WABAK koronavirus (Covid-19) sedang melanda dunia kini yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semakin membimbangkan apabila kes demi kes dilaporkan hampir setiap hari.

Menyedari kebimbangan itu, pemain sayap kelab bola sepak Juventus, Cristiano Ronaldo dikatakan mengambil pendekatan dengan menawarkan beberapa hotel miliknya di Portugal untuk dijadikan hospital sebagai pusat rawatan wabak penyakit itu.

Media antarabangsa mendakwa, anak kelahiran Madeira, Portugal itu sedang menjalani proses kuarantin di rumahnya selepas rakan sepasukannya Daniele Rugani dari kelab Juventus didapati positif Covid-19.

Perkara tersebut dikatakan tular menerusi laman Twitternya @b3naldo7.

Perkongsian Ronaldo ini telah berjaya menarik perhatian para pengikutnya sekali gus menganggapnya pemurah dan sentiasa mempamerkan semangat kemanusiaan.

Ronaldo dikatakan turut menggesa masyarakat tampil menghulurkan bantuan.

Difahamkan, kos rawatan mereka yang dijangkiti Covid-19 dan elaun petugas perubatan yang menjaga pesakit akan ditanggung oleh bintang bola sepak dunia itu.

Namun malangnya, kakitangan Ronaldo yang bekerja di sebuah hotel di Lisbon memaklumkan setakat ini tiada sebarang perancangan berhubung perkara tersebut.

Iklan

“Kami adalah sebuah hotel. Kami tidak akan menjadi hospital. Ia seperti orang lain, kami akan kekal sebuah hotel. Kami telah dihubungi oleh media (berhubung perkara ini),”demikian kata jurucakap tersebut kepada portal RTL Nieuws.

Setakat ini, Ronaldo masih belum memberikan sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.

Iklan

Seperti negara lain, kerajaan Portugal turut mengarahkan rakyatnya mengurangkan aktiviti luar serta tidak menggalakkan pergi ke lokasi tumpuan ramai.

Setakat ini, Portugal mencatatkan 169 kes Covid-19 di seluruh negara.