PENDIDIKAN adalah kunci kejayaan, namun tidak semua mampu mencapainya dengan mudah. Bagi kanak-kanak di kawasan pedalaman, mereka terpaksa menghadapi pelbagai cabaran untuk sampai ke depan pintu sekolah mereka setiap hari.

Masih terdapat pelajar-pelajar di kawasan pedalaman yang berjalan kaki untuk sampai ke sekolah. Ada yang terpaksa meredah hutan dan tiba di sekolah dengan luka di kaki.

Pelajar menyediakan bahan untuk dimasak di asrama

Bagi menyokong dan menyebarkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh pelajar di pedalaman untuk menimba ilmu, Astro Kasih menganjurkan “Walk for Education” iaitu berjalan kaki sejauh lima kilometer, pada 28 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, Astro bersungguh-sungguh menggunakan platform, capaian, kandungan dan sumber mereka agar pelajar ini menerima akses ke pembelajaran untuk masa depan yang lebih cerah.

Astro Kasih telah membina asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai dan SK Malinsau di Sabah dan SK Sg Paku di Sarawak serta bekerjasama dengan Starfish Malaysia Foundation. Mereka menyokong lima asrama dan satu pusat belia yang menjimatkan lebih 190,000 jam masa pelajar untuk berulang-alik setiap hari ke sekolah.

Para pelajar membuat kerja rumah bersama-sama

Dengan masa yang lebih, pelajar dapat menggunakan masa itu untuk menimba ilmu. Salah satu contoh ialah Sarel Elidius Marikau yang baru tinggal di asrama pada usia 10 tahun dan tidak tahu memegang pen serta menulis namanya.

Murid Cikgu Helley berjalan ke sekolah

Semasa dia tinggal di asrama Astro, guru-guru dapat memberikannya pelajaran tambahan. Dua tahun kemudian, dia berjaya mendapat 2A dan 3B menerusi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta menjadi pelajar cemerlang.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Starfish Malaysia Foundation (Starfish), Jimmy Lei berkata, kadar keciciran pelajar telah berkurangan dengan ketara sejak asrama ini diperkenalkan.

Murid mengambil bahagian di booth roadshow

“Sebelum ini, kadar kehadiran pelajar serendah 30% hingga 40%. Namun kini, kadar kehadiran 100% dan mereka ke sekolah dengan hanya beberapa langkah sahaja,” katanya.

Selain akademik, Starfish kerap menganjurkan ceramah motivasi untuk mengasah kepimpinan, kerja berpasukan dan kemahiran komunikasi para pelajar.

Starfish bekerjasama dengan Jabatan Komputer, Sains dan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menganjurkan program untuk menggalakkan minat pelajar dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan mewujudkan generasi baharu Einstein.

Ketika pandemik Covid-19, pelajar tidak dapat hadir ke sekolah secara fizikal dan kekurangan akses kepada Internet serta peranti elektronik menyebabkan ada yang berhenti sekolah.

Team yang bertugas di Kapit Lighthouse hari kedua

Menurut Jimmy Lei, Starfish menjalankan kajian untuk menilai prestasi pelajar dan mencari penyelesaian supaya mereka dapat seiring dengan rakan sebaya.

Astro Kasih telah memperjuangkan pendidikan melalui program Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah selama lebih sedekad, di mana lebih lima juta pelajar di seluruh negara diberikan dekoder Astro, set televisyen dan akses percuma untuk saluran-saluran pembelajaran.

Lebih RM126 juta juga dilaburkan untuk mencipta program pembelajaran berkualiti seperti Tutor TV SK, Tutor TV SMK, SPM Pro+ dan banyak lagi.

Jimmy Lei yakin ‘Walk for Education’ mampu mencapai matlamat yayasan untuk membantu seramai mungkin kanak-kanak mencapai akses pembelajaran.

Iklan


Program “Walk for Education”

Tarikh: 28 Mei 2022 (Sabtu)

Lokasi: Taman Wetland Putrajaya

Tiket: RM63 seorang / pakej kombo keluarga RM226.80 (2 dewasa & 2 kanak-kanak).

Konsep: Pendaftaran dibuka dari 6 hingga 10 pagi untuk peserta mendaftar, ambil kit & berjalan mengikut trek yang ditetapkan.

Iklan

Cenderahati: Kemeja-T, nombor bib, beg Astro Kasih, beg bertali, minuman, pingat dan e-sijil.

Aktiviti: Gerai permainan, konsert mini oleh Timah, Wani Kayrie, Masya Masyitah, Abigail, Irfan Haris, Lil J, Ara Johari dan Dem Lepak Boyz.

Sumbangan akan disalurkan kepada SK Magandai dan SK Malinsau di Sabah; SK Sg Paku di Sarawak; serta asrama Starfish Malaysia Foundation di seluruh Malaysia Timur.

Tempat terhad! Sertai kami untuk menyokong perjalanan pendidikan anak-anak ini sekarang di http://t2u.asia/e/27113, tarikh tutup penyertaan pada 16 Mei 2022.