TEMASYA sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah hampir melabuhkan tirai sejak memulakan kejohonan pada 23 Julai lalu.

Tiga negara yang berada di carta pungutan pingat tertinggi ialah China, Amerika Syarikat manakala tempat ketiga pula milik Jepun.

Fakta menarik yang ingin dikongsikan mengenai acara sukan yang berlangsung di negara matahari terbit itu ialah podium yang digunakan untuk mengumumkan pemenang pingat emas, perak dan gangsa.

Tidak dinafikan podium digunakan kelihatan sama seperti yang sering kita lihat di acara sukan lain.

Namun, yang menjadikannya unik ialah mereka menggunakan sekitar 24.5 tan bahan buangan plastik yang dikitar semula untuk membentuk 98 podium secara keseluruhannya.

Podium yang direka oleh Asao Tokolo dengan kerjasama Hiroya Tanaka dari Universiti Keio, Tokyo itu telah menterjemahkan semangat perpaduan menerusi cetakan tiga dimensi (3D) berbentuk corak kotak atau dipanggil ichimatsu moyo.

“Pemilihan warna biru indigo melambangkan ciri tradisional Jepun yang merupakan simbolik kepada keanggunan, kesenian dan kehebatan dalam menghasilkan sesuatu perkara,” kata Tokolo.

Begitu juga dengan dulang pingat yang turut diperbuat daripada polimer termoplastik dan boleh dikitar semula. Memiliki rekaan dinamik bermotifkan bentuk kipas lipat yang sinonim dalam kalangan masyarakat Jepun.

Pemilihan warna dulang yang senada dengan podium dipilih agar kelihatan sepadan begitu juga dengan busana pengawai pengiring pemenang.

Pakaian yang direka oleh pereka fesyen Jepun, Sota Yamaguchi itu turut diperbuat daripada fabrik kitar semula.

Iklan

Menggabungkan konsep tradisional dan moden, rekaan pakaian tersebut memperlihatkan sentuhan kimono tradisional seperti kasane (lapisan), ori (alunan). musubi (simpulan) dan so-me (warna).

Penggunaan teknologi rekaan moden digunakan bagi menghasilkan pakaian tersebut agar dapat memberi lebih keselesaan buat pemakai terutama pada waktu musim panas.

“Menggabungkan aspek emosi pakaian Jepun dengan reka bentuk ala Barat membuatkan pemakai berasa selesa ditambah pula dengan penggunaan fabrik yang ringan,” terang Yamaguchi.

Iklan
Sota Yamaguchi

Barisan sukarelawan juga boleh memilih sama ada ingin menggayakan dengan padanan seluar atau skrit labuh.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram