Lafaz akad nikah 'aku terima' sahaja sah, ini perincian Dr Zulkifli
Lafaz akad nikah 'aku terima' sahaja sah, ini perincian Dr Zulkifli
MANTAN Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri baru-baru ini tampil memberikan pencerahan berkaitan hukum akad nikah hanya disebut 'aku terima' sahaja.
Hal itu kerana viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul.
Berikut perincian beliau;
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang.
Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh ALLAH SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud; "Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan." - (Surah al-Ra‘d: 38)
Firman ALLAH SWT dalam ayat yang lain yang bermaksud; "Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?" - (Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumah tangga perlu tahu bahawa ALLAH SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku reda) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).
Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku reda) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku reda nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).
Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.
Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً
Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan.
Baca juga Akad nikah bahasa Jepun, mas kahwin dalam yen, pengantin baru jadi perhatian warga maya
Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, 'aku terima' atau 'aku reda,' sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.
Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, 'aku terima nikahnya' atau 'aku redha nikahnya' atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing.
Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan yang bermaksud; "Keputusan hakim mengangkat perselisihan."
Semoga ALLAH SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.
Sumber: Maktabah Al-Bakri
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang