SANA-SINI ramai orang bercakap tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah memberi impak kepada kehidupan manusia masa kini.

Bukan sahaja dalam bidang perkomputeran, malah kita boleh lihat robot-robot AI sudah mula menggantikan tugas-tugas manusia.

Baru-baru ini, dua teknologi AI yang dibangunkan oleh firma teknologi undang-undang, Luminance berjaya memutuskan kontrak tanpa sebarang penglibatan manusia.

SUMBER Tara Winstead daripada PEXELS.

Mail Online melaporkan, teknologi berkenaan berbincang mengenai butiran Perjanjian Tanpa Pendedahan.

Ia dilakukan antara syarikat Luminance dan salah seorang daripada pelanggannya, proSapient.

Kontrak tersebut berjaya dimuktamadkan dalam masa beberapa minit sahaja dan manusia hanya diperlukan untuk menurunkan tandatangan mereka.

 

Demonstrasi menakjubkan itu berlaku kira-kira seminggu selepas hartawan, Elon Musk meramalkan bahawa teknologi AI akan menyebabkan pengangguran sehingga sehingga tiada sesiapa perlu bekerja lagi.

Dalam perbualan bersama Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak pada Sidang Kemuncak AI Bletchley Park, Musk mendakwa teknologi AI akan menganggu pekerjaan.

“Akan tiba satu masa yang mana tiada pekerjaan diperlukan,” katanya semasa persidangan tersebut.

Sebelum ini teknologi tersebut menggantikan kerja berulang yang dilakukan secara fizikal.

Namun demikian, demonstrasi Luminance menunjukkan kerjaya peguam dan profesion intelektual lain juga tidak selamat.

Baca juga: Robot dikendalikan pekerja OKU, inisiatif kafe ini membuat ramai kagum dan terkesima

Baca juga: Empat robot ‘dilantik’ berkhidmat di Pusat Perubatan Sunway. Ini tugas-tugas yang BellaBot perlu lakukan

Pada acara diadakan di pejabat Luminance terletak di London itu, robot peguam berkenaan dilihat membaca dan menganalisis kontrak secara sendiri.

Ia kemudiannya mencadangkan pindaan dan melakukan perubahan.

Sungguh luar biasa. Bagaimanakah ia dilakukan?

SUMBER Alex Knight daripada PEXELS.

BUKAN GANTIKAN PEGUAM

Menurut portal tersebut, robot AI itu dilatih menggunakan set data yang mengandungi lebih 150 juta dokumen perundangan.

Iklan

Ia juga dikatakan mampu memahami bidang risiko undang-undang dan belajar daripada kontrak sebelumnya.

Sebagai contoh, Perjanjian Tanpa Pendedahan pada asalnya mencadangkan kontrak enam tahun.

Pun begitu, robot peguam Luminance menyedari perjanjian itu bercanggah dengan dasar syarikat dan secara automatik mengubahnya kepada tempoh tiga tahun.

Presiden Persatuan Undang-undang, Nick Emmerson memberitahu, setiap klien mempunyai keperluan dan kelemahan yang berbeza yang mana ia belum boleh dikuasai oleh mesin tersebut.

“AI tidak akan dapat menggantikan sepenuhnya fungsi kepakaran undang-undang yang disediakan oleh profesional yang berkelayakan,” katanya.

Baca juga: Robotik Bank Rakyat cungkil bakat muda

SUMBER Michelangelo Buonarroti daripada PEXELS.

Sementara itu, Ketua Staf di Luminance, Jaeger Glucina pula berpandangan bahawa teknologi tersebut tidak bertujuan menggantikan kerjaya peguam.

Iklan

Ia sebaliknya menyokong golongan berkenaan untuk bekerja dengan lebih baik.

Di sebalik kecanggihan teknologi, kita sebagai manusia juga perlu bijak menggunakannya.

SinarPlus ingatkan supaya berhati-hati menggunakan sebarang teknologi AI dan jangan mendedahkan data privasi yang pastinya akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!