NAMA Perancis dan pemimpin utamanya begitu ‘panas’ sejak kebelakangan ini. Bukan sahaja menjadi buah mulut dalam lingkungan negara itu sahaja.

Bahkan, seantero dunia turut hangat dengan insiden yang menyebabkan sentimen anti-Islam di negara yang terkenal sebagai pusat fesyen global itu.

Ia susulan kenyataan Presidennya, Emmanuel Macron yang lantang mempertahankan nilai sekular Perancis daripada ancaman Kumpulan Pemisah Islam. Pada masa sama, beliau turut melabelkan Islam sebagai agama yang mengalami krisis pada awal bulan Oktober lalu.

Bagaimanapun, peristiwa yang membabitkan kematian seorang guru di Perancis, Samuel Paty membuatkan situasi Perancis bertambah tegang dan terus mencetuskan amarah dalam dunia Islam.

Paty dibunuh kejam oleh seorang remaja Rusia berketurunan Chechen pada 16 Oktober lalu.

Kepala Paty dipenggal. Paty sebelum itu menunjukkan kartun-kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW kepada para pelajarnya dalam kelas kebebasan bersuara di sebuah sekolah di pinggir Paris.

Insiden berdarah itu menyebabkan Macron mengeluarkan kenyataan yang mempertahankan kebebasan bersuara, gaya hidup sekular dan ‘tidak mengharamkan kartun’.

Demi membela maruah nabi, pemuda tersebut maut ditembak pihak Polis Perancis dengan sembilan das tembakan. Rentetan peristiwa itu, ia menambahkan situasi ketegangan beragama di negara itu.

Begitupun, di sebalik kejadian itu, ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan tentang komuniti mualaf di Perancis.

Meskipun negara itu tidak sunyi daripada provokasi terhadap Islam, namun jumlah mualafnya terus mengalami pertumbuhan pesat.

Naik dua kali ganda dalam tempoh 30 tahun!

Berdasarkan video Muslim Converts Stories, saban tahun, bilangan orang Perancis yang masuk Islam semakin meningkat secara signifikan.

Peluk Islam
ANTARA masjid yang terletak di Paris iaitu Masjid Agung Paris.

Walaupun jumlah mualaf masih sedikit di negara itu, tetapi setiap tahun, bilangan orang yang masuk Islam meningkat dua kali ganda dalam tempoh 30 tahun terakhir, berdasarkan angka yang dipaparkan menerusi sedutan pada video berkenaan.

Berdasarkan artikel yang disiarkan oleh aboutislam.net, portal berkenaan turut memetik laporan harian La Croix pada 25 Ogos lalu yang memaklumkan hasil tinjauan oleh Piere Schmidt mengenai jumlah saudara baharu yang masuk agama Islam di Perancis.

Ketua Biro Agama di Kementerian Dalam Negerinya, Didier Leschi dilaporkan berkata, selalu sahaja ada mualaf yang memeluk Islam.

“Apa yang berlaku pada hari ini adalah gerakan oleh para mualaf muda.

“Menurut maklumat yang kami terima daripada orang Islam yang bertanggungjawab dalam persatuan terlibat, mereka menyatakan, mungkin ada sekitar 10 orang mualaf baharu setiap hari,” katanya.

Jika itulah jumlahnya, maka ada kira-kira 3,600 orang yang memeluk Islam setiap tahun!

Portal aboutislam.com turut melaporkan, kebanyakan mereka yang memeluk Islam itu dipengaruhi oleh tokoh-tokoh terkenal terutama pemain bola sepak.

Umpamanya, pemain bola sepak pasukan Perancis, Nicolas Anelka. Beliau memeluk agama suci ini pada tahun 2004, lalu menukar namanya kepada Abdul-Salam Bilal Anelka.

Iklan

Begitu juga dengan Franck Ribery. Pemain popular dari utara Perancis itu masuk Islam pada tahun 2006 untuk berkahwin dengan seorang wanita Muslim bernama Wahiba. Beliau kemudiannya menggunakan nama Bilal Yusuf Mohammed.

Seorang lagi pula adalah bintang rap Perancis yang terkemuka, Melanie Georgiades. Terkenal dengan nama pentas Diam’s, dirinya telah menemui ketenangan dalam Islam setelah memeluk agama itu pada tahun 2009.

Peluk Islam
MELANIE GEORGIADES

Dalam pada itu, portal sama turut menyebut bahawa Masjid Sahaba yang terletak di tengah-tengah pinggiran kelas menengah Creteil di Paris, Perancis begitu terkenal dengan ‘masjid para mualaf’.

Masakan tidak, masjid itu menjadi saksi para mualaf mengucap kalimah syahadah. Dilaporkan kira-kira 150 upacara penukaran agama berlaku di masjid yang tersergam indah tersebut.

Untuk rekod, Perancis merupakan tempat komuniti Muslim yang berjumlah lebih enam juta orang. Ia mewakili sembilan peratus daripada populasi negara berkenaan. Malah, ia merupakan jumlah yang terbesar di Eropah.

Berdasarkan laporan Pew Research Center, terdapat tiga juta Muslim kelahiran asing di Perancis dengan sebahagian besar berasal dari bekas jajahan Perancis di di Aljazair, Maroko, dan Tunisia.

Jumlah populasi Muslim di Perancis dijangka akan melebihi 10 peratus pada tahun 2030.

Iklan

Ketika ini, ada sekitar enam juta Muslim di Perancis. Fakta itu sebagaimana dipetik menerusi video Muslim Converts Stories. Berdasarkan sebuah kajian, pertumbuhan akan berlaku secara signifikan pada tahun 2050.

Majoriti Muslim Perancis merupakan pendatang. Kira-kira 100,000 mualaf berasal dari etnik di Perancis. Ada beberapa laporan menyebut, jumlah mualaf di Perancis adalah sekitar 200,000 orang.

Sesungguhnya, Islam adalah agama cara hidup sempurna yang melibatkan segenap aspek kehidupan dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19)

Sumber & Foto: https://republika.co.id , https://aboutislam.net/muslim-issues/europe/more-people-converting-to-islam-in-france-report/ & The New York Times