PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dilaksanakan di lapan daerah yang melibatkan 41 mukim di negeri Selangor dan 14 lokasi di Kuala Lumpur.

Perlaksanaan kawalan tersebut dilaksanakan susulan daripada trend jangkitan yang tinggi. Selangor melaporkan purata kes harian COVID-19 antara 1,800 ke 1,900.

Manakala di WP Kuala Lumpur purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.

Kesemua daerah di Selangor dan WP Kuala Lumpur melaporkan insiden kes COVID-19 melebihi 12.1/100,000 penduduk.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata kadar nilai kebolehjangkitan (R- naught) di kedua-dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan.

Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas i aitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK).

Sehubungan itu, melalui perbincangan pelbagai agensi serta berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 41 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021.

Berikut adalah lokasi PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur:

Selangor

Daerah Petaling
Mukim: Petaling, Damansara, Sg Buloh, Bukit Raja

Daerah Hulu Langat
Mukim: Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang

Daerah Sepang
Mukim: Dengkil, Labu, Sepang

Daerah Gombak
Mukim: Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang

Daerah Kuala Langat
Mukim: Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu

Daerah Klang
Mukim: Kapar, Klang

Daerah Kuala Selangor
Mukim: Ijok, Bestari Jaya, Jeram

Daerah Hulu Selangor
Mukim: Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali

Kuala Lumpur

1.Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak
2.Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda
3.Flat Seksyen 2 Wangsa Maju
4.Flat Seksyen 1 Wangsa Maju
5.Kampung Padang Balang
6.Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2)
7.Flat Sri Sabah
8.Kampung Puah
9.Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas
10.Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima)
11.Kampung Batu Muda
12.Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi
13.Bandar Baru Sentul
14.Taman Ikan Emas

Iklan

23 SOP PKPD

Justeru, bagi menjamin kelancaran urusan kawalan ini, korang memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKPD seperti berikut:

  • Semua laluan kawasan yang terlibat akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  • Semua penduduk di dalam kawasan PKPD TIDAK DIBENARKAN keluar dari kediaman masing-masing KECUALI seorang (1) sahaja wakil isi rumah keluar hanya untuk membeli keperluan asas di kawasan
    PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.
  • KKM akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat.
  • Dalam pada itu, Jawatankuasa penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan-kawasan yang terlibat.

 

  • Oleh yang demikian, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal DIBENARKAN dengan
    menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.
  • Lapangan terbang dan Pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa
  • Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50%.
  • Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua (2) orang sahaja termasuk pemandu.
  • Tiada sebarang pergerakan yang tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8.00 malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.

 

  • Hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) sahaja DIBENARKAN untuk beroperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.
  • Selain itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih (loaf), gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.
  • Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu (essential services) atau menjalankan tugas rasmi Kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

 

Iklan
  • Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu TIDAK DIBENARKAN keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD. Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah (work from home).
  • Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI yang telah dikeluarkan sebelum ini.
  • Restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk DIBENARKAN beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

  • Pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru) atau penghantaran (delivery) sahaja DIBENARKAN.
  • Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian DIBENARKAN beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.
  • Hospital, klinik dan makmal perubatan DIBENARKAN beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.
  • Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan, DIBENARKAN beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

 

 

  • Stesen minyak DIBENARKAN beroperasi antara jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.
  • Pasar borong DIBENARKAN beroperasi bermula jam 12.00 pagi hingga 6.00 pagi.
  • Manakala Pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) & MyFarm Outlet (MFO) DIBENARKAN beroperasi bermula dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang.
  • Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah TIDAK DIBENARKAN.

Kebenaran dan SOP seperti yang dinyatakan ini adalah merupakan sebahagian daripada SOP penuh.

SOP yang ini diguna pakai bagi pelaksanaan PKPD di mukim-mukim di negeri Selangor dan lokaliti-lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara