‘Dia sangat tenang, kami saling melengkapi’ – Shiqin Kamal tertarik kematangan Mika Irfan, beza usia tujuh tahun bukan penghalang cinta
BUKAN soal usia atau rupa paras yang menjadi ukuran dalam memilih pasangan hidup, sebaliknya bagaimana dua insan saling melengkapi kekurangan masing-masing.
Itulah yang dirasai pelakon Shiqin Kamal apabila bertemu lelaki pilihan hatinya, Mika Irfan Nojey Aman Amalo Nojey, 28, yang kini sah bergelar suaminya.
Meskipun mempunyai perbezaan usia tujuh tahun, Shiqin atau nama penuhnya Nur Ashiqin Mohd Kamal, 35, menyifatkan hubungan mereka sebagai satu keserasian yang hadir daripada perbezaan karakter dan pengalaman hidup.
Malah, aktres itu mengakui Irfan yang juga atlet memanah berkuda Malaysia memiliki kematangan tersendiri, selain memberikan kasih sayang yang mungkin selama ini kurang dirasainya.
Bagi Shiqin, suara dan ketenangan lelaki itu ketika berbicara menjadi antara perkara yang membuatkan dirinya tertarik.

Walaupun mempunyai jurang usia dan perwatakan, mereka merasakan perbezaan itu sebenarnya saling melengkapi.
"Dia punya suara bila bercakap sangat tenang. Berbeza dengan saya. Saya katakan kepada diri "Oklah aku kena tenanglah."
"Dari segi umur ya, saya lebih berumur daripadanya. Jurang tujuh tahun. Dari segi urutan adik-beradik, dia anak sulung manakala saya bongsu.
“Dia memang matang dari segi kehidupan, malah dari sudut kasih sayang dia lebih matured daripada saya. Apa yang dia berikan itu adalah apa yang saya kurang selama ini. Jadi kami saling melengkapi,” katanya.
Bagi Irfan pula, dia melihat Shiqin sebagai wanita yang matang, berdikari dan mempunyai prinsip hidup sendiri. Dia menghormati keperibadian pelakon Abang Long Fadil itu dan tidak mahu mendekatinya secara terburu-buru.
“Pandangan pertama saya, Shiqin seorang wanita yang matang, kuat, berdikari dan tinggi maruah diri. Saya sangat menghormati sifat itu.
"Jadi, saya tak mahu mengejar dia melalui DM Instagram kerana saya rasa ramai orang sekarang menggunakan cara itu.
"Saya ambil masa dan pilih cara lama. Saya minta bantuan kenalan yang mengenali dia untuk merapatkan hubungan kami. Kemudian, saya tunggu sama ada dia sudi membuka ruang untuk saya atau sebaliknya.
"Alhamdulillah, dia memberi peluang kepada saya. Akhirnya, kami membuka lembaran baharu dalam perkahwinan,” tuturnya.

Mendedahkan detik pertama pertemuan di sebuah pertunjukan kuda, Shiqin mulanya hanya mahu swafoto dengan suaminya. Namun, reaksi lelaki itu yang meminta untuk menunggu membuatkan dia sedikit terkilan.
Malah, Shiqin mengakui tidak pernah mengalami situasi sedemikian sepanjang bekerja dalam industri seni.
Selepas selesai membuat persembahan, Irfan kembali mendapatkan Shiqin untuk menunaikan permintaannya mengambil gambar bersama.
Namun, pertemuan itu tidak terus membawa mereka kepada hubungan istimewa.
Dua minggu kemudian, Shiqin menerima mesej daripada seorang rakan yang memaklumkan jurulatih berkuda itu mahu mengajaknya keluar makan malam. Bagaimanapun, pelawaan pertama itu ditolak.
“ALLAH memudahkan. Adalah kami bertemu sekali dua dan saya mendapati rasa serasi berbual dengannya. Jadi kami menjadi kawan,” katanya.
Shiqin juga mengakui menerima lamaran suaminya selepas berdoa di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan umrah penghujung Mac lalu.

Bagi Shiqin, keputusan untuk menerima Irfan sebagai suami turut hadir selepas melalui proses mengenali hati budi masing-masing.
"Masa itu berkawan. Pada usia 35 tahun saya inginkan kepastian. Saya ke Makkah minta kepada ALLAH, kalau betul he's the one maka permudahkan segalanya. Alhamdulillah, balik tu memang saya temui jawapannya," kongsinya lagi.
Sekembalinya dari Makkah, hubungan mereka semakin jelas yang membawa mereka ke fasa baharu. Shiqin mengakui pada awalnya tidak terus memberikan jawapan kerana mahu memastikan keputusan itu dibuat dengan penuh keyakinan.
"Kami tiada lamaran atau apa-apa. Cuma dalam kereta saya bertanya kepadanya "Awak nak kahwin dengan saya?” dan dia jawab "Nak."
"Sebenarnya dia sudah ajak taaruf tetapi saya hold dulu kerana belum pasti. Tambahan pula dia lebih muda namun apabila berkomunikasi, saya temui keserasian itu.
"Sehinggalah selepas menunaikan umrah, segalanya dipermudahkan sampai sekarang, Alhamdulillah," katanya kepada SinarPlus.
Mengulas keunikan memilih satu set memanah dan berkuda sebagai hantaran, berbanding barangan lazim seperti beg, kasut atau pakaian, Shiqin mendedahkan ia akan digunakan ketika mereka menyertai pertandingan pada masa akan datang.
Malah, pasangan itu mahu menjadikan set tersebut sebagai lambang cinta yang akan dibawa bersama ke mana-mana.

“Macam just to show people. Ini. This is our love. So we will carry our love everywhere,” katanya.
Bagi Shiqin, pilihan itu lebih bermakna kerana berkuda merupakan minat yang dikongsi bersama, sekali gus menjadi sebahagian daripada perjalanan baharu mereka sebagai suami isteri.
Shiqin dan Irfan selamat bergelar suami isteri dalam ijab kabul yang berlangsung 12 tengah hari Rabu dengan berwalikan abangnnya, Firodzeen Kamal.
Pelakon Lagenda Budak Setan itu menerima mas kahwin berupa dua dinar emas dan lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
