Jutawan Jepun pelawa 8 orang sertai misi mengelilingi bulan, peluang sekali seumur hidup
MISI ke bulan bukannya sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi memerlukan belanja yang besar. Selain itu, bukan calang-calang orang yang boleh ‘lepas’ ke angkasa.
Sebenarnya, untuk ke sana bukan mudah ya. Bukan sahaja perlu melepasi beberapa saringan, ujian fizikal dan mental yang ketat, seseorang yang dipilih juga perlu memiliki latar belakang dan ilmu mendalam dalam dunia tersebut.
Namun, jika diberi peluang untuk menjelajah angkasa, barangkali itu satu peluang sekali seumur hidup. Pasti ramai yang berkeinginan, bukan?
Ya! Peluang rare seumpama itu memang jarang-jarang ada, tetapi apa yang ditawarkan seorang jutawan Jepun, Yusaku Maezawa baru-baru ini memang istimewa.
Maezawa yang pemurah itu difahamkan mahu menaja lapan individu untuk menyertainya dalam misi mengelilingi bulan yang dijadualkan pada tahun 2023.
Misi yang dikenali dengan nama dearMoon itu dijadualkan menggunakan roket SpaceX’s Starship.
Pengumuman yang dibuat secara virtual pada Selasa lalu membuatkan ramai teruja kerana sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk menyertai misi luar biasa itu jika bertuah.
Lapor bnbc.com, pemilik gedung fesyen online terbesar di Matahari Terbit tersebut telah menawarkan peluang keemasan kepada orang ramai untuk menjadi lapan kru anak kapal.
“Saya menjemput anda untuk menyertai saya dalam misi lunar awam pertama iaitu dearMoon.
“Misi dearMoon akan menerbangkan 10 hingga 12 orang manakala lapan daripadanya terdiri orang ramai akan dipilih oleh saya,” katanya dalam satu video berdurasi enam minit 44 saat itu.
Maezawa yang juga memiliki kekayaan dengan jenama terkemuka, Zozosuit itu dikatakan akan membayar kos sepanjang perjalanan dan mereka yang terpilih akan terbang tanpa dikenakan bayaran sesen pun.
Wow! Apa lagi menarik, misi yang mengambil masa tiga hari untuk terbang ke orbit bulan, mengelilingi bulan dan pulang ke bumi itu menjadi misi lunar peribadi pertama di dunia.
Merujuk laman web dearMoon pula, prapendaftaran dibuka sehingga 14 Mac ini dan bagi mereka yang berminat boleh mengisi maklumat melalui aplikasi yang ditetapkan.
Hanya perlu mengisi nama, negara, alamat e-mel dan gambar profil sebelum pemohon menjalani pemeriksaan awal bermula 21 Mac depan.
Mereka yang disenarai pendek akan diminta menghadiri sesi temu duga dan pemeriksaan perubatan pada akhir Mei nanti.
Barangkali pembaca SinarPlus tertanya-tanya, apakah kriteria utama yang dicari untuk menjadi sebagai kru misi tersebut?
Menurut Maezawa, calon mestilah mempunyai impian yang besar dan mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih besar, sama seperti impian ke angkasa.
“Bolehkah kamu lakukan yang lebih baik, bahkan lebih besar? Lagi satu, lapan individu yang saya cari mestilah bercita-cita tinggi dan mempunyai aspirasi sama menyokong anak kapal yang lain,” katanya.
Bagi mereka yang masih ragu-ragu dengan keupayaan roket tersebut, SinarPlus difahamkan SpaceX berjaya melancarkan beberapa prototaip Starship yang mendarat dengan selamat selepas penerbangan pada paras 500 kaki.
Meskipun belum mencapai orbit yang diinginkan, namun pembangunan roket Starship di Texas, Amerika Syarikat berjalan dengan baik sejak diumumkan pada lebih dua tahun lalu.
Barangkali mahu mewujudkan roket yang mampu menyaingi kapal terbang komersial yang membawa penumpang, SpaceX dikatakan menjadi kunci impian dalam penerokaan angkasa lepas.
Jadi? Ada sesiapa berminat? Bagi mereka yang rasa layak untuk menyertai kru SpaceX’s Starship itu, bolehlah cuba nasib, mana tahu ada rezekikan?
Mungkin anda merupakan angkasawan kedua atau ketiga selepas Datuk Sheikh Muszaphar Shukor terpilih untuk menaiki Soyuz TMA-11 pada Oktober 2007.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang