NEGARA Jepun sememangnya cukup terkenal sebagai antara negara yang tercantik dan terbersih di dunia. Tahap disiplin yang tinggi amat sinonim dengan masyarakat Jepun.

Dikatakan bahawa masyarakat Jepun dipengaruhi oleh kepercayaan agama Shinto yang telah wujud di Jepun sejak dari awal kurun ke-8.

Amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun bermula dalam tempoh pasca perang lagi. Jepun telah menjadi antara negara yang terbaik dalam proses pengurusan sampah dan proses kitar semula. Melalui aktiviti kitar semula, penghasilan sampah dapat dikurangkan.

Walau ke mana sahaja rakyat Jepun pergi, amalan kebersihan tetap menjadi amalan. Buktinya, selepas kemenangan Jepun ke atas Jerman di Piala Dunia 2022 di Qatar, sekali lagi rakyat Jepun iaitu pemain bola sepak mereka dikagumi kerana sikap mementingkan kebersihan.

Baca juga: Ikat tembikai demi rasai pengalaman ‘usung perut’ ibu mengandung, gelagat lelaki Jepun ini bikin ramai terhibur!

Kredit foto: Sinar Harian

Sebelum ini tular penyokongnya bertindak mengutip sampah di stadium secara sukarela dan membersihkan stadium sebaik sahaja perlawanan tamat. Dalam masa sama, pemain bola sepak mereka juga turut menampilkan tingkah laku yang sama.

Pemain bola sepak Jepun telah meninggalkan bilik persalinan dalam keadaan bersih dan kemas selepas mempamerkan aksi hebat dalam perlawanan menentang Jerman. Seperti yang dikongsikan pada laman twitter @sportbible, sekeping gambar memaparkan bilik persalinan pemain Jepun yang ditinggalkan dalam keadaan yang bersih dan kemas.

Dapat dilihat dengan jelas, baju jersi dan set persalinan lain dilipat kemas dan disusun di ruang tengah. Lebih istimewa apabila pasukan ini juga turut meninggalkan nota serta beberapa origami burung yang diletakkan di atas meja.

Sekeping nota turut ditinggalkan dengan tulisan ‘Shukran’ dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘terima kasih.’

Skuad Samurai Blue kendalian Hajime Moriyasu telah berjaya mencipta kejutan apabila menang tipis 2-1 ke atas skuad Jerman pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 semalam. Kemenangan tersebut pastinya menyuntik semangat positif kepada mereka untuk menghadapi perlawanan seterusnya menentang Costa Rica pada Ahad (27 November).

Baca juga: ‘Don’t judge a book by its cover’ tular mak cik cleaner fasih berbahasa Jepun buat ramai tabik

Kredit foto: JFA.JP

Tindakan pemain bola sepak Jepun itu telah mendapat perhatian warga maya. Ramai yang memuji sikap warga Jepun termasuklah pemain atau penyokongnya. Berikut antara komen-komen warga maya dilaman Twitter:

-“Pasukan yang berdisiplin. Luar biasa.”

-“Jepun tidak pernah gagal memenangi hati kita.”

-“Mereka juga telah meninggalkan beberapa origami di atas meja.”

-“Saya suka cara dan budaya mereka.”

-“Mereka meninggalkan kenangan”

FAKTA TENTANG PASUKAN BOLA SEPAK KEBANGSAAN JEPUN

1. Ketua jurulatih Hajime Moriyasu bertindak sebagai ketua jurulatih Skuad Samurai Blue.

2. Pasukan bola sepak kebangsaan Jepun (Soccer Nippon Daihyō) mewakili Jepun untuk sukan bola sepak dan dikawal oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), badan pentadbir bagi bola sepak di Jepun.

3. Jepun merupakan salah satu pasukan yang paling berjaya di Asia.

Iklan

4. Jepun juga telah memenangi Piala Asia dengan rekod empat kali pada tahun 1992, 2000, 2004 dan 2011.

5. Pasukan Jepun juga muncul naib juara Piala Konfederasi FIFA 2001.

6. Pasukan Jepun dikenali oleh peminat dan media sebagai Soccer Nippon Daihyō, Nippon Daihyō atau Daihyō sebagai singkatan ungkapan. Walaupun pasukan Jepun tidak mempunyai gelaran rasmi, pasukan ini sering kali dikenali dengan nama pengurus.

7. Baru-baru ini pasukan Jepun telah digelar sebagai Samurai Blue atau ‘Samurai Biru.’

8. Jepun merupakan salah satu pasukan dengan pendapatan penajaan yang paling tinggi untuk skuad kebangsaan.

9. Maskot pasukan ialah Karappe dan Karara. Dua Yatagarasu memakai seragam pasukan kebangsaan Jepun. Ia telah direka oleh artis manga Jepun, Susumu Matsushita. Setiap tahun apabila kit baru dilancarkan, maskot ini akan bertukar seragam.

Iklan

10. Jepun adalah satu-satunya pasukan dari luar Amerika mengambil bahagian dalam Copa América, yang telah dijemput dalam kedua-dua kejohanan pada 1999 dan 2011.

Baca juga: Banyak masa dengan anak, stabil mental, fizikal.Mak-mak di Jepun jarang bertukar jadi ‘naga’ dengan anak. Ini sebabnya ramai tak tahu!

Sumber dan foto utama: : Twitter Sportbible

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi