Jangan sembarangan cium anak orang! Kanak-kanak dua tahun jadi mangsa hilang penglihatan sebelah mata

SIAPA sahaja yang tidak geram melihat anak kecil, terutamanya bayi. Pasti timbul keinginan untuk mendukung, menyentuh atau mencium mereka.
Namun begitu, tidak semua kanak-kanak boleh diperlakukan begitu.
Selain memerlukan keizinan daripada ibu bapa, kesihatan individu yang ingin menyentuh juga perlu diambil kira kerana ia boleh membawa risiko jangkitan yang serius.
Seperti kejadian yang menimpa seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Juwan yang dilaporkan oleh Daily Mail kehilangan penglihatan sebelah mata buat selama-lamanya.
Kejadian itu berlaku pada Ogos 2024, ketika Juwan berusia 16 bulan.
Si kecil itu telah dicium oleh seseorang, menyebabkan virus herpes menjangkiti bahagian mata kirinya.
Pada awalnya, ibunya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Juwan sering menggaru dan menjolok matanya tanpa menunjukkan rasa sakit. Menyangka ia hanya jangkitan biasa, doktor memberikan antibiotik dengan jangkaan matanya akan sembuh seperti sediakala.

Namun, keadaan semakin membimbangkan apabila matanya mula menunjukkan kesan melepuh seperti kudis sebelum berubah menjadi lubang bersaiz empat milimeter.
Hasil ujian saringan jangkitan herpes, kedua-dua ibu bapa Juwan disahkan negatif. Oleh itu, doktor menyimpulkan bahawa virus tersebut kemungkinan besar disebarkan oleh individu lain yang berdekatan—mungkin melalui ciuman di wajah, kawasan mata atau tangan sebelum Juwan menyentuh matanya.
Selama seminggu, pasukan perubatan memantau keadaan mata Juwan ketika jangkitan merebak dengan sangat pantas. Doktor terpaksa menjahit kelopak matanya bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk. Namun, keadaan mata Juwan terus merosot sehingga akhirnya kanak-kanak tersebut disahkan buta di sebelah mata kiri.

Menurut doktor, Juwan boleh menjalani pembedahan khas yang mana saraf dari bahagian kaki akan dipindahkan ke soket mata untuk cuba menghubungkan semula bola mata dengan otak. Namun, tiada jaminan prosedur itu akan berjaya kerana dia tetap berisiko mengalami kebutaan kekal.
Mengambil iktibar daripada kejadian ini, ibu Juwan menasihatkan semua ibu bapa supaya lebih berhati-hati dan tidak membiarkan orang luar menyentuh anak kecil.
Sentuhan sekejap yang dianggap remeh boleh membawa kesan buruk seumur hidup kepada seorang kanak-kanak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang