PERINTAH Kawalan Pergerakan 3.0 sedang dilaksanakan hingga 14 Jun depan, namun nampaknya keadaan pandemik di negara ini masih belum surut lagi.

Buktinya, semalam, Malaysia merekodkan 7,049 kes dengan 103 kes kematian. Parah!

Lebih menggusarkan, ramai yang disahkan positif dan memerlukan tempoh kuarantin di rumah.

Sudah pasti, apabila seseorang itu disahkan positif Covid-19, sudah pasti banyak kebimbangan yang timbul.

Prihatin dengan keadaan itu, Dr Nimelesh Balanthiren dari Universiti Kebangsaan Malaysia mencadangkan agar pesakit Covid-19 yang memerlukan tempoh kuarantin di rumah harus memiliki alat pulse oximeter.

Dr Nimelesh.

Katanya, alat itu penting agar mereka dapat berwaspada dengan kemunculan komplikasi kandungan oksigen rendah atau juga dipanggil sebagai happy hypoxia.

“Sebenarnya, komplikasi itulah yang menjadi pembunuh senyap pesakit yang tidak bergejala,” tulisnya melalui bebenang di Twitter @HausofHilton itu.

Memperincikan lebih mendalam mengenai komplikasi tersebut, ujar anggota perubatan itu, keadaan berkenaan berlaku apabila individu mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan iaitu kurang daripada 95 peratus.

“Tahap oksigen pesakit Hypoxia boleh menjangkau 40 hingga 50 kali seminit berbanding kadar pernafasan normal antara 12 hingga 20 kali seminit,” jelasnya.

Namun, kata Dr Nimelesh, terdapat perkara yang sangat merisaukan iaitu sesetengah pesakit Covid-19 yang mengalami Hypoxia tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

“Mereka nampak tenang, normal dan ceria seperti biasa sedangkan tahap oksigen mereka rendah pada ketika itu,” tambah beliau.

Seperkara pesan Dr Nimelesh, jika bercadang untuk membeli alat tersebut, sila dapatkan di farmasi dan pastikan alatan itu berdaftar.

Iklan

Caranya, semak dahulu dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia supaya kualiti dan ketepatan bacaannya terjamin.

“Jika pesakit mempunyai tanda-tanda bahaya seperti kekurangan oksigen dalam badan, segeralah menghubungi talian 999 atau mendapatkan rawatan sekiranya ia berlaku,” pesan beliau.

Oleh itu, kita semua perlulah peka dan beringat terutamanya jika ada di antara ahli keluarga yang memerlukan bantuan ketika ‘mengasingkan’ diri agar virus itu tidak menjangkiti orang lain.

Iklan

Baca juga: 25 soal jawab mengenai vaksin. Ini antara perkara penting kita wajib ambil tahu

Ingat, kita sebenarnya perlu melalui fasa terbaik iaitu merekodkan sifar kes Covid-19 yang dicatatkan dahulu. Jadi, tiada yang mustahil bukan?

Duduklah di rumah jika tiada sebarang keperluan penting untuk keluar. #kitamestimenang

#kitalaluibersama