APABILA tiba sahaja waktu petang, langit kelihatan mendung. Boleh dikatakan acapkali juga hujan turun sebelah petang hingga menjelang malam semenjak kebelakangan ini.

Rupanya keadaan itu ada kaitannya dengan Fasa Peralihan Monsun. Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan media melaporkan fasa berkenaan akan bermula pada 24 September 2021 dan akan berterusan sehingga awal bulan November 2021.

“Semasa fasa ini, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Keadaan ini amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, kawasan barat negeri Sabah, kawasan barat serta tengah negeri Sarawak.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Susulan itu, MET Malaysia menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dalam tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan.

Justeru, kita semua perlu berhati-hati terutama bagi yang berada di kawasan yang diramalkan terkesan.

Iklan

Lakukan tujuh langkah ini untuk mengelakkan kejadian tidak diingini ketika ribut petir:

  • Elakkan berada di kawasan lapang.

  • Jangan berlindung atau parkir kenderaan di bawah pokok.

  • Jangan sentuh objek seperti besi, barang atau kabel elektrik.

  • Jauhi struktur yang tidak stabil dan kukuh.

  • Waspada kehadiran kepala air di kawasan air terjun atau sungai.

  • Jauhi kawasan yang mudah dinaiki air.

  • Hindari aktiviti rekreasi atau luar rumah.

Bagi korang yang tinggal di kawasan rendah atau mudah dinaiki air, sebaik-baiknya lakukan lima perkara di bawah:

1.Dapatkan maklumat mengenai banjir melalui pengumuman media dan pihak-pihak yang berkaitan seperi bilik gerakan banjir negeri atau daerah.
2.Letakkan dokumen penting dalam bekas kalis air dan simpan di tempat yang selamat.
3.Pastikan saluran perparitan di kawasan sekitar rumah tidak tersekat.
4.Menyediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
5.Pastikan ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.

Iklan

Semoga kita semua dihindari musibah banjir yang merosakkan harta benda dan paling bahaya boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Jangan lupa ikuti kami di Instagram!

Sumber: Malaysian Meteorological Department