Cara rangupkan semula kerepek, biskut, keropok yang dah lemau
KEREPEK banyak lagi, makan sikit-sikit tapi bila buka balik nak makan lagi dah lemau. Frust sungguh! Kalau terkena keadaan seperti ini jangan terus buang ya, rugi. Ada saja cara untuk rangupkan kembali kerepek yang lemau atau masuk angin ini.
Apa pun, makanan begini biasanya masih elok selagi tak berbau pelik. Jadi, kalau nak elak membazir cuba lima tips ini untuk merangupkan semula makanan yang lemau.
1. Panaskan dalam ketuhar
Tip yang pertama mudah saja. Cuma perlu sediakan alas atau tray dan masukkan semula makanan selama 3-5 minit dengan suhu 180 darjah celcius. Pastikan biskut tadi dijarakkan sedikit atau ditabur rata-rata.Tunggu sejuk dan anda boleh menikmatinya macam biasa.
Selalunya orang buat cara ini untuk rangupkan biskut. Ia akan jadi rangup di luar dan lembut di dalam. Boleh juga guna untuk kerepek atau popcorn asalkan kena adjust sikit suhunya supaya tak hangus.
2. Guna microwave
Bagi yang tak ada ketuhar, boleh juga guna microwave. Caranya lebih kurang sama, cuma anda perlu letakkan sehelai tisu sebagai alasnya. Tisu ni fungsinya nak menyerap kelembapan supaya makanan jadi garing semula.
Selepas itu microwave pada suhu Medium atau High selama 40 saat.
Masa keluarkan dari microwave itu awalnya akan nampak lembut, tapi bila sudah sejuk sikit ia akan kembali rangup!
3. Masukkan di dalam periuk nasi
Cara seterusnya, hanya menggunakan periuk nasi. Mula-mula pastikan bahagian dalam periuk itu kering. Kemudian masukkan apa-apa jenis kudapan kering ke dalam periuk tersebut. Yang jenis basah tak bolehlah ya. Kemudian tekan butang ‘warm’ dan biarkan selama 1 jam dan cuba rasa apabila sudah sejuk sedikit. Kalau masih lemau boleh tambahkan lagi setengah jam hingga betul-betul rangup.
4. Panggang atas api perlahan
Mungkin ramai dah biasa guna cara ini terutamanya untuk biskut raya yang sudah jadi lemau. Caranya panggang semula atas api dengan non-stick pan atau pemanggang ajaib. Gunakan api paling rendah dan panaskan selama lebih kurang 5-10 minit.
5. Guna air fryer
Selalunya kita takut nak goreng semula kerepek atau keropok sebab nanti terlalu berminyak. Takut juga kalau terlebih kolesterol pula. Jadi bolehlah guna air fryer untuk kes-kes seperti ini.
Boleh ‘gorengkan’ dalam 2-3 minit dengan suhu 180-200 darjah celsius, tunggu sehingga sejuk. Cara ini juga boleh digunakan untuk popcorn yang asyik lemau walaupun baru dibeli.
Bagi yang nak cuba teknik-teknik ini, seeloknya ambil bahagian yang nak dimakan saja untuk dirangupkan semula. Sebab selalunya kalau dah sejuk balik, ia mungkin akan jadi lemau atau keras semula.
Jadi, tak sedaplah kalau dipanaskan berulang kali. Rasanya pun nanti kurang segar. Lagipun, tak elok simpan makanan lama-lama sangat kan? Tapi sesuai sangatlah gunakan tips ini kalau nak elakkan pembaziran. Selamat mencuba!
PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: UNSPLASH, CANVA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang