8 idea menarik untuk balkoni, ruang yang dibayar tapi tak guna

SETIAP rumah wajib ada ruang tidur, dapur, tamu dan tandas. Tidak kisahlah rumah flat atau istana, empat ruangan itu wajib ada, barulah boleh dipanggil kediaman.

Tetapi, tidak semua rumah ada balkoni dan kadang-kadang ia boleh jadi faktor penentu anda membeli atau menyewa rumah. Setuju tak?

Ada sesuatu tentang balkoni yang mewujudkan perasaan dalam diri yang ada ruang tambahan rumah, walaupun selalunya ia terbiar berdebu atau menjadi tempat sidai baju atau paling teruk, jadi tempat merokok! Kesian jiran tingkat atas, bawah, kanan dan kiri. Jangan amalkan.

Pendek kata, balkoni yang merupakan anjung kecil pada rumah bertingkat adalah ruangan yang paling jarang dimaksimumkan penggunaannya.

Rugilah, sebab balkoni pun termasuk dalam pengiraan kaki persegi rumah ya, sia-sia bayar lebih untuk ruangan yang anda tak guna.

Disebabkan itu, ini lapan idea hias balkoni untuk anda. Mana tahu, boleh digunakan untuk menjadikan ruang tambahan luar rumah ini menarik dan jadi tempat berehat hirup udara segar.

1) Panaslah balkoni!

Sebab utama mengapa ramai orang Malaysia tak guna balkoni adalah kepanasan. Kita sudah terdidik dengan keselesaan maksudnya tidak panas.

Siapa yang sanggup berpanas di balkoni kononnya untuk tenangkan fikiran, kan? Jadi, umumnya, balkoni bukanlah tempat ideal untuk berehat.

Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh memasang tirai pelindung. Bukan sahaja dapat teduhkan ruang, ia juga boleh mewujudkan privasi. Antara pilihan tirai pelindung termasuklah langsir, bidai, tarpulin atau kanvas.

Anda juga boleh tutup penuh ruang balkoni anda dengan tingkap berkaca, terutama untuk mereka yang berkeluarga dan ada anak kecil, ia adalah pilihan terbaik untuk keselamatan. Teduh, privasi dan selamat.

2) Balkoni sekangkang kera

Faktor keluasan balkoni juga menyebabkan ramai orang tidak menggunakannya. Kebanyakan balkoni saiznya tak lebih dua langkah dan memanjang, yang menyukarkan proses dekorasi.

Jadi, ada tiga perkara yang anda perlu pertimbangkan ketika menghias balkoni;

Semua hiasan perlu dibuat dalam bentuk vertikal atau menegak. Pokok hiasan dan susun atur perabut perlu dalam keadaan vertikal.

Dinding balkoni perlu digunakan sepenuhnya untuk membentuk ilusi keluasan ruang.

“Less is more” sebab ruang sempit, kalau dimasukkan banyak benda, balkoni akan berubah jadi stor.

Baca juga Mudah tanam halia dalam pasu, nak hasil banyak dan besar, ini cara semaiannya

3) Berkebun di balkoni

Ramai orang makin sedar kepentingan tumbuhan hijau dalam rumah. Kesedaran ini berasas sebab tumbuhan hijau bukan sahaja mencantikkan ruang dan memperbaiki pengudaraan, tetapi juga boleh meningkatkan tahap tumpuan anda.

Tetapi, bila difikirkan balik, di rumah bertingkat, selalunya ruangan balkoni sangat terhad untuk berkebun.

Kebanyakan kita bukannya golongan T20 yang ruang balkoni mereka luas sampai boleh buat taman. Jadi, untuk ruangan kecil, penyelesaian terbaik adalah kebun vertikal atau kotak pokok.

DIY kebun vertikal ini sesuai untuk balkoni kerana ia tidak memerlukan ruang besar dan kosnya rendah.

Manakala, kotak pokok pula memudahkan anda mengalihkan tanaman hijau anda.

4) Sentuhan rustik palet kayu

Menghias balkoni rumah tak perlukan modal besar, kalau kena gayanya palet kayu pun boleh jadi cantik.

Selain faktor kos, palet kayu juga tak mencemarkan alam malah boleh mewujudkan ruang tenang di rumah bertingkat tengah kota.

5) Ruang permainan anak

Jika rumah anda mempunyai balkoni yang luas, anda boleh ambil inisiatif mengubahnya jadi tempat permainan anak-anak yang menakjubkan.

Tetapi, jangan lupa pastikan aspek keselamatan balkoni sekiranya ia dijadikan tempat anak-anak bermain.

Selain, memastikan mereka sentiasa diperhatikan sepanjang masa, anda juga boleh melakukan tiga perkara asas keselamatan ini;

  • Pastikan tiada perabot diletakkan berhampiran tepi balkoni, bagi mencegah anak-anak memanjat.
  • Pasang jaringan keselamatan atau jeriji.
  • Pasang rumput tiruan atau playmat bagi mengelak anak-anak tergelincir jika balkoni basah.

6) Kerja dari balkoni rumah

Iklan

Semakin ramai orang mula bekerja dari rumah, salah satu norma baharu yang kita amalkan sekarang.

Begitu juga, makin ramai ibu-ibu yang juga bekerja sendiri dari rumah, tak kisahlah sama ada berniaga kecil-kecilan dalam talian atau melakukan kerja sambilan mengikut kemahiran masing-masing.

Tetapi, bukan semua ada ruang yang selesa untuk bekerja dari rumah. Jadi, apa kata ubah suai balkoni jadi pejabat kecil di rumah, bekerja dikelilingi pemandangan sekeliling rumah anda boleh kurangkan tekanan juga.

Baca juga Rahsia masak asam pedas power, sedap & kuah pekat, Cef Wan kongsi tip daripada arwah nenek

7) Makan minum di balkoni

Balkoni dengan pemandangan menarik juga boleh diubah menjadi ruang makan rumah anda.

Harga pemandangan sebenarnya mahal, misalnya rumah di kawasan tertentu di KL jika boleh nampak KLCC, harga sewa atau jualannya mungkin akan lebih sedikit berbanding dengan unit yang tidak menghadap bangunan ikonik itu.

Alang-alang sudah bayar harga pemandangan, bolehlah ubah suai balkoni anda untuk berehat dan bertenang.

Bagi mewujudkan ruang makan minum perlulah ikut saiz balkoni. Anda boleh memilih meletakkan set meja makan kayu jika balkoni bersaiz besar atau sederhana, bagi balkoni kecil pula meja dan kerusi ala pub sudah mencukupi.

Ditambah pula dengan lampu menarik dengan hiasan gaya pilihan, ruang terbiar itu bakal jadi kesukaan sekeluarga!

Iklan

8) Balkoni kucing

Bagi yang memelihara kucing, anda akan tahu yang haiwan peliharaan ini selain tidur, ia juga suka merayap. Tetapi, bila anda tinggal di bangunan bertingkat, kadang-kadang kemalangan boleh berlaku.

Jangan tak tahu, kematian kucing kerana terjatuh dari bangunan tinggi sangat membimbangkan sampai wujud istilah “feline high-rise syndrome”. Manusia pun kalau terperap lama-lama dalam rumah boleh bosan, apatah lagi kucing.

Jadi, anda juga boleh ubah ruang balkoni jadi tempat mereka merayap dan bermain tetapi masih selamat.
Kurungan, atau istilah tepatnya “catio”, boleh dibina untuk kucing kesayangan anda.

Daripada tidak digunakan dan anda pun tidak mahu berehat atau bersantai di balkoni, elok juga bagi kepada kucing kesayangan, kan?

Jadi, jenguklah balkoni rumah anda sekarang dan cuba fikir apa yang boleh dilakukan untuk mencantikkannya.

Selepas ni, bolehlah melepak di balkoni menghirup udara segar sambil minum kopi panas. Siapa kata balkoni, tak kiralah besar ke kecil, tak boleh dijadikan cool hangout spot?

Semoga bermanfaat!

Sumber dan gambar: Propertyguru

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.