KELAZIMANNYA, kita akan selalu meletakkan hampir semua barang dan makanan yang dibeli ke dalam peti sejuk. Itu semua dilakukan kerana mahu memastikan kesemua barangan itu tahan lama.

Kebimbangan itu turut dikongsikan oleh Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad.

Dr Zubaidi berkata, ada di antara kita yang beranggapan peti sejuk adalah tempat penyimpanan makanan paling selamat dan tidak membahayakan kesihatan.

“Ketahuilah bahawa kadangkala ia boleh merosakkan kualiti bahan makanan itu.

“Bukan itu sahaja, peti ais juga boleh menjadi lubuk pembiakan bakteria sekali gus merosakkan makanan dan berpotensi sebagai punca jangkitan kuman kepada pengguna,” katanya dalam entri Facebooknya.

Berikut beberapa barangan yang tidak perlu disimpan dalam peti ais di rumah anda:

1. Bawang

Menyimpan bawang di dalam peti sejuk boleh menyebabkan peti sejuk kita berbau. Apatah lagi jika ia telah dipotong atau dihiris. Seeloknya, simpan bawang di rak dapur dalam bekas yang kering.

2. Kentang


Kentang juga tidak sesuai disimpan di dalam peti sejuk dan harus disimpan di luar peti sejuk dalam keadaan kering.

3. Sos
Sos akan menjadi lebih pekat dan sukar dituang semasa hendak digunakan. Ia boleh disimpan di luar peti sejuk pada suhu bilik dengan penutup botolnya ditutup rapat.

4. Roti


Menyimpan roti dalam peti sejuk boleh menyebabkan bahan makanan itu lebih keras dan kurang enak. Roti juga menyerap bau makanan lain yang ada dalam peti sejuk.

5. Makanan dalam tin


Jika masih ada makanan dalam tin yang masih berbaki, ia elok dikeluarkan daripada bekasnya dan disimpan dalam bekas plastik dan kaca sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Iklan

6. Makanan panas
Menyimpan makanan yang panas dalam peti sejuk akan menyebabkan lebih banyak tenaga elektrik yang digunakan untuk mengekalkan suhu peti sejuk agar sentiasa sejuk.

7. Rempah-ratus


Elakkan menyimpan rempah ratus seperti ketumbar, jintan manis, lada hitam dan lain-lain di dalam peti ais. Ia boleh menyebabkan peti sejuk berbau herba. Sebaiknya, ia harus disimpan di luar peti sejuk pada suhu bilik.

8. Mentega

Iklan


Mentega akan menjadi keras di dalam peti sejuk dan menjejaskan rasanya. Ia harus disimpan dalam bekas yang ditutup ketat pada suhu bilik.

9. Madu


Madu tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Cuma elakkan dari tempat yang panas dan terdedah pada cahaya matahari.

10. Bahan bukan makanan
Keluarkan bahan bukan makanan seperti bahan kosmetik dari peti sejuk. Ia boleh mencemarkan bahan makanan yang disimpan bersamanya.