MANIFESTO berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris yang bermaksud pengisytiharan kepada orang ramai tentang dasar, tujuan dan hal lain-lain sesuatu parti politik sebelum pilihan raya.

Manakala menerusi Kamus Pelajar Edisi Kedua, manifesto bermaksud pengumuman tentang dasar, polisi dan tujuan sesuatu parti politik dan lain-lain.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi warga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab kepada tanahair menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 15 November ialah hari mengundi awal manakala 19 November adalah hari mengundi yang ditetapkan di seluruh negara.

Pelbagai manifesto dilaungkan sebagai perjuangan parti-parti yang bertanding. Sebagai wanita, gunakan kuasa memilih yang dimiliki sebaiknya untuk masa depan bangsa dan negara. Justeru, jom kita mempertimbangkan dan menilai manifesto tiga gagasan utama yang bertanding PRU15 ini.

Baca juga: Semak tempat mengundi anda di sini, mudah ‘klik klik’ online sahaja

Kredit foto: PRU Sinar Harian

Pakatan Nasional

Pakatan Nasional (PN) yang terdiri gabungan parti politik rasmi di Malaysia yang terdiri daripada lima parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

PN menjanjikan wanita 14 perkara menerusi manifesto mereka seperti berikut:

Memartabatkan wanita sebagai pemangkin kemajuan negara

1. Mengembangkan DanaNita – Wanita Bangkit Berniaga bagi membantu
usahanita baharu dengan menyediakan pinjaman tanpa faedah sehingga
RM20,000 seorang.

2. Memperkenalkan Agenda Care-Economy khususnya bagi menyelaras
sistem penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU melalui MyPrihatin,
termasuk skim untuk meningkatkan profesionalisme pengasuh
kanak-kanak.

3. Menyediakan sistem sokongan bagi wanita bekerja dan kembali bekerja,
termasuk peruntukan khas penjagaan ibu bapa, dan kemudahan taska di
tempat kerja.

4. Memantapkan pelan strategik ke arah mencapai kesaksamaan gender
menjelang 2030.

5. Melaksanakan intervensi yang agresif bagi memastikan sasaran
sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan utama di
sektor awam dan swasta dicapai menjelang 2025.

6.Mempergiatkan penglibatan wanita dalam industri berteknologi tinggi dan
industri masa hadapan.

7. Meningkatkan kadar pelepasan cukai tambahan sebanyak RM1,000 bagi
semua wanita bekerja.

8. Meningkatkan peluang penyertaan wanita dalam latihan bidang-bidang kemahiran baharu dan pembangunan profesionalisme bagi mengupayakan mereka untuk mengisi jawatan penyelia di sektor swasta dan memulakan perniagaan.

Baca juga: Pertama kali mengundi? Ini adalah 10 perkara yang wanita harus tahu

Melindungi wanita sebagai tonggak keluarga sejahtera

1. Memuktamadkan segera kajian pindaan perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan untuk kewarganegaraan anak yang dilahirkan oleh ibu berwarganegara Malaysia dengan suami warganegara asing di luar negara.

2. Meningkatkan kadar Skim Perlindungan Suri Rumah kepada RM800, dengan caruman minimum suri rumah sebanyak RM100.

3. Meningkatkan bilangan hari cuti paterniti kepada 14 hari.

4. Menguat kuasa dan mempercepatkan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual dan penggubalan Rang Undang-Undang Anti-Stalking.

5. Meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri berhubung penguatkuasaan perintah hiwalah (pemindahan hutang) bagi menyelesaikan kes hak wanita dan anak-anak seperti perceraian, ditinggal gantung tanpa tali dan nafkah anak-anak di mahkamah syariah dan sivil.

6. Memperkenalkan Kad Kasih Ibu di peringkat nasional bagi memudahkan pembelian barangan keperluan asas.

Kredit foto: Sinar Harian

Baca juga: Dilarang bawa telefon bimbit, 10 langkah perlu dilakukan ketika pergi mengundi

Pakatan Harapan

Pasca pandemik, wanita bekerja dan berkorban lebih hebat untuk diri dan keluarga. Walaubagaimana pun hari ini wanita masih berdepan dengan isu ketaksamaan gender dan pencabulan hak yang berterusan.

Untuk menangani realiti ini, polisi berasaskan keperluan harus segera digerakkan untuk membela kehidupan bermaruah dan memperjuang kesejahteraan pembangunan kehidupan wanita. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, kesejahteraan wanita membawa kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Pakatan Harapan (PH) pula menjanjikan wanita tujuh perkara yang merangkumi pembangunan dan pembelaan terhadap wanita serta keluarga seperti berikut:

1-Keterangkuman gender
Untuk mengatasi amalan ketaksamaan gender yang membawa masalah kepada wanita pada hari ini, setiap rang undang-undang yang dibentangkan di parlimen akan dipastikan memiliki aspek keterangkuman gender yang lebih membina.

2-Sistem pengumpulan data
Mewujudkan sistem pengumpulan data merentas kementerian dan agensi untuk memastikan integrasi data berlaku melibatkan maklumat mengenai wanita dan kanak-kanak.

3-Subsidi penjagaan kanak-kanak
Dalam masa-masa sukar seperti hari ini, ramai wanita berkorban dengan bekerja untuk menyara keluarga tetapi dalam masa yang sama terbeban dengan isu penjagaan anak kecil. Untuk itu, subsidi penjagaan kanak-kanak akan diberikan kepada wanita bekerja dari golongan B40 dan M40.

4-Jaminan kerakyatan
Meminda perkara 14(1)(b) dalam perlembagaan persekutuan agar ibu warga malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa. Ini akan memberi kemudahan kepada kaum wanita untuk menguruskan diri dan keluarga menurut keperluan di masa depan.

Iklan

5-Mengatasi kemiskinan haid
Pemberian tuala wanita dan tampon secara percuma di sekolah rendah dan menengah di semua sekolah di malaysia dan tuala wanita dan tampon percuma kepada wanita B40 di lokasi-lokasi strategik.

6-Memperkasa institusi kehakiman syariah
Untuk memastikan hak wanita dan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan, institusi kehakiman syariah akan diperkasa segi kesarjanaan dan pengurusan pentadbiran yang lebih efisien.

7-Menangani punca perkahwinan kanak-kanak 2025
Meneruskan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025 seperti yang telah dilaksanakan pada Januari 2020 untuk memastikan hak wanita dan kanak-kanak sentiasa terbela.

Kredit foto: Freepik

Barisan Nasional

Barisan Nasional (BN) menggariskan wanita sebagai nadi negara menerusi manifesto mereka. Ia sekaligus memberi pengiktirafan Iangsung kepada wanita serta menyediakan ekosistem yang membolehkan wanita menyumbang dengan Iebih besar dan berkesan dalam agenda pembangunan negara.

Terdapat 10 perkara yang disebut bagi memperkasakan wanita iaitu:

1-Menawarkan insentif potongan cukai kepada majikan yang memperkenalkan sistem waktu kerja anjal kepada golongan ibu yang bekerja.

2-Menaik taraf Amanah Ikhtiar Malaysia dan mewujudkan Bank Pembangunan Ekonomi Wanita.

3-Membangunkan sebuah Hospital Pakar Awam Wanita (HAWA) pertama sebagai hospital pakar mengkhususkan isu kesihatan wanita.

4-Membangunkan sebuah universiti awam wanita pertama.

5-Menubuhkan Akademi Kepimpinan Wanita di sebuah universiti awam sebagai pengiktirafan istimewa kepada potensi besar dan penting golongan wanita.

6- Menubuhkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Wanita.

Iklan

7- Mengecualikan sepenuhnya cukai pendapatan (0 peratus) selama lima tahun kepada semua wanita yang kembali ke alam pekerjaan setelah berehat daripada kerjaya (career break).

8- Skim subsidi nasional untuk ujian mamogram dan saringan barah serviks.

9-Meminda Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan bagi memastikan hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara.

10-Intensif RM500 kepada pasangan penerima Bantuan Keluarga Malaysia yang menimang cahaya mata.

Ayuh wanita, selepas mengambil kira manifesto-manifesti ini buat pilihan yang tepat. Namun harus diingat, usah memilih kerana manifesto semata-mata, perjuangan parti dan hala tuju juga perlu diambil kira.

Kepada parti politik, wanita sebagai pemilih berharap manifesto ini bukan bertujuan untuk memancing undi. Jika menang, realisasikannya ya!

Sumber: 1, 2, 3

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi