TIDAK dapat dinafikan, kecomelan kucing seringkali menjadi perhatian orang ramai.

Tidak kira di mana lokasi sekalipun, buat peminat haiwan itu, ia tetap dianggap peneman dan penghibur.

Apatah lagi dengan kepelbagaian baka dan warna menyebabkan ia menjadi tarikan buat orang ramai.

Baru-baru ini, The Guardian melaporkan, seekor kucing yang dikatakan sedang ‘melepak’ di atas sebuah kereta api telah mencetuskan situasi cemas.

Masakan tidak, disebabkan si bulus itu, perkhidmatan kereta api di situ terkandas lebih dua jam selepas haiwan itu tidak mahu turun dari bumbung kenderaan berkenaan.

Dipercayai, kucing itu dilihat santai merehatkan diri di atas kereta api Avanti West Coast kira-kira setengah jam sebelum dijadualkan bertolak ke Manchester pada jam 9 malam.

Disebabkan insiden itu juga, penumpang telah dipindahkan ke dalam kereta api lain buat sementara waktu.

Akhirnya, selepas dua jam setengah, petugas di stesen berkenaan menemui jalan penyelesaian apabila beliau meletakkan sebuah tong sampah di sebelah kereta api tersebut.

Iklan

Seusai itu, kucing berkenaan turun dengan selamat selepas beberapa orang kakitangan gagal memujuk dari kedudukannya yang tidak menentu (di atas kereta api).

Pun begitu, sehingga kini para petugas masih belum mengetahui bagaimana kucing itu boleh memanjat ke atas bumbung kereta api itu.

Iklan

Terdahulu, kata pengurus stesen Rangkaian Kereta Api Euston, mereka sering menghadapi masalah dengan burung di stesen dan insiden itu merupakan kali pertama kucing pula menjadi cabaran buat para petugas.

Foto: The Guardian