7 darurat di Malaysia sejak 1948 hingga hari ini yang ramai tak tahu

7 darurat di Malaysia sejak 1948 hingga hari ini yang ramai tak tahu
November 19, 2020
Faizul Hakimi

PEMBATALAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi susulan Proklamasi Darurat yang diisytihar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan langkah terbaik untuk mengekang pandemik Covid-19.

Pengundi di kawasan itu berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu bukti jelas Covid-19 sukar dikawal ketika berdepan pilihan raya, malah ketika ini Sandakan antara daerah di Sabah yang masih merekodkan kes Covid-19 tinggi dan berada dalam zon merah.

Memetik laporan portal media tempatan, Ketua Kampung Pulau Timbang, Lajim Sumadin, 62, berkata, beliau risau dengan 435 penduduk kampung di pulau itu jika rombongan calon datang melawat untuk berkempen sekiranya PRK diadakan dalam keadaan pandemik itu belum reda.

“Potensi penduduk dijangkiti Covid-19 adalah besar dan membimbangkan. Lebih-lebih lagi kedudukan kami agak jauh dari hospital.

“Kerisauan kami dirasai oleh pemerintah dan kami menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan mengisytiharkan darurat,” katanya.

3 asas dan alasan boleh isytiharan darurat, Agong mintak rakyat tenang dan tidak panik

Tahukah anda, darurat di Parlimen Batu Sapi hari ini merupakan yang ketujuh pernah diisytiharkan negara dalam sejarah moden Malaysia?

Ya benar! Berikut adalah kronologi pengisytiharan darurat yang pernah berlaku sebelum ini:

1. Darurat Tanah Melayu (1948-1960)

Darurat Tanah Melayu telah diisytiharkan British di Malaya (Semenanjung Malaysia) dari tahun 1948 hingga 1960 bagi menangani pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

2. Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964)

Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan konflik yang berlaku akibat penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan darurat apabila tentera Indonesia menceroboh masuk ke sempadan Malaysia.

3. Sarawak (1966)

Kerajaan mengisytiharkan proklamasi Darurat di Sarawak pada 14 September 1966 susulan krisis politik melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

4. Rusuhan kaum 13 Mei (1969)

Peristiwa 13 Mei merupakan insiden rusuhan kaum pada tahun 1969 susulan pilihan raya umum Malaysia pada tahun itu.

Parlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara.

5. Kelantan (1977)

Darurat telah diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra yang juga Sultan Kelantan ketika itu pada 8 November 1977.

Pengisytiharan itu dibuat susulan krisis politik melibatkan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir.

6. Jerebu (1997, 2005, 2013)

Selain darurat yang berpunca daripada isu politik dan konflik antara kaum, darurat jerebu juga pernah diisytihar pada 1997 (Sarawak), 2005 (Klang) dan 2013 (Muar dan Ledang).

Darurat itu dilaksanakan susulan pencemaran udara yang berbahaya dan tidak sihat.

7. Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi hari ini.

Pengisytiharan itu sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik Covid-19.

About Faizul Hakimi