DALAM catatan sejarah, naratif kepimpinan sering didominasi oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, peralihan telah berlaku apabila wanita semakin meningkat kepada kedudukan kuasa dan pengaruhnya merentasi pelbagai bidang.

Di Malaysia, salah seorang pemimpin wanita yang kini mencipta nama dalam bidang politik datangnya dari Bumi Kenyalang. Lebih 16 tahun dalam bidang politik dan pentadbiran, Datuk Seri Nancy Shukri telah melalui empat pilihan raya umum dengan penuh sukses.

Dari Parlimen Batang Sadong sehinggalah ke Santubong, Nancy disayangi dan mudah didekati rakyat jelata. Maka tidak hairanlah, dalam meniti kerjaya politiknya, Nancy meningkat naik dengan pantas apabila sudah memegang empat portfolio Jemaah Menteri.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, Sinar Harian secara eksklusif membawakan tokoh ini menghiasi sisipan khas 10 Wanita Inspirasi Malaysia.

Ketika ditemui, Nancy mengakui, dalam perjalanan kariernya, pencapaian terbesar yang pernah dicapai dan paling diingati beliau adalah pembukaan semula sempadan negara serta inisiatif pembentukan gelembung pelancongan, khususnya melalui pengenalan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi atau LITB.

“Pada waktu itu, ia merupakan kali pertama kita membuka Malaysia kepada pelancong asing selepas pandemik Covid-19 dan dengan pembukaan ini, ekonomi Malaysia telah dibuka semula, membawa negara keluar dari kegawatan ekonomi akibat pandemik,“ kongsi Nancy mengenang kembali saat beliau bergelar Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya.

Kini ibarat ‘ibu‘ kepada rakyat Malaysia apabila menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), tanggungjawab Nancy juga tidak kurang besar hebatnya.

Katanya, walaupun peruntukan KPWKM telah meningkat berbanding tahun lepas, namun 82 peratus diperuntukkan kepada penerima kebajikan dan ini mengakibatkan peruntukan untuk inisiatif lain sangat terhad.

“Semua ini memerlukan komitmen dan sumber yang besar dan pihak kami tetap meneruskan tanggungjawab ini sebaik mungkin,“ ujar Nancy.

Akui Nancy, apabila orang tanya siapakah inspirasi dalam kehidupan, jawapannya adalah ibu kerana Nancy belajar daripadanya untuk jadi siapa beliau hari ini.

“Ibu merupakan sumber kekuatan dan kebijaksanaan yang telah saya pelajari sepanjang hidup. Pengajaran dan inspirasi yang saya terima daripada ibu sangat berharga dan menjadi pendorong setiap langkah serta keputusan yang saya ambil dalam hidup.

“Kepada wanita di luar sana, saya nasihatkan supaya menjadi cekal dan fokus dalam mengenali diri sendiri. Ia langkah awal untuk mencapai apa yang diidamkan dalam hidup.

“Kita perlu berani menghadapi cabaran dan mengenal pasti keinginan serta perancangan untuk masa depan.

“Sebagai ibu, sahabat dan anak, wanita perlu sihat supaya dapat memimpin orang di sekelilingnya,“ kata Nancy.

Baca juga: ‘Ramai wanita layak jawatan BOD, kena keluar daripada kepompong.’- Nancy Shukri

Baca juga: Sinar Harian pilih 10 Wanita Inspirasi Malaysia

Iklan

 INFO

Nama: Datuk Seri Nancy Shukri

Jawatan: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Pencapaian: Ahli Parlimen Batang Sadong (2008, 2013 & 2018)

Iklan

Ahli Parlimen Santubong (2022)

Pernah memegang beberapa portfolio dalam Jemaah Menteri antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodoti serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!