Kisah derita kembar siam Yousuf dan Yassin yang kepalanya bercantum. Sedih, ibunya masih tak dapat peluk mereka
BERKONGSI satu kepala sejak dilahirkan. Ini kisah bayi kembar siam yang berasal dari Republik Yemen yang sangat menjentik perasaan warganet.
Mana tidaknya, Yousuf dan Yassin Abdul Rahman yang berusia empat bulan difahamkan tidak pernah merasa pelukan ibunya setiap kali menangis atau mahu bermain.
Lagi menyedihkan, dua beradik lelaki itu tidak dapat bergerak dengan selesa untuk bermain kerana keadaan kepala mereka yang tercantum.
Sangat fragile sampaikan ibunya sendiri pun tidak berani untuk memeluk atau mendukungnya. Sedihkan?
Lapor thenationalnews.com, ibu kepada bayi malang tersebut dikenali dengan nama Samar hanya mampu menangis dan meratapi nasib anaknya itu.
Ini kerana menurut wanita berusia 24 tahun itu, keadaan kesihatan kembar siam itu dikatakan semakin merosot selepas keluar dari hospital.
"Saya sudah membuat satu permohonan penting kepada semua agensi kemanusiaan dan kerajaan untuk mendapatkan rawatan untuk kembar saya di luar negara terutamanya di Arab Saudi kerana kami pernah mendengar beberapa kes pembedahan kembar siam yang berjaya dirawat sebelum ini," katanya penuh berharap.
SinarPlus difahamkan, Yousuf dan Yassin berdepan komplikasi selepas dilahirkan secara pembedahan dan ditahan di unit rawatan rapi sebelum dibenarkan pulang.
Tidak mahu anaknya terus menderita, ibu kepada lima orang anak itu merayu kepada semua pihak untuk membantu menjalani rawatan.
Nasib Samar boleh disamakan dengan pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.
Wanita itu dikatakan terpaksa bertungkus-lumus menyara keluarganya termasuk tiga anaknya lain selain bergantung bantuan amal tempatan dan luar negara.
Suaminya pula yang berusia 50 tahun itu tidak lagi dapat bekerja disebabkan kecederaan di tempat kerja.
Keluarga itu menetap di rumah usang di pedalaman cukup daif yang terletak di Kampung Al Trais, Seiyun, Hadramaut yang terletak di wilayah timur negara itu.
MASIH ADA HARAPAN
Cerita bayi kembar tersebut menerima perhatian ramai doktor dan rata-rata mereka berkata, masih ada harapan yang cerah untuk bayi kembar tersebut dipisahkan.
Ini kerana menurut doktor yang merawat bayi tersebut, Dr Sami Al Amoudi, pemeriksaan kardiogram menunjukkan organ dalaman seperti otak tidak bercantum.
"Keadaan itu menunjukkan jika berlaku pembedahan untuk memisahkan kepala mereka, mungkin tiada masalah kerana otak masing-masing berasingan.
"Jadi, ini memberi harapan cerah untuk mereka survive selepas pembedahan," katanya yang turut membantu memohon bantuan di Pusat Bantuan King Salman di Riyadh.
Ternyata kisah menyayat hati bayi lelaki tersebut mendapat perhatian daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Baru-baru ini, satu arahan dibuat untuk memindahkan bayi kembar siam itu ke King Abdulaziz Medical City di Riyadh untuk pembedahan secepat mungkin.
Pengumuman itu dibuat Penasihat Mahkamah Diraja, Dr Abdullah Abdul Aziz Al Rabeeh yang akan mengetuai pasukan pembedahan bayi kembar tersebut.
Bukan mudah sebenarnya dengan keadaan negara Yemen yang masih bergolak dan berdepan peperangan tidak berkesudahan.
Mungkin kita boleh kirimkan doa supaya prosedur pembedahan buat Yousuf dan Yassin dapat berjalan dengan lancar dan membesar dengan sihat.
Moga Ramadan terus membawa keberkatan buat kita semua. #RamadanDalamKeberkatan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang