Laman terbiar, jiran sangka sudah berpindah, bongkar penemuan ‘mumia’ nenek mati terduduk 2 tahun

A
A
A

WANITA berusia 70 tahun ditemui pasukan bomba di Como, Itali berikutan aduan jiran bahawa sebatang pokok tumbang ke dalam kebunnya yang terbiar.

Tidak jelas bagaimana dia meninggal dunia tetapi pemeriksa perubatan telah mendedahkan bahawa wanita itu meninggal dunia menjelang penghujung 2019 berdasarkan mayat 'mumia'nya.

Jasadnya ditemui dalam keadaan duduk di atas kerusi di ruang tamu.

Warga emas itu tinggal berhampiran Tasik Como di utara Itali.

Menurut CNN, pihak berkuasa sedang menyiasat jika wanita berkenaan, Marinella Beretta mempunyai saudara mara yang masih hidup.

Jiran-jiran Beretta dilaporkan tidak berjumpa dengan warga emas itu sejak September 2019 dan mengandaikan dia telah berpindah sebelum bermulanya wabak koronavirus.

Datuk Bandar Como, Mario Landriscina, menjemput bandar itu ke pengebumian mendiang yang masih belum ditetapkan tarikhnya. Malah katanya pemerintah tempatan akan menguruskan pengebumian.

"Saya akan cuba berada di sana dan saya menjemput seluruh bandar untuk hadir.

“Wanita ini tidak mempunyai saudara mara, kita boleh menjadi saudaranya,” katanya.

Elena Bonetti, Menteri Kekeluargaan Itali menggesa panggilan telefon perlu dibuat kepada warga emas untuk memastikan keadaan mereka terjaga.

“Apa yang berlaku kepada Marinella Beretta di Como adalah bukti sebuah kesunyian yang dilupakan. 

“Kembalilah untuk memulihkan hubungan antara kita. Peka dan saling menjaga antara satu sama lain adalah tanggungjawab institusi dan rakyat kita. Tiada siapa yang perlu ditinggalkan sendirian,” titipnya menerusi Facebook.

Sumber: Daily Mail, CNN

Foto: Pixabay, Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang