Pasang penyaman udara selama 6 tahun, rupa-rupanya ibu simpan mayat anak dalam bilik, lumur minyak setiap hari sampai jadi mumia!

SIAPA sangka di sebalik tindakan seorang warga emas berusia 75 tahun yang tidak pernah menutup pendingin hawa di rumahnya selama bertahun-tahun, tersimpan sebuah rahsia yang cukup memilukan.
Segalanya bermula ketika wanita yang dikenali sebagai Li menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu, ketika usianya baru 53 tahun.
Pemergiannya bukan sahaja meninggalkan kesedihan yang mendalam, malah menjadi titik permulaan kepada satu kejadian yang sukar dipercayai dan di luar jangkaan.
Ibu kepada Li, yang namanya tidak didedahkan, mengambil keputusan menyimpan jasad anak perempuannya di dalam sebuah bilik di rumah mereka dekat Ruifang, Taiwan.
Bagaimanapun, wanita itu mendakwa dia hanya menunaikan permintaan terakhir Li yang mahu dikebumikan selepas tujuh tahun dari tarikh kematiannya.
Mungkin kedengaran tidak masuk akal, namun si ibu tetap menunaikan permintaan anaknya dengan penuh dedikasi.
Manakan tidak, warga emas itu akan memastikan oenyaman udara di bilik tempat jasad anaknya disimpan sentiasa terpasang pada waktu siang mahupun malam.
Bukan itu sahaja, wanita itu juga dikatakan melumurkan minyak ke atas tubuh anaknya setiap hari sehingga jasadnya bertukar menjadi mumia ketika ditemui pihak polis.
Rahsia itu kemudiannya terbongkar selepas si ibu melaporkan kejadian tersebut kerana berdepan masalah kewangan, sehingga tidak mampu menanggung bil elektrik yang semakin melambung.
Keadaan bertambah rumit apabila dia kini diserang strok, sekali gus menyukarkannya untuk menjaga jasad anaknya walaupun berbaki setahun sebelum genap tempoh berkenaan.
Penduduk sekitar juga berasa hairan dengan keadaan itu kerana sebelum ini mereka tidak pernah terhidu sebarang bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan.
Menurut jiran tertangga, wanita berkenaan juga tidak bergaul dengan orang sekeliling sehingga ramai menyangka dia tinggal seorang diri di kediaman berkenaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang