12 bulan pertama kehidupan bayi amat mencabar! Sebab itu kata orang, sebelum kelahiran bayi, enjoylah sepuas-puasnya.

Walaupun kedengaran seperti mustahil, tetapi percayalah proses tumbesaran si manja akan berlaku dengan pantas. Sedar-sedar anak sudah memasuki usia setahun.

Banyak cabaran dan ujian yang perlu ditempuhi dalam membesarkan anak, terutamanya buat mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa.

Jadi, ini tip bagaimana untuk menikmati proses perkembangan tersebut;

1. Dapatkan pertolongan

Mencuba untuk melakukan segalanya dalam tempoh 12 bulan pertama kelahiran si manja boleh menyebabkan anda ‘gila’.

Bahkan, tiada siapa mengharapkan anda untuk menjadi superwoman – jika ada pun, mereka jelas tidak berpengalaman menjaga anak kecil.

Jadi, jangan malu untuk meminta pertolongan apabila memerlukan dan menerima bantuan yang diberikan.

2. Hindari tekanan

Ada kalanya sukar untuk membuang rasa kerisauan yang akhirnya mewujudkan tekanan pada diri.

Namun anda harus ingat, tekanan berlebihan boleh dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan – kenaikan berat badan, sakit kepala dan serangan jantung!

Melakukan kesilapan itu perkara biasa dan belajarlah untuk tidak mengulanginya. Bertenang, biasanya keadaan akan menjadi baik.

Usah risau untuk membuktikan bahawa anda adalah ibu bapa terbaik di dunia – sebaliknya jadilah yang terbaik untuk si manja.

3. Bersederhana dalam penyediaan persiapan kelahiran bayi

Ambil masa untuk menyediakan senarai barangan keperluan bayi. Lakukan carian dan penyelidikan jika perlu.

Ia adalah normal untuk anda tertarik membeli segalanya yang comel dan baharu buat si manja.

Tetapi jangan membazir kerana ada sesetengah barangan seperti buaian bayi, mungkin tidak diperlukan atau hanya digunakan untuk tempoh yang singkat.

Baca juga 8 kartun ini mengandungi unsur bahaya rosakkan emosi anak-anak, ibu wajib tahu

anak cranky clingy

4. Usah melakukan perbandingan

Ada kalanya secara tidak sengaja anda mungkin membandingkan si manja dengan bayi lain, tiada salahnya tetapi ia mungkin secara tidak langsung mewujudkan tekanan.

Ingatlah, setiap anak berbeza dan mempunyai tahap perkembangan dan tumbesaran yang berlainan.

Ia juga sangat penting untuk tidak membiarkan anak berfikir bahawa mereka tidak cukup baik, khususnya pada tahun-tahun awal kehidupan.

5. Manfaatkan saat bayi tidur

Pernah dengar pesanan bahawa ibu juga perlu tidur apabila bayi melelapkan mata?

Walaupun pada saat itu wujud keinginan untuk melakukan banyak perkara yang tidak dapat dibuat semasa bayi terjaga, namun anda perlu ikut saranan untuk berehat.

Mendapat tidur yang mencukupi bukan sahaja penting buat si manja tetapi juga buat ibu, jadi berehatlah.

6. Setiap saat itu berharga

Rakamlah setiap momen tumbesaran anak dan jadikan ia memori yang sangat berharga untuk dikenangkan apabila mereka dewasa kelak.

Percayalah, anak juga akan gembira melihat gambar mereka semasa kecil.

7. Ambil masa untuk berehat

Iklan

Me-time juga penting buat ibu-ibu terutamanya buat mereka yang bergelar suri rumah. Ia perlu bagi merehatkan mental.

Memberikan diri sedikit masa berehat, walaupun dengan hanya tidur siang atau meminta seseorang menjaga si manja untuk seketika dapat meningkatkan kualiti hubungan antara anda dan bayi.

8. Hargai setiap fasa perkembangan bayi

Ada yang menyukai fasa kelahiran bayi dan sebaliknya. Tetapi walau apa pun fasa anak sekarang ini, ia akan berakhir sebelum anda menyedarinya.

Setiap peringkat itu adalah penting untuk mereka dan cubalah untuk menikmatinya semampu yang boleh.

9. Hadapi setiap kebaikan dan keburukan

Pastinya ramai dalam kalangan anda pernah terfikir untuk mengelakkan kelahiran bayi baharu apabila perlu berdepan dengan kerenah mereka yang sangat menduga emosi, bukan? Namun, keputusan itu biasanya akan berubah.

Setiap anak adalah unik dan mempunyai kekuatan serta kelemahan tersendiri.

Sebagai ibu bapa, pastinya anda akan dapat bertahan dan menerima segalanya dengan hati terbuka. Bahkan tiada salahnya untuk berasa kecewa.

Namun dari masa ke masa segalanya akan berubah dan ia akan menjadi memori berharga untuk diingati.

Iklan

Baca juga Muat naik video wanita, isteri bersalin di media sosial, ini penjelasan mufti

anak cranky clingy

Walau apapun, paling mustahak adalah untuk anda menyayangi anak dan membiarkan si kecil mengetahui bahawa diri mereka disayangi.

Bayi mungkin tidak boleh bercakap atau berkomunikasi dengan anda seperti individu lain, tetapi percayalah mereka dapat merasakan sama ada diri disayangi atau sebaliknya.

Si manja juga sangat mudah dipengaruhi dan cara mereka dilayan pada tahun-tahun pertama kehidupan mungkin boleh memberikan kesan sepanjang hayat mereka nanti.

Jangan lokek untuk memberikan si manja ciuman dan pelukan kasih sayang setiap saat. Tidak pernah timbul isu atau masalah berkaitan ciuman atau kasih sayang yang berlebihan.

Menjaga dan membesarkan bayi adalah perkara yang menguji kesabaran dan mengundang cabaran tetapi 12 bulan pertama kehidupan mereka nanti pasti akan menjadi momen paling dirindui apabila mereka dewasa kelak.

Sumber: Hello Health Group

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.