlah bagaimana pembunuhan bermula,” katanya.

Baca juga:Sakit hati kerana kata-kata, dua beradik nekad bunuh wanita hamil 8 bulan

Berikut SinarPlus kongsikan kronologi pembunuhan tersebut:

1. Kematian pertama berlaku pada tahun 2002 di mana ibu mertua Jolly, Annamma meninggal dunia selepas makan sup kambing di rumah namun dipercayai bahawa mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

2. Pada tahun 2008, bapa mentuanya, Tom Thomas rebah di dalam bilik mandi di tingkat bawah rumah selepas makan makanan ringan dan kematian juga berpunca serangan jantung. Tiada bedah siasat dijalankan ke atas kedua-dua mayat mereka.

3. Sejurus selepas kematian Tom, Jolly mengeluarkan wasiat yang tidak ditandatangani, yang mana sebahagian besar harta bapa mertuanya itu diberikan kepada Roy dan dirinya.

4. Pada 2011, suami Jolly, Roy juga meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan sianida dalam badannya.

5. Namun ia tidak disiasat lebih lanjut kerana polis Kodencherry menutup kes itu dengan mengklasifikasikan ia sebagai kes bunuh diri.

6. Jolly menegaskan suaminya mengambil nyawanya sendiri kerana ketagihan alkohol akibat masalah kewangan.

7. Pada tahun 2014, seorang kanak-kanak berusia dua tahun bernama Alphine, anak kepada Shaju Zacharias yang juga sepupu pertama Roy Thomas meninggal dunia dengan cara yang sama.

8. Pada tahun yang sama, abang Annmma, Mathew Manjadiyil yang sebelum itu berusaha membongkar segala kemusykilan dengan menyiasat kematian keluarga Thomas akhirnya ditemui mati.

9. Pada 2016, isteri Shaju, Cily meninggal dunia selepas dia rebah di klinik pergigian. Cily juga seperti yang lain mengalami sawan dan mulut berbuih.

Iklan

10. Hampir setahun selepas kematian Cily, Shaju dan Jolly berkahwin.

 

Bagaimanapun, pada Oktober 2019, Jolly Joseph ditahan polis selepas abang Roy, Tom Rojo menyerahkan petisyen kepada polis memohon mayat keenam-enam mangsa dibedah siasat semula.

Jolly – Foto kredit : India Today

Susulan itu, keadilan dapat ditegakkan apabila polis mendapati punca kematian mereka semua adalah disebabkan dibunuh.

Pada Februari 2020, Jolly cuba membunuh diri dalam tahanan polis dengan menggigit pergelangan tangannya.

Selain itu, rakan subahat Jolly, MS Mathew dan Prijikumar turut ditahan kerana membekalkan sianida manakala Manoj membantu memalsukan wasiat.

Baca juga:Penyanyi era 90-an, Along Spoon dibunuh disumbat dalam guni 23 tahun lalu, pembunuhnya kini terlepas hukuman penjara sepanjang hayat

Iklan

Kes berkenaan kini dalam peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen Tambahan Kozhikode.

Pepatah ada sebut ‘setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah. Yang jahat pasti akan menerima balasan.

Sumber : The News Minute

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!