Selepas gempa bumi kuat, gunung berapi di Rusia pula meletus
BELUM pun sempat reda dengan kejadian gempa bumi berskala besar yang melanda, Rusia kini ditimpa pula dengan letusan gunung berapi.
Gunung Klyuchevskoy yang merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di dunia dilaporkan meletus selepas Semenanjung Kamchatka, Rusia, digegar gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud pada pagi Rabu.

Menurut agensi berita kerajaan Russia Information Agency (RIA) Novosti, laporan berhubung kejadian letusan gunung berapi itu diterbitkan oleh Perkhidmatan Geofizik Bersatu Akademi Sains Rusia.
Berdasarkan maklumat awal yang diterbitkan, lava panas dikesan menuruni bahagian cerun di barat gunung berapi tersebut, manakala cahaya terang kelihatan di puncak gunung selain bunyi letupan.

Pihak berkuasa tempatan sebelum ini telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar menjauhi kawasan gunung berapi tersebut susulan peningkatan aktiviti seismik yang dikesan sejak minggu lalu.
Sekadar info, Gunung Klyuchevskoy yang terletak di daerah Ust-Kamchatsky itu mempunyai ketinggian sekitar 4,850 meter dari aras laut, menjadikannya gunung berapi tertinggi di Eurasia.
Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus direkodkan pada April lalu.

Dalam pada itu, amaran tsunami yang dikeluarkan beberapa negara pada Rabu susulan gempa bumi kuat telah ditarik balik selepas gelombang yang melanda didapati lebih kecil daripada jangkaan awal.
Jutaan penduduk pesisir pantai yang dipindahkan sementara juga dilaporkan telah pulang ke rumah masing-masing.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
