Slam dan Exists bakal kembali sepentas, bukan sekadar imbau nostalgia tetapi satukan generasi peminat
PERNAHKAH anda mendengar sebuah lagu, lalu tanpa sedar teringat kembali kenangan puluhan tahun lalu? Itulah magis muzik Slam dan Exists yang sehingga kini masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat.
Biarpun zaman berubah dan selera muzik semakin berkembang, lagu seperti Gerimis Mengundang dan Alasanmu kekal menjadi siulan.
Menariknya, dua kumpulan rock legenda itu bakal kembali berkongsi pentas menerusi konsert Slam x Exists: The Greatest Hits.
Konsert anjuran bersama ICON Entertainment dan SS Karya Entertainment itu dijadualkan berlangsung pada 1 Mei 2027 di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Kali ini, peminat tidak hanya dibawa menyusuri perjalanan muzik kedua-dua kumpulan, sebaliknya bakal menikmati himpunan lagu paling popular dan ikonik yang pernah mewarnai industri muzik tempatan.
Berbeza daripada konsert Our Journey pada 2025 yang mengetengahkan perjalanan seni kedua-dua kumpulan, persembahan terbaharu ini lebih memberikan tumpuan kepada karya-karya hit yang terus menjadi pilihan peminat.
Pengasas SS Karya Entertainment, Shah yang juga pemain gitar Slam berkata, idea mengadakan konsert itu tercetus selepas perbincangan bersama ICON Entertainment mengenai potensi kedua-dua kumpulan untuk kembali berkongsi pentas.
"Memang Slam dan Exists sudah pernah berkongsi pentas di Kuala Lumpur pada 2025, kemudian sekali lagi di Singapura.
"Namun, selepas ICON Entertainment datang berbincang dan kami bertukar idea serta pandangan mengenai mengapa dan adakah masih relevan Exists serta Slam berada di atas satu pentas lagi, maka lahirlah Slam x Exists: The Greatest Hits.
"Apa yang akan peminat dapat pada kali ini ialah untaian lagu hit, terunggul dan terbaik dalam katalog Slam mahupun Exists. Bukan lagu-lagu side B," katanya.
Bukan sekadar mahu menghidangkan senarai lagu popular, Shah turut berharap persembahan itu mampu memberikan pengalaman yang setimpal dengan penantian peminat.
Pemilihan Unifi Arena yang lebih besar berbanding lokasi persembahan terdahulu juga membuka ruang untuk pengalaman audio dan visual yang lebih menyeluruh.
"Dengan lokasi yang lebih besar iaitu Unifi Arena Kuala Lumpur, 'pelaburan' peminat akan lebih berbaloi dengan sistem bunyi dan visual juga," ujarnya ketika ditemui pada sidang media di GeTai @ A Quiet Place, Bukit Bintang.

Karya yang menyatukan generasi
Dalam pada itu, pengasas ICON Entertainment, Iman Tang melihat kerjasama bersama SS Karya Entertainment sebagai peluang untuk membawa muzik tempatan ke pentas berskala besar.
Menurutnya, Slam dan Exists mempunyai pengaruh tersendiri dalam landskap muzik Malaysia, malah karya mereka turut mendapat tempat dalam kalangan pendengar Nusantara.
"Siapa yang tidak tahu sekurang-kurangnya satu lagu Slam dan satu lagu Exists?
"Walaupun sudah ada banyak konsert sebelum ini, saya percaya Slam x Exists: The Greatest Hits tetap akan dihadiri peminat bukan hanya kerana nostalgia, tetapi karya mereka sudah melekat dalam hidup dan mahu didengar serta dilihat dalam persembahan langsung lagi dan lagi," katanya.
Hakikatnya, kekuatan sesebuah lagu bukan hanya terletak pada populariti ketika mula diperkenalkan. Ada karya yang terus bertahan kerana liriknya dekat dengan pengalaman hidup, melodinya mudah melekat dan kenangannya sukar dipadamkan.
Perkara itu turut menjadi antara matlamat vokalis Exists, Ezad yang mahu konsert berkenaan menjadi ruang untuk mendekatkan muzik mereka kepada pendengar baharu.
Katanya, selain memenuhi permintaan peminat sedia ada, persembahan itu juga menyasarkan generasi muda yang mula mengenali lagu-lagu Slam dan Exists menerusi platform penstriman digital.
"Selain mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat, Slam x Exists: The Greatest Hits juga mahu menarik minat generasi baharu yang mula mengenali kami menerusi platform dan aplikasi muzik digital.
"Peminat juga dapat menikmati karya-karya terunggul Slam dan Exists pada satu malam," katanya.
Malam penuh lagu yang sukar dilupakan
Pastinya, peminat mempunyai senarai lagu tersendiri yang ingin didengar secara langsung apabila kedua-dua kumpulan itu kembali berkongsi pentas.

Antara karya Slam yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik mereka termasuk Gerimis Mengundang, Nur Kasih dan Kembali Terjalin.
Sementara itu, Exists pula mempunyai deretan lagu popular seperti Alasanmu, Langkah Seiringan, Julia dan Seperti Dulu yang masih mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Menariknya, lagu-lagu berkenaan bukan hanya membawa memori zaman kegemilangan muzik rock tempatan, malah menjadi penghubung antara generasi yang membesar dengan irama sama.
Justeru, Slam x Exists: The Greatest Hits bukan sekadar pertemuan semula dua kumpulan berpengaruh, tetapi peluang untuk peminat menghayati kembali karya yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah kehidupan mereka, kali ini dalam sebuah persembahan langsung.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

