Anggaplah semua orang ada Covid-19, elak makan bersama, jangan menziarah
INGAT kita belum menang! Kita masih berjuang dan tidak boleh menarik nafas lega memandangkan jumlah jangkitan harian Covid-19 di negara ini kekal melebihi 10,000 kes.
Sana sini menerusi media sosial khususnya bekas pesakit dan ahli keluarga berkongsi bermacam-macam detik dilalui apabila disahkan positif virus tersebut.
Kematian demi kematian akibat Covid-19 juga menjentik emosi masyarakat.
Semalam, misalnya kes kematian baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan seramai 134 individu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,574.
Justeru, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose menasihatkan orang ramai agar berganding bahu membantu menurunkan kadar jangkitan koronavirus.
"Keadaan di hospital sekarang memang penuh dengan pesakit Covid-19. Ada antara mereka positif Covid-19 dan ada juga negatif selepas menjalani swab test, namun mengalami gejala atau simpton jangkitan virus itu."Ada pasangan suami dan isteri masuk bersama-sama dalam keadaan tercungap-cungap. Ramai antara mereka memerlukan alatan tiub pernafasan.
"Jabatan kecemasan sudah menjadi seperti medan perang, katil penuh dan Unit Rawatan Rapi (ICU) turut penuh.
"Pesakit-pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan giliran masuk ke wad.
"Kami berusaha sedaya upaya memberikan rawatan kepada pesakit, tetapi ada had bagi kapasiti katil di ICU dan sebagainya," ujar beliau.
Menurut Dr Alzamani, anggaplah semua manusia yang ditemui mempunyai Covid-19.
"Sekarang ini saya nasihatkan anggaplah semua manusia yang anda temui mempunyai Covid-19."Tujuannya anda harus memastikan pelitup dipakai sempurna dan elak makan bersama-sama terutamanya di tempat kerja.
"Jangan ziarah dan jangan benarkan orang menziarahi kerana tidak tahu mereka bercampur dengan siapa. Anggap sahaja orang yang menziarah itu semuanya ada virus membawa maut.
"Malah, diri kita sendiri pun mungkin ada Covid-19, namun tiada simptom. Keadaan tidak bagus jika berterusan menganggap semua ini sesuatu yang tidak serius.
Baca juga Hospital Selayang kini khas merawat pesakit Covid-19 sahaja
"Selagi mana kita tidak menganggap semua orang ada Covid-19, selagi itulah kes Covid-19 tidak akan turun dan terus mencanak.
"Anggaplah setiap orang ada Covid-19, insya-ALLAH ia adalah satu tanggapan bijak dalam keadaan sekarang," pesannya.
Justeru, rakyat Malaysia terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kekal berada di rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang